Friday, October 14, 2011

Maksud Ayat 27-28 Surah Al-Fathir [ Muhasabah ]


Tidakkah Engkau melihat Bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan Dengan air hujan itu buah-buahan Yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada Yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan Merah, Yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga Yang hitam legam;

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

[ Ayat 27 - 28 Surah Al-Fathir ]

Monday, October 3, 2011

Persepsi | Dakwah dan Jihad


Mutiara Hikmah | Amalan Penyeri Kehidupan

Amalan Zikir Harian ~ Dulu masa zaman sekolah menengah tinggal di asrama, ustaz2 selalu ajarkan zikir2 yang ma'thur. Zikir2 ni jika jadi amalan seharian pasti hati tenang, jiwa lapang ~ semua kerja jadi mudah. Tapi itu zaman sekolah, rajin sangat2. Sekarang? Agak2 kita buat tak? Tak sempat, sibuk, anak meragam, kereta rosak, nak jumpa klien dan macam2 alasan yang kalau dibuat check list pasti tak cukup satu kertas A4...haha...

Zaman sekolah memang satu zaman yang menyeronokkan. Tanggungjawab masa tuh hanya belajar, study... masa banyak kosong... sekarang? Kalau nak citer, memang banyak sangat kerja. tapi masa 24 jam yang Allah bagi sebenarnya cukup untuk kita melakukan semua urusan dan tanggungjawab yang diamanahkan..

jom amalkan zikir yang penah kita amalkan dulu2 ~ pasti urusan kita dimudahkan Allah swt InsyaAllah :))


ZIKIR HARIAN

Jumaat
يا الله
Rahmat Allah hampir dan jauh dari azab Allah.

Sabtu
لااله الا الله
Dihapuskan dosa anggotanya yang tujuh.

Ahad
يا حى يا قيوم
Dipelihara imannya oleh Allah.

Isnin
لا حول ولا قوة الا بالله العلى العطيم
Dihapuskan sifat-sifat yang tercela.

Selasa
اللهم صلى على محمد وعلى ال محمد
Dapat syafaat Nabi Muhamad SAW.

Rabu
أستغفر الله العطيم الدى لااله الا هو الحى القيوم واتوب اليه
Dihapuskan 1000 dosa.

Khamis
سبحان الله العطيم وبحمده
Tumbuh tanaman syurga baginya.

Friday, September 23, 2011

Hantu Bonceng: Peminat hargai Zizan mohon maaf

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Pelakon filem Hantu Bonceng, Zizan Razak mulai dihujani penghormatan para peminatnya, apabila bersikap terbuka memohon maaf kepada orang ramai berhubung dialog kontroversi yang dituturkannya di dalam filem itu.

Penghormatan tersebut antara lain dikesani menerusi laman-laman blog para peminatnya yang jelas memuji sikap keterbukaan beliau mengakui kesilapannya menuturkan dialog yang menghina Islam tanpa disengajakan di dalam filem berkenaan.

Di dalam blog ustazlove.com, pemiliknya sendiri berserta beberapa orang peminat Zizan menyuarakan kesyukuran mereka kepada Allah kerana telah menggerakkan hati Zizan memohon maaf kepada para penonton dan peminat beliau di atas keterlancangannya itu.

Thursday, September 22, 2011

Golongan Yang Istiqamah

Ayat 13 Surah Al Ahqaf bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah. Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhid-nya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita". Ayat ini menerangkan keadaan golongan yang benar-benar beriman kepada Allah Taala, iaitu orang-orang yang mengakui dan mengatakan, "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka istiqomah.

Friday, August 5, 2011

Salam Ramadhan Kareem | Amalan Di Bulan Ramadhan


Pesta beribadah telahpun bermula 
Bersama tibanya Ramadhan yang mulia 
Rahmat Allah melimpah untuk semua hambaNya 
Nikmat Allah mengalir mencurah-curah 
 
Meriahkan Ramadhan ini dengan beribadah 
Tingkatkan amal dan mujahaddah 
Banyakkanlah berzikir dan baca Al-Quran 
Muhasabah dan sucikan hati.. 


