Wednesday, April 25, 2007


Firman Allah SWT :

" ولا تقتلوا أنفسكم إن الله كان بكم رحيما "

“Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah Maha Penyayang”

Surah an-Nisa’, ayat 29.

Sabda Nabi SAW daripada Abu Hurairah R.A, yang bermaksud : “Sesiapa yang membunuh diri dengan meminum racun, maka racun itu akan tetap berada di tangannya dan diminumnya dalam neraka jahannam”

Sahabat-sahabat seakidah dan seagama yang ana kasihi sekalian…Realiti kita melihat hari ini rata-rata masyarakat mengaggap merokok itu adalah satu tabiat, trend, budaya & cara hidup yang terkehadapan. Tidak ada rasa berdosa, bersalah, malu sekiranya merokok. Di atas dasar rasa kasih-sayang, amanah ilmu & tanggugjawab terhadap agama, saya cuba berkongsi tulisan & maklumat ini bersama sahabat-sahabat sekalian.

FATWA HARAM MEROKOK

Berikutan daripada penegasan ayat ALLAH SWT dan hadis Nabi SAW yang disepakati oleh para ulama’ jelas kepada kita tentang pengharaman merokok. Sehubungan dengan itu, pada 23 Mac 1995, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-37 telah meluluskan fatwa pengharaman merokok. Di samping itu juga, Sheikh Abdullah al-Mishad juga telah mengeluarkan fatwa pengharaman merokok. Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa al-Azhar.

Apa yang perlu kita tahu tentang rokok??

SEBATANG ROKOK MENGANDUNGI:


METOPRENA : Bahan kimia yg digunakan utk menghapuskan kutu pada binatang peliharaan.


BENZOPIRENA : Bahan kimia yg menyebab kanser yang paling bahaya dalam dunia.


ARSENIK : Racun pembunuh. Menjadikan bibir anda melecur & pernafasan berbau busuk.


ASETON : Merupakan salah satu ramuan aktif dlm penanggal pengilat kuku.


PLUMBUM : Racun yg menyebabkan kerencatan pertumbuhan badan. Menyebabkan muntah-muntah & merosakkan otak.


FORMAL DEHID : Menyebabkan kanser, merosakkan paru-paru, kulit & system penghadaman. Bahan pengawet manyat.


BENZENA : Kimia penyebab kanser. Bahan yg digunakan utk membuat racun makhluk perosak.


KADMIUM : Ia menyebabkan kerosakan pada hati, buah pinggang & otak.


BUTANA : Bahan mudah terbakar. Salah satu komponen utama petrol.


*ROKOK DAN SHISYA MUDHARATNYA ADALAH SAMA SHJ.

Saturday, April 21, 2007


`Barangsiapa yang kesukaran hajatnya maka hendaklah ia memperbanyakakkan berselawat ke atas ku. Kerana sesungguhnya selawat boleh menghilangkan susah, sedih dan kesukaran serta melapangkan rezeki dan menyebabkan tercapai semua hajat' - Hadith Rasulullah SAW
******************************************
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.


Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.


Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah.


Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah danpenghulu dunia ini.


"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"


"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada didalamnya," kata Jibril.


Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.


"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.


Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.
"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.


Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran ke seluruh alam itu. Kini, mampukah kita mencintainya seperti mana baginda mencintai kita?

Saturday, April 14, 2007

Dalam Kenangan

Dalam Kenangan... (Atas) Ketika di KLIA September 2004. (Bawah) Bersama Adik Beradik ( Ibu & Bapa Saudara Saya) Sebelah Abah. Al-Fatihah Buat :

1) Abdul Rahman Bin Hamid - Telah kembali ke Rahmatullah pada 20 Jun 2006.

2) Abdul Halim Bin Hamid - Telah kembali ke Rahmatullah pada 12 April 2007.

A l - F a t i h a h . . .

Friday, April 13, 2007

Allah Lebih Dahulu Menyayanginya...

Semalam, dalam entry saya yang terakhir, saya telah memaparkan berkenaan penyakit yang dialami olehbapa saudara saya, Abdul Halim Hamid. Beliau yang mengidap sakit jantung sejak beberapa tempoh yang sudah kini telah lebih dahulu pergi mengadap kekasihnya, Allah SWT.
"Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada Allah jua tempat kita kembali"
Pemergiannya kali ini adalah buat selamanya. tidak mungkin kami akan dipertemukan sekalilagi di dunia yang sementara dan tidak kekal ini. Pun begitu saya berdoa semoga roh beliau ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah...
#Buat sahabat2 yang budiman, saya pohon kepada semua sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada beliau...Al-Fatihah...serta doakan semoga rohnya dicucuri rahmat Allah Jalla Wa'ala. Ameen.


KUALA LUMPUR, 12 April (Hrkh) - Setelah terbabit dalam beberapa insiden yang memalukan Islam dan umatnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meneruskan rekod dan imej buruknya dengan bertindak mendakwa guru-guru agama di sekitar Selangor yang menyampaikan kuliah tanpa tauliah walaupun mereka mempunyai kelulusan dari universiti dan pusat pengajian yang diiktiraf.

Terbaru dua guru agama Azrulkhakim Suradi dan Abd Rasid Abd Ghani masing-masing berusia 31 tahun telah ditahan oleh penguatkuasa Jais sewaktu mengadakan kuliah pengajian dan akan dihadapkan ke mahkamah syariah bagi beberapa pertuduhan yang disenaraikan oleh Jais.
Berita penuh sila klik di sini

Thursday, April 12, 2007

Sungguhkah kita cinta pada Allah? Atau sekadar lafaz manis di bibir?
Sayyidatina Aisyah bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah,apa adakah nanti umatmu yang dapat masuk Syurga tanpa Hisab?" Jawab Baginda: "Ada,iaitu orang yang mengenang-ngenang dosanya lalu dia menangis."

Bersatu Hati Mohon Kesejahteraan

Dua tiga hari yang lalu saya menerima pesanan ringkas dari Malaysia mengatakan bapa saudara saya, Abdul Halim Hamid dimasukkan ke wad kecemasan dek kerana mengalami penyakit jantung yang kritikal. Terpana saya seketika. Terimbau saat manis ketika kali terakhir kami bersama. Iaitu ketika kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA], 13 Januari 2007 yang lalu. Tak terjangka semua ini berlaku.

Hari ini doktor memanggil semua ahli keluarga terdekat supaya bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Saya dimaklumkan semalam seluruh ahli keluarga berkumpul di rumah abah. Mereka menunaikan solat hajat, rukuk, sujud, zikir dalam rentak yang sama. Penuh khusyuk rebah menghadap Yang Esa. Disusuli dengan bacaan Yaasin. Bersatu Hati memohon kesejahteraan.

"YA Allah Tuhan yang Maha Pengasih,
Kami berkumpul di hadapanMu
Kami bersatu keHadratMu
Dengan seribu satu harapan
Dengan niat yang tidak terlafaz
Dengan hati yang sayu di bening malam

YA Allah
KepadaMU kami semua akan kembali
Jadikanlah tempat kembali kami di sisiMu
Jadikanlah akhir nafas kami lafaz La Ilaha Illallah
Masukkan kami dalam golongan
yang Kau redhoi...

#Saya memohon kepada seluruh sahabat dan sahabiah agar doakan bapa saudara saya, doakan kesejahteraan beliau.

Friday, April 6, 2007

Sebaik-baik Perhiasan Dunia Ialah Wanita Solehah

Mujahidah sejati * Intan permata mutiara mahkota * Seindah pelangi di cakerawala

Menghiasi taman indahnya permai * Mujahidah sejati

Engkaulah serikandi pembela agama * Peribadi solehah hiasan diri

Subur dengan iman dan ketaqwaan * Mujahidah sejati akhirat utama

Kerana dunia bukan pilihannya * Mujahidah sejati hatinya berbeza

Kerana diasuh iman dan taqwa * Mujahidah sejati

Berbekal al-quran dan as-sunnah * Bersulam pengorbanan

Bisa menggegarkan isi dunia * Mujahidah sejati

Terus subur mekar mewangi * Seindah suria menerangi bumi

Harapan ummah yang abadi * Mujahidah sejati

Menyoroti langkah Khadijah, Aisyah, Fatimah

Menjadi muqarrabin * Bermujahadah, merebut cintaDan kasih Allah

Paras rupa bukannya ukuran * Nilainya sama di sisi Tuhan

Cuma ibadah yang membezakan * Wanita solehah di sisi Tuhan

Berhati-hatilah hasutan dunia * Kerana ia merbahaya

Jangan dibiarkan ia bertakhta * Dalam diri dengan dosa-dosa

Wednesday, April 4, 2007

No Title....

Petang tadi saya mengikuti kelas tahun tiga yang dianjurkan oleh DPMMS di Dewan Ibnu Jazari. Memang inilah agenda DPMMS saban tahun sejak berzaman lagi. Memberi kebajikan kepada ahli. Cuma kadang-kadang ahli sering menuding jari mengatakan DPM tak buat program...asyik-asyik usrah...usrah, usrah. Pengalaman setahun saya berada di sof kepimpinan DPM, kata-kata begini sudah lali dan telah sebati dengan saya. Walaupun hakikatnya terlalu banyak agenda yang telah dan akan DPM jalankan. Selebihnya terserah kepada ahli samada nak committe ataupun tidak.

Saya tidaklah bercadang untuk membicarakan tentang DPM, tetapi saya tertarik dengan kata-kata taujihat yang telah disampaikan oleh Syeikh Muhammad Abdun Nabi dalam liqa' petang tadi. Segalanya bermula bila seorang dari kalangan kami menanyakan tentang imtihan takhalluf Sabtu depan. Soalannya, Najah ke? Di kalangan kami memang maaruf bahawa kata-kata spontan itu adalah sekadar untuk meminta doa dari syeikh. Walaupun hakikatnya sesiapapun tahu kalau berusaha insyaAllah berjaya. Itulah hukum alam. In Tazakir Tanjah.

Jadi, sebenarnya kalau nak berjaya kenalah berusaha. Mana mungkin seseorang yang ingin menuju ke syurga tetapi melakukan amalan-amalan ahli neraka. Tuntas, analoginya sangat mudah. Yang berusaha ~ berjaya!

Kepada sahabat-sahabat yang ada takhalluf, sama-sama kita berdoa mudahan kejayaan milik kita semua. Ameen Ya Rabbal Alameen.

Monday, April 2, 2007

GRADUAN AL AZHAR: MENTAJDID KESEDARAN KE ARAH MEMPERKASAKAN DAKWAH

Timbul beberapa persoalan secara spontan apabila membaca tajuk artikel ini antaranya;
1. Mengapa graduan al Azhar?
2. Untuk apakah ditajdidkan kesedaran?
3. Bagaimanakah Azhari boleh memperkasakan dakwah?

Justeru artikel ini cuba menghuraikan jawapan-jawapan yang munasabah kepada persoalan-persoalan tersebut. Ternyata biarpun tampak soalan-soalan ini ringkas dan mudah, namun dalam huraian jawapannya tersirat koreksi dan harapan khusus buat Azhariyyun yang merupakan subjek utama dalam tulisan ini.

Mengapa graduan al-Azhar?


Al-Azhar dianggap sebagai mercu kesarjanaan dan keunggulan tradisi intelektualisme Islam. Bahkan al-Azhar dianggap sebagai kilang yang melahirkan tokoh-tokoh mithali dalam sektor-sektor utama pembangunan ummah. Biarpun mengalami pelbagai perubahan sejak didirikan pada zaman daulah Fathimiyyah, namun kesarjanaan al-Azhar tetap dekat di hati umat Islam. Tidak keterlaluan, al-Azhar mempunyai nilai tradisi intelektualisme yang setanding dengan institusi seperti Oxford, Sorbounne, Cambridge, Yale dan sebagainya, kalaupun tidak lebih tinggi daripada institusi-institusi tersebut. Salah satu kayu ukur kecemerlangan al-Azhar adalah melihat kepada kualiti graduan yang dilahirkan dan sumbangan yang diberikan terhadap masyarakat. Justeru disebabkan al-Azhar antara menara utama dalam bidang pengajian Islam selain disiplin ilmu yang lain, adalah munasabah membincangkan positioning graduannya dalam konteks pemerkasaan dakwah di Malaysia.

Graduan al-Azhar telah melakarkan tinta emas dalam sejarah kebangkitan umat Islam khususnya dalam abad terakhir alaf yang lepas di tanah air kita. Justeru, generasi ilmuan yang dilahirkan dari rahim al-Azhar sememangnya dilihat berperanan dalam pemerkasaan setiap aspek pembinaan tamadun ummah. Bermula daripada generasi Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Salim al-Khalali dan Haji Abbas Mohd Taha sehinggalah generasi tokoh masyarakat mutakhir ini seperti Allahyarham Us Fadzil Mohd Noor, Dato’ Seri Abd Hadi Awang, Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, Dato’ Nakhaie Ahmad, Us Ahmad Awang dan Us Abd Ghani Shamsuddin (sekadar beberapa nama). Mereka telah menempatkan diri sebagai khazanah berharga dalam pembangunan dakwah di watan yang tercinta ini. Justeru al-Azhari sentiasa menjadi maudhu’ yang penting apabila membincangkan perihal kebangkitan gerakan dakwah di negara kita.

Mengapa kesedaran perlu ditajdidkan ?

Proses tazkirah (peringat-memperingati) adalah suatu yang dituntut malahan menjadi tanggungjawab ke atas setiap muslim bukan sahaja terhadap orang lain tetapi ke atas diri sendiri. Melalui proses ini kita dapat mentajdid (renew) kesedaran dan rasa tanggungjawab kita sebagai khalifah dan hamba Allah di atas muka bumi ini.

Sama ada kita mahu ataupun tidak; sedar ataupun tidak, suara-suara yang mempertikaikan kualiti al-Azhar pada hari ini kedengaran seiring dengan kritikan terhadap ulama’ khususnya daripada sudut keilmuan, sikap dan daya kepimpinan. Sebahagian pengkritik tidak dinafikan sememangnya agak obsess terhadap ulama' dan institusi-institusi agama tetapi tidak sedikit juga kritikan ini dilontarkan oleh pihak yang jujur dan ingin melihat sesuatu penambahbaikan dibuat segera bagi memartabatkan golongan ulama' dan institusi keulama’an. Dalam pada itu, al-Azhar pada hari ini pula seringkali dikaitkan dengan beberapa masalah antaranya masalah sikap ( keras, malas, skeptik terhadap realiti masyarakat ) serta penguasaan ilmu dan bahasa. Masalah-masalah ini bukanlah masalah yang dihadapi oleh golongan Azhari semata-mata, tetapi mendapat perhatian daripada masyarakat kerana graduan-graduan ini lahir daripada tradisi al-Azhar yang cemerlang. Justeru itu kesedaran perlu sentiasa dipugar agar thiqah masyarakat terhadap menara ilmu umat ini tidak terus pudar.

Proses tajdid ini menjadi semakin penting apabila melihat dan menganalisa penyakit dan virus yang berkembang biak dalam masyarakat pada hari ini. Hasil penelitian yang dibuat terhadap dapatan kajian semasa yang mempunyai kaitan langsung dengan perkembangan personaliti masyarakat Melayu, kita akan mendapati beberapa perkara yang amat menggemparkan telah berkembang;

(i) Kebanyakan masyarakat Melayu moden telah dikesan mengidap penyakit psikologi yang agak kronik, penyakit gelisah dan hilang pertimbangan akal yang kemudiannya telah menyebabkan berlaku pelbagai tindakan buruk seperti bunuh diri, menagih dadah dan arak, murtad, bohsia dan mengamalkan free-sex. Kajian ini mendapati punca utama penyakit gelisah ini berlaku adalah akibat dari tindakan tidak menuruti kehendak agama seperti meninggalkan kewajiban sembahyang lima waktu.
(ii) Golongan remaja Melayu yang menjadi pengguna terbesar internet (cyber café) telah dijangkiti ketagihan internet yang agak teruk. Golongan ini didapati menggunakan saluran internet bukannya untuk tujuan pendidikan, tetapi sebagai sumber untuk mendapatkan hiburan yang lebih bebas tanpa kongkongan keluarga yang berupa permainan video games, pornografi, berkenalan (cit-cat) dan mengisi masa lapang dengan kegiatan yang tidak berfaedah.
(iii) Kajian yang mendapati bahawa ikatan dan fungsi keluarga Melayu moden sebagai penjaga dan pendidik emosi anak-anak telah mula terhakis yang kemudiannya menyebabkan pelbagai masalah sosial remaja yang cukup kronik. Berikutan dengan faktor asas ini, golongan remaja Melayu lebih terpengaruh dengan budaya di luar keluarga seperti media massa dan rakan sebaya. Akibat daripada pengaruh media massa, mereka lebih mudah terjerumus dengan hiburan yang mementingkan keseronokan yang melampaui batas, sensasi, glamour dan sindrom kurang tahan iman. Manakala pengaruh rakan sebaya pula menyebabkan mereka terlibat dengan budaya melepak dan pelbagai masalah sosial lain seperti ketagihan dadah, arak, berjudi, menonton video lucah, free-sex, dijangkiti penyakit AIDS dan banyak lagi masalah lain.
(iv) Kelas professional Melayu baru yang dilahirkan melalui dasar pemodenan dan DEB ini tidak menunjukkan paradigma pemikiran yang bersifat rasionalisme, objektifisme dan saintisme seperti yang diharapkan oleh Mahathirisme. Hal ini boleh dirujuk kepada sikap dan trend golongan ini yang dilaporkan telah terjebak dalam krisis mempercayai bomoh, ajaran sesat, kepercayaan occult dan sebagainya, yang biasanya dilakukan oleh masyarakat Melayu tradisional.
(v) Kelas profesional Melayu baru yang kononnya dilahirkan dengan dasar Penswastaan Malaysia telah terlibat dalam jumlah yang besar di dalam krisis pecah amanah, rasuah dan pelbagai kesalahan jenayah perdagangan.

Bagaimanakah sumbangan untuk memperkasakan dakwah?

Golongan Azhari dapat memberikan sumbangan secara berkesan ke arah pemantapan dan pengupayaan gerakan dakwah di tanah air daripada beberapa saluran yang dianggap strategik dan munasabah:

1. Melibatkan diri dalam pertubuhan dan badan dalam masyarakat

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah salah satu wadah yang berupaya untuk mendekati masyarakat khususnya bangsa Melayu yang umumnya terpecah kepada dua blok fahaman politik yang dominan iaitu turut mempengaruhi sektor-sektor lain dalam kehidupan masyarakat. UMNO seringkali dikonotasikan sebagai parti nasionalis-sekular dan PAS sebagai Islamis-konservatif. Stigma ini telah menyebabkan penolakan automatik sebagai sebarang usaha yang melibatkan satu pihak kepada pihak yang lain. Justeru, pemerkasaan NGO dakwah sememangnya dituntut bagi meratakan penyebaran agenda dakwah terhadap seluruh bangsa Melayu.

Kewujudan NGO dakwah yang berwibawa juga sangat penting untuk melihat keberkesanan dakwah terhadap non-muslim. Biarpun sebelum ini sudah wujud agensi dakwah non-muslim seperti PERKIM dan Jabatan Agama negeri-negeri namun secara jelas agensi-agensi ini kelihatan lembap dan tidak bermaya untuk menyampaikan mesej Islam secara efisien dan efektif. Dakwah non-muslim di negara kita sememangnya jauh ketinggalan berbanding dakwah terhadap non-muslim di Singapura dek masalah birokrasi dan political willingness yang tampak mandul.

Menurut Mustafa Kamil Ayub peranan Badan Bukan Kerajaan (BBK) semakin menyerlah peranannya terutamanya dalam fasa pasca reformasi dan perkembangan ini juga mempunyai kaitan dengan perkembangannya di rantau ASEAN dan global. Justeru, keterlibatan dalam NGO seperti PIBG, persatuan belia, persatuan pengguna sehinggalah kolaborasi yang lebih besar dan agresif seperti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sememangnya memberikan ruang dakwah yang luas yang tidak dapat disampaikan oleh media dakwah tradisional seperti ceramah dan kuliah.

NGO-NGO Islam harus membuktikan kemampuan mereka bukan hanya sekadar di peringkat keberadaan sahaja tetapi sememangnya boleh menghadirkan kesan yang bermakna terhadap masyarakat. Menurut Dr Chandra Muzaffar, NGO boleh memperkukuhkan usaha mewujudkan masyarakat madani melalui tiga cara iaitu kematangannya berhadapan dengan pemerintah, kepekaan kepada sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan kemampuan mengetengahkan program-program yang konkrit.

2. Mempelbagaikan media dakwah

Dalam usaha memantapkan lagi keberkesanan dakwah di negara kita, usaha menambah dan mempelbagaikan media dakwah menjadi satu keperluan. Perlu diakui media dakwah di negara kita masih terhad yang menyebabkan kelompok sasaran tidak mencapah. Mungkin kita boleh belajar sesuatu yang bernilai daripada pengalaman dakwah di Indonesia. Dakwah bukan sahaja disampaikan melalui corong-corong microphone di masjid ataupun di surau sebaliknya melalui web-site, seniman jalanan, novel, puisi, majalah, filem budget murah sehinggalah ke filem box office.

Sememangnya prospek terhadap dakwah di Malaysia masih cerah terutamanya di kalangan anak-anak muda andainya elemen massaging dan packaging diberi nafas baru. Novelis seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar dan Azizi Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama) sememangnya mempunyai khalayak yang besar di kalangan orang muda. Begitu juga majalah kompak Islami seperti Dara dan Nur mempunyai peminat tetap yang besar di kalangan remaja perempuan dan lelaki. Industri nasyid juga tetap mendapat sambutan hangat biarpun genre-genre muzik yang lain mengalami pasang-surut.

Justeru keberanian, kreativiti dan kesungguhan adalah dituntut di kalangan tenaga du’at muda untuk membuka medan-medan dakwah yang baru bagi melebarkan sayap dakwah kepada kelompok yang tidak berasa ‘dipanggil’ sebelum ini.

3. Memantapkankan media dakwah yang sedia ada

Selain mewujudkan dan mempelbagaikan media dakwah, pengisian dan pemantapan media dakwah sedia ada tidak boleh dipandang enteng. Media-media seperti ceramah, kuliah samada di masjid dan surau atupun melalui televisyen, radio dan internet, tulisan/ penerbitan sama ada melalui majalah, surat khabar, jurnal ataupun buku tetap menjadi media dakwah yang berpengaruh dalam masyarakat. Menurut Dr Danial Zainal Abidin, aspek penyelidikan dan pembangunan perlu dirancakkan supaya dakwah Islam sentiasa cukup dengan bahan dan maklumat terkini. Kita terpaksa mengakui, umat Islam amat ketinggalan dalam aspek ini kerana sikap mudah berpuas hati dengan apa yang ada.

Sememangnya aspek penyelidikan menjadi asas kepada peningkatan kualiti ilmiah dalam penyampaian mesej dakwah melalui media masyarakat ini. Justeru graduan al-Azhar yang kebanyakannya daripada bidang pengajian Islam haruslah bijak mengharmonikan kekuatan dalam bidang penyelidikan hukum (usul al fiqh) dengan metodologi penyelidikan sains sosial. Sekiranya kedua-dua metodologi ini dapat dikombinasikan, masyarakat pasti dapat merasai sentuhan ilmiah yang lebih bernilai daripada ceramah, kuliah ataupun tulisan-tulisan dakwah di media massa dan bukan hanya disogokkan dengan lawak jenaka dan tidak kurang hamburan hadis-hadis yang tidak punya autoriti ilmu dan hujah seperti di sesetengah tempat pada hari ini.

4. Keterlibatan dalam gerakan politik Islam secara konstuktif

Sememangnya di dalam Islam tiada pemisahan antara Islam dan politik. Malah, siyasatud-dakwah yang dipraktiskan oleh gerakan Islam di Malaysia telah memberikan impak yang menyeluruh dalam pembangunan masyarakat. Penglibatan Azhari secara aktif dalam wadah gerakan Islam akan menambahkan kekuatan wadah-wadah tersebut yang secara langsung akan menyumbang ke arah pembangunan ummah melalui usaha dakwah yang terancang dan berkesan.

Walaubagaimanapun terjunnya Azhari ke arena politik bukanlah semata-mata atas nawaitu untuk meraih populariti dan diangkat sebagai pimpinan, sebaliknya atas rasa tanggungjawab untuk memperjuangkan Islam dan merealisasikan syariat dalam konteks masyarakat yang plural. Di sinilah akan teruji keilmuan dan kepimpinan Azhari untuk menterjemahkan idealisme perjuangan Islam dalam pendekatan yang berhikmah sesuai dengan realiti Malaysia. Setiap warga gerakan Islam di Malaysia pada hari ini harus berfikir dan bertindak secara berkesan bagi memperlihatkan bahawa Gerakan Islam adalah gerakan massa yang terlibat dalam mainstream masyarakat dan bukannya sebagai sebuah gerakan ataupun parti untuk kelompok ataupun sebahagian tertentu rakyat di negara kita. Faktor inilah sebenarnya yang akan menyerlahkan dinamisme dakwah dalam kancah politik.

Penutup

Azhari sememangnya tidak mempunyai pilihan selain daripada melengkapkan diri menjadi seorang global daie dalam mendepani hambatan-hambatan dakwah dalam dunia pasca globalisasi. Banyak persediaan yang perlu dilakukan sama ada daripada aspek keilmuan, soft skills, daya kepimpinan dan penguasaan terhadap isu-isu semasa bagi merealisasikan cita-cita sebagai pendakwah global. Para Azhari sememangnya boleh melihat kecapaian generasi leluhur yang dilahirkan daripada menara al-Azhar, tetapi sekadar romantis terhadap tradisi generasi terdahulu semata-mata tidak banyak mengubah pandangan masyarakat terhadap Azhari yang semakin lama semakin malap.

Graduan al-Azhar tidak perlu paranoid dengan gertakan-gertakan sosial seperti krisis pengangguran dan sebagainya, sebaliknya memusatkan tumpuan untuk merebut seberapa banyak peluang semasa di perlembahan Nil untuk membina kualiti sebagai pengurus diri dan sistem yang dihormati dan diyakini. Kualiti inilah yang akan memberikan nilai yang tingi terhadap graduan al-Azhar dan boleh memasarkan nilai keintelektualan dan keulamaan yang sememangnya menjadi competitive advantage bagi Azhari berbanding graduan-graduan lain ke dalam setiap sudut dalam pembangunan ummah.


*Artikel ini dipetik daripada Majalah Suara Kampus Edisi Shoubra.