Wednesday, June 24, 2009

Cuba Amalkan 15 Minit Sehari

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Terima kasih kepada semua kerana terus menyokong laman blog ini. Setiap hari kesibukan sentiasa mengejar diri kita. Terlalu banyak kesibukan yang mengejar masa untuk kita beribadah. Kekadang kita menyedari masa ibadah kita semakin berkurangan tetapi kita masih menunggu peluang untuk masa yang sesuai, barulah kita ingin melaksanakan tuntutan ibadah kita. Terutama dalam membaca Al-Quran, ramai di antara kita meletakkan pandangan membaca Al-Quran memerlukan masa yang panjang.

Kononnya masa yang singkat dan terkejar-kejar, tidak ada penghayatan. Tapi sebenarnya banyak masa kita terbuang begitu sahaja kerana tanggapan yang sebegini.

Sebenarnya hanya 15 minit sehari sudah memadai membaca Al-Quran untuk anda yang sibuk dengan kerja. Tahukah anda dalam masa 15 minit ini, pada tahap pembacaan orang biasa anda telah pun membaca dalam lingkungan 2-3 muka surat daripada mushaf Al-Quran. Bayangkan jika 15 minit ini anda amalkan dalam masa seminggu, bererti anda telah pun menghabiskan 14-21 muka surat daripada Al-Quran. Jika dalam masa 15 minit ini juga anda rasakan terlalu lama bagi anda, ambillah 5 minit setiap kali selepas solat untuk baca Quran. Insya Allah kita sama-sama amalkan tip ibadah ini dalam kehidupan kita bersama.

Monday, June 15, 2009

Pemergiannya suatu kehilangan

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan merentapnya dari dada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama. Apabila tiada lagi ilmuan, maka nantinya manusia akan mengambil pemimpin-pemimpin yang jahil, pemimpin itu ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka sesatlah golongan yang bertanya, sebagaimana sesatnya juga golongan yang ditanya” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]

Bagi mereka yang sebati dengan usrah pasti tidak asing dengan tokoh Islam Syeikh Fathi Yakan. Lebih 10 kitab karangan beliau dijadikan sumber rujukan bagi memperjuangkan Islam. Saya masih ingat seawal di tingkatan 1, saya dikenalkan dengan Kitab : Maza Yakni Intima'i Islam. Dengan kitab inilah saya kenal erti menganut Islam. Ertinya saya sebagai seorang muslim, Erti hakiki memperjuang segenap sudut Fikrah Islam.

Banyak lagi penulisan beliau seperti As-Syabab Wa Taghyir, Harakat Wa Mazahib Fi Mizan Islam dan lain-lain terus menjadi bahan rujukan. Marilah kita iringi doa penuh keikhlasan moga roh beliau ditempatkanbersama para mukminin dan solihin. Al_fatihah...

Friday, June 5, 2009

Sekali Sekala Kita Diuji

Selalu sangat kita dalam gembira. Gelak ketawa. Berhibur di saat ada insan lain sugul dan berduka. Akibatnya kita kadang-kadang terleka dengan nikmat yang diberi. Namun tiba saat ujian Allah datang, terasa beban yang teramat sangat. Seolah tak mampu mengahadapinya. Sedangkan Allah tidak sesekali membebankan ke atas hambaNya apa yang tidak termampu olehnya.
Pernahkah anda diuji? Putus cinta? Putus mata pencarian? Putus, putus, putus dan bermacam putus... Ujian itu pelbagai. Hatta kadang-kadang Allah beri ujian dengan mengambil semula apa yang sudah ada di tangan kita. Yang kita rasakan 'barang' itu milik kita. Hakikatnya kita lupa apa yang kita miliki itu hanya pinjaman sementara. Bila-bila masa Allah boleh ambil semula.

Di saat kita lupa itulah, tiba-tiba datang peringatan yang perlu kita ambil pengajaran darinya. Perlu mengoreksi diri semula. Di mana amal ibadah kita. Di mana amal kebajikan kita. Di mana syukur kita kepada Allah yang sepatutnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Di mana, di mana, di mana dan di mana...

Maka benarlah ujian itu pengapusan dosa-dosa yang kita lakukan selama ini. Sengaja Allah beri untuk memberi ruang pada kita memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Kelemahan dan kekurangan itu bukan sahaja dinilai dari sudut yang satu. Tetapi menyeluruh.
Solat berjamaah pun kita culas!

Apa yang saya cuba maksudkan dengan menyeluruh adalah seluruh amal perbuatan kita. Sekiranya kita solat, apakah solat yang kita tunaikan itu sempurna? Cukupkah syarat wajib dan rukun fi'li serta qalbi nya? Atau apakah kita 'mencuri' di dalam solat kita. Tiada toma'ninah, kurang bacaannya dan lain-lain.

Kalau kita bersedekah...dari mana sumbernya? Halal atau haram?

Tak perlu untuk saya berceloteh lebih panjang. Saya kembalikan apa yang saya lontarkan ini kepada diri saya dan semua bagi membina semula jambatan Mahabbah kita dengan Allah Taala. Tuan Milik kepada batang tubuh kita. Tuan Milik kepada semua mata benda dunia. Kita hanya hamba yang layak disuruh itu dan ini. Yang layak bagi kita adalah taat serta patuh. Bukan menyuruh dan meminta itu dan ini melayani nafsu yang tidak pernah cukup dan puas.

Ingat kita hanya HAMBA. DIA lah segalanya. Kembalilah mengahayati Hidup bersamaNya.

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidakku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cinta-Mu kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh


Air Mata Keinsafan - MBH Music Valley

Tuesday, June 2, 2009

HALUAN SISWA RAPATKAN JURANG ANTARA PELAJAR DARUL QURAN

HALUAN SISWA RAPATKAN JURANG ANTARA PELAJAR DARUL QURAN

Kuala Kubu Bharu, 2 Mei 2009: Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menerima seramai 204 orang pelajar baru untuk mengikuti program Diploma Tahfiz al-Quran wa Al-Qiraat. Kesemua pelajar yang telah mendaftar diri pada pagi tersebut, kemudiannya telah mengikuti sesi suai kenal yang dikenali sebagai Minggu Haluan Siswa selama 6 hari bermula 2 Mei 2009 hingga 7 Mei 2009.

Sepanjang Minggu Haluan Siswa tersebut, pelajar-pelajar ini telah didedahkan dengan suasana pembelajaran di Darul Quran terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan-peraturan di Darul Quran, teknik pengajian, kaedah hafazan, penggunaan perpustakaan, dan lain-lain.

Selain itu, beberapa aktiviti out door turut dilaksanakan dengan tujuan merapatkan hubungan antara sesama pelajar, memantapkan keyakinan diri, dan memupuk semangat kerjasama di kalangan pelajar. Antara aktiviti tersebut ialah ‘ice breaking’, 'mind setting, Learning Partnership, Hayya Bil 'Arabiah, kembara dan riadah.

Majlis Penutup Minggu Haluan Siswa ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Pendaftar Darul Quran, Ustaz Abdul Qadir Bin Sallah. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya diterima masuk ke Darul Quran. Selain itu beliau berharap agar para pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian dan hafazan al-Quran. Tirai Minggu Haluan Siswa ini berlabuh dengan jayanya pada 7 Mei 2009.