Seluruh anggota kita semua ada peranannya 
Perlu dijaga di setiap tindakan 
Hati yang telah bersih dan berakhlak mulia 
Di sisi Allah tinggi nilainya 
 
Jagalah lidah dan tutur kata jangan sampai 
Mengumpat dan berkata-kata dusta 
Pelihara mata dan jagalah telinga 
Agar berbuat yang diredhoi Allah 
 
Langkahkan kaki menuju kebaikan
Jangan melangkah ke arah kejahatan dan maksiat 
jika terhumban kekancah kehinaan 
Di dunia lagi beroleh pembalasan 

Puasa sekadar lapar dan dahaga

Friday, May 27, 2011

Minggu Haluan Siswa Berjaya Tanam Cintakan Al-Quran

20 Mei 2011 - Bertemakan ”Mesra Tapi Tegas”, Cawangan Hal Ehwal Pelajar Darul Quran JAKIM telah menjalankan program Minggu Haluan Siswa bagi 196 orang pelajar baru program Diploma Tahfiz Al-Quran 2011/2012 yang telah mendaftar pada 14 Mei yang lalu. 

Program Minggu Haluan Siswa yang diadakan bermula 14 hingga 18 Mei 2011 ini telah mendedahkan para pelajar kepada suasana yang baru untuk menjadi huffaz yang berketerampilan selaras dengan keperluan ummah dan negara. Program ini juga telah dapat membentuk jati diri pelajar dan semangat cintakan al-Quran melalui program-program yang telah disusun antara lain mengenali diri sendiri, kejelikitan kumpulan dan memahami hala tuju di Darul Quran.

Monday, May 9, 2011

Anas Bin Malik

Adakah anda kenal sahabat Rasulullah ini?
Sekiranya kita membuka Sahih Muslim atau Sahih Bukhari, nama Anas Bin Malik Al-Ansori  tidak asing lagi sebagai salah seorang sahabat Rasulullah yang banyak meriwayatkan hadith, kenalkah anda siapakah Anas Bin Malik ini?

Mari kita melihat bagaimana Anas bin Malik menjadi salah seorang perawi hadith pada zaman Rasullullah S.A.W dan bagaimanakah kehidupan beliau semasa zaman Rasullullah. Pengkaji sejarah menyatakan Anas bin Malik telah meriwayatkan sebanyak 1286 hadis sepanjang kehidupannya bersama Rasulullah.Wallahua'lam..

Nama sebenar beliau adalah Anas Bin Malik ibn Nadar al-Khawarij al-Ansori. Beliau adalah anak kepada Ummu Sulaim iaitu wanita pertama yang memeluk Islam dalam kalangan penduduk Madinah sebelum hijrah Rasullulah ke Madinah. Ayahnya pula bernama Malik ibn Nadr dan beliau tidak memeluk Islam.

Friday, May 6, 2011

Anda semakin matang bila....

  • Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai.
  • Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa.
  • Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung.
  • Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka.
  • Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat.
  • Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain.
  • Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda.
  • Anda dapat menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya.
  • Anda memandang jauh kedepan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.
  • Anda memberi persetujuan kepada pendapat- pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang.
  • Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati.
  • Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu.
  • Anda menghadapi orang-orang tua atau orang- orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif.
  • Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna.
  • Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya.
  • Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai.
  • Anda dapat mengujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka.
  • Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita.
  • Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara jujur.

Di Sebalik Lapangmu - Saidina Al Krwh & Fatimah Az-Zahra'

Engkau pahlawan dimuliakan wajahnya
Engkau puteri dari zuriat yang mulia
Pewaris keberanian, pewaris kesabaran
Fatimah Ali lambang kesucian

Dipertemukan di pelamin kemiskinan
Direstui seorang nabi
Puteri terpuji, isteri yang teruji

Ali berjuang di medan perjuangan
Fatimah bermandi keringat
Jauh jalan mencari air
Di padang pasir yang panas
Destinasi matahari

Fatimah..sedikit pun tidak pernah kau kesali
Demi cinta kasih suami
Oh Fatimah cintamu subur mewangi
Walau miskin papa menggelangi

Ali pahlawan unggul
Dan ilmuan terunggul
Syairmu setajam pedangmu...Saifullah
Gagah berdiri teguh
Sepupu baitul haram
Kau kunci keilmuan gedung nubuwwah

Terjemahan Ayat 31-33 Surah As-Saba' - Di Hari Kiamat Manusia Saling Tuding Menuding Jari Di Atas Kemungkaran Yang Dilakukan

31. Dan orang-orang Yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab ugama Yang terdahulu daripadanya". dan (sungguh ngeri) kalau Engkau melihat ketika orang-orang Yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu Dengan Yang lain. orang-orang Yang tertindas berkata kepada orang-orang Yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): "Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah Kami sudah menjadi orang Yang beriman".

32. Orang-orang Yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang Yang tertindas: kamikah Yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? (bukan Kami Yang menghalang) bahkan kamulah Yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang Yang berdosa".

33. Dan berkata pula orang-orang Yang tertindas kepada orang-orang Yang sombong takbur itu: "Tidak! bahkan (yang menghalang Kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya Kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh Kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu baginya. akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang Yang kafir itu. mereka tidak dibalas melainkan Dengan apa Yang mereka telah kerjakan.

Thursday, May 5, 2011

SAYONARA UNIT KAUNSELING, SAYONARA HEP :(

Selasa dan Rabu saya bercuti dua hari kerana cuti dan urusan keluarga di Perak. Subuh Khamis macam biasa saya bertolak dari Seksyen 20 Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu – naik BKM 9170 :) - untuk menyambung tugas ( masuk kerja laa…)

Kebetulan pagi Khamis ada bengkel di bawah seliaan Unit Kaunseling DQ. Masuk sekejap pejabat pentadbiran yang memang amat jarang saya jejakkan kaki…hehe. Semua mata memandang dengan senyum. Wah pelik nih… surprise…

Kak Midah tanya dah dapat surat belum? Ustaz Tahir ucap mabruk awal-awal lagi… CC Zainab senyum.. isyhh..ada apa nih? Ingat dapat surat pengesahan jawatan…rupa-rupanya…

ARAHAN PERTUKARAN JAWATAN PENOLONG PEGAWAI S27

Dari Unit Kaunseling ke Unit Komunikasi Koprat Darul Quran…berkuatkuasa 16 Mei 2011…huhuhu…mudahan saya mampu memikul jawatan baru nih dengan bantuan rakan sekerja…

Hampir dua tahun duduk di Unit Kaunseling, rasa seronok berpindah ada jugak. Rasa sedih pun ada jugak…tapi takpe, cari pengalaman baru… mesti ada perubahan suasana kerjanya. Walaupun hanya berpindah unit bukan jabatan...

Saya mohon maaf kiranya ada kesilapan dan kekurangan sepanjang berada di Unit Hal Ehwal Pelajar. Khususnya buat semua pelajar yang pernah berurusan dengan saya…

Wallahu ya'lamu wa antum la ta'lamun... pasti ada hikmah di sebalik segala sesuatu..

Friday, April 22, 2011

Terjemahan Ayat 6 - 10 Surah Al-Mulk [ M u h a s a b a h ]

6. Dan bagi orang-orang Yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

7. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.

8. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), Bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?"

9. Mereka menjawab: "Ada! sebenarnya telah datang kepada Kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu Kami dustakan serta Kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (Wahai orang Yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada Dalam kesesatan Yang besar! "

10. Dan mereka berkata: "Kalaulah Kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang Yang mencari kebenaran), tentulah Kami tidak termasuk Dalam kalangan ahli neraka".

Tuesday, April 12, 2011

Motivasi Kerja - Renung2kan bersama :)

`Ada orang datang ke pejabat dengan perasaan penuh gembira & ceria`
`Ada orang datang dengan perasaan biasa`
`dan ada pula yang datang dengan perasaan serba tak kena`

Ingatlah, sesiapa yang datang hanya dengan perasaan biasa saja, Maka hasilnya juga adalah biasa saja. Manakala sesiapa yang datang dengan ceria, maka hasilnya akan jadi lebih daripada biasa ataupun luar biasa.

Justeru, bekerja la dengan ceria agar menghasilkan produktiviti yang luar biasa yang akan menggembirakan orang di sekeliling kita.

Semoga hasil itu akan mendapat keberkatan dari ALLAH. Amin.

  • Ada antara kita datang ke pejabat hanya memenuhi tanggungjawab `DATANG BEKERJA` saja, tetapi malangnya, hasil yang dapat, macam kita `TAK DATANG` kerja langsung.
  • Adakala kita rasa kita BUSY giler, tapi rupa-rupanya kita jer yang buat KELAM KABUT
  • Adakala kita rasa kita PERIHATIN , tapi rupanya kita BUSY BODY.
  • Adakala kita rasa kita OPEN MINDED and OUTSPOKEN tapi rupanya kita PERASAN BAGUS.
  • Adakala kita rasa kita berpemikiran KRITIS , rupanya kita hanya suka MENGKRITIK yang buat kecoh tak tentu pasal.
  • Adakala kita rasa kita ingin menjadi LEBIH MESRA tapi rupanya kita hanya nak MENGADA-NGADA .
  • Adakala kita suka bertanya KENAPA DIA NI MCM TAKDE KEJE, tapi adalah lebih baik kita tanya diri sendiri APA LAGI KEJE YANG AKU BOLEH BUAT ?
  • Adakala kita rasa kita ni pekerja yang SEMPURNA,BAIK DAN BERDEDIKASI tapi cuba tengok dalam-dalam,selagi hati kita berdengki, jatuhkan reputasi sesama rakan sekerja (report kat bos kawan kita tak bagus dari kita) dan tak amanah (mencuri dan tak siapkan kerja),kita sebenarnya patut terima hakikat betapa kita lebih teruk dari anggapan kita itu sendiri.

Pejam mata dan renung lah diri, kalau kita perlu melakukan ANJAKAN PARADIGMA , maka lakukanlah segera, tapi manusia tetap manusia. Sukar untuk berubah kerana kita selalu beranggapan kita lebih baik. Adakah dengan merasakan itu kita sememangnya terbaik?

Maka untuk itu , mari kita mula senyum, ceria, mesra sesama kita dan tingkat kerjasama dalam kerja, Tak rugi kita semai rasa `kekeluargaan` dalam tugasan kalau kita kurang kerja, cari la kerja membantu teman-teman yang lain.

Tak dapat gaji lebih pun tak apa sebab pahala dapat.. kita withdraw kat akhirat nanti. tapi kalau kita asyik dengki mendengki, nasib la sebab sudah ditentukan jalan yang sukar itu yang kita pilih..saper suruh.

Renung-renungkanlah, berapa ramai kawan kita dan berapa ramai lawan kita, nescaya itulah kayu pengukur diri yang sebaiknya

~Mengkritik tidak bererti menentang. Menyetujui tidak semestinya menyokong. Menegur tidak bermakna membenci dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik~

Thursday, April 7, 2011

Tatap wajah tersayang diwaktu tidurnya

Pernahkah anda menatap wajah orang-orang terdekat dengan anda ketika mereka sedang tidur? Kalau belum, cubalah sekali sahaja menatap wajah-wajah ketenangan mereka ketika sedang tidur. Ketika itu yang kelihatan adalah ekspresi paling wajar dan paling jujur dari seseorang. Orang yang paling kejam di dunia pun jika ia sudah tidur tidak akan kelihatan wajah bengisnya.

Perhatikanlah ayah anda ketika beliau sedang tidur. Sedarilah, betapa badan yang dulu sasa dan gagah itu kini semakin tua dan lemah, rambut-rambut putih...mulai menghiasi kepalanya, betapa kerut merut mulai terpahat di wajahnya. Orang inilah yang setiap hari bekerja keras untuk kesejahteraan kita, anak-anaknya. Orang inilah rela melakukan apa sahaja asal kan perut kita kenyang dan pendidikan kita lancar.

Sekarang, beralihlah. Lihatlah ibu anda. Kulitnya mulai keriput dan jemari! yang dulu halus membelai tubuh bayi kita itu kini kasar kerana tempaan hidup yang keras. Orang inilah yang tiap hari mengurus keperluan kita, yang sanggup berkorban jiwa dan raga. Orang inilah yang paling rajin mengingatkan dan mengomeli kita semata-mata kerana rasa kasih dan sayang, dan sayangnya,...ingatan dan teguran itu sering kita salah ertikan.

Cubalah menatap wajah orang-orang tersayang : Suami,..... wajah di antara lelaki-lelaki yang hadir....dialah lelaki pilihan yang Allah jodohkan, yang hanya perlu dibahagiakan barulah kita dapat menikmati erti kebahagiaan yang sebenar. Renunglah wajah perempuan yang bergelar isteri, yang masih setia, namun kesetiaan dan ketabahannya sering kita uji. Kakak, Abang, Adik, Anak, Sahabat..... ... Semuanya.

Rasakanlah sensasi yang timbul sesudahnya. Rasakanlah energi cinta yang mengalir perlahan-lahan ketika menatap wajah-wajah yang terlelap itu. Rasakanlah getaran cinta yang mengalir deras ketika mengimbas kembali betapa banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan ....... untuk kebahagiaan anda. Pengorbanan yang kekadang tertutup oleh kesalah-fahaman kecil yang entah kenapa selalu sahaja nampak besar. Pengorbanan yang melelahkan namun tidak diungkapkan. .... Secara ajaib Allah mengatur agar pengorbanan itu dapat kelihatan lagi melalui wajah-wajah jujur mereka ketika sedang tidur.

Rasakanlah betapa kebahagiaan dan keharuan seketika terganggu jika mengingatkan itu semua. Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika keesokan hari, orang-orang yang dikasihi itu tidak lagi membuka matanya, buat selama-lamanya.

Renungkan...

Kasih sayang adalah rahmat Allah......Apabila kita merasakannya bermakna hidup kita sentiasa dirahmati... ...Kadang- kadang kita perlu berkorban untuk kasih sayang itu....bukan untuk dihargai tetapi sebab kita percaya dan tahu erti kasih sayang yang sebenarnya...

Tuesday, March 29, 2011

Pergi surau kerana minat dan memenuhi keperluan

`Peminat bola sepak akan bersusah payah berkejar ke stadium walaupun bersesak dengan penonton yang lain dan terpaksa membeli tiket dengan harga yang mahal.`

`Sorang bapa pergi ke kedai runcit untuk membeli barangan keperluan.`

`Seorang kerani pergi ke pejabat untuk memenuhi tanggungjawabnya di sana.`

Oleh kerana peminat bola, bapa dan kerani mempunyai minat dan kepentingan maka mereka pergi ke tempat tersebut.

Kalau tidak kerana minat, buat apa pergi ke stadium.
Kalau tidak kerana keperluan, buat apa pergi ke kedai.
Kalau tidak kerana gaji, buat apa pergi ke pejabat.

Sekiranya kita menggunakan premis demikian, kita boleh mengatakan bahawa orang yang tidak pergi ke surau, memang tiada minat terhadap Islam dan merasa tidak perlu kepada Islam.

Buat apa pergi, kalau tiada apa-apa kepentingan.

Ego - Penyakit Ustat

Sifat “berlagak” selalu berada pada orang berikut :-
  • Orang kaya dan banyak duit dan rumah besar.
  • Orang ada pangkat dan ternama - Dato'
  • Orang pandai - ada PhD dan/atau ada jawatan Prof.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Tidak masuk syurga orang yang ada sekelumit dalam dirinya perasaan berlagak (takabbur)."
Mari muhasabah sama-sama. 15 sifat ego yang perlu disemak pada diri :-

01. Diberi jawatan rasa terhibur
02. Tidak dilantik, rasa tidak tenang
03. Kalau dia sorang pemimpin, arahannya selalu kasar
04. Kalau dia pengikut, payah mahu taat
05. Emosional dan mudah tersinggung
06. Suka berkawan dengan orang bawahan supaya dirinya nampak lebih tertonjol daripada orang lain
07. Mudah marah, cepat melenting
08. Payah menerima pandangan orang lain
09. Dalam majlis, tidak senang bila orang lain memberi pandangan
10. Dalam majlis, mudah memotong cakap orang lain
11. Suka memperkenalkan diri sendiri daripada memperkenalkan pemimpin dan jemaah
12. Suka pandangannya sahaja diterima
13. Lebih berminat berkawan rapat dengan orang lain daripada anggota jemaah agar terserlah kesempurnaan dirinya
14. Tidak senang kemajuan tercetus di tangan orang lain
15. Bercakap selalu dengan suara tinggi dan tidak boleh dicabar pasti tercabar

Yang mana satukah di antara 15 tanda ego ini yang terkena pada kita...Cuba-cubalah selidik...

Friday, February 11, 2011

Sukarnya membendung kemungkaran!

Firman Allah s.w.t di dalam surah Ankabut ayat (2) yang bermaksud :

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)"

Jelas dari maksud firman di atas, kerja dakwah, kerja mencegah kemungkaran, kerja mengajak kepada kebaikan bukan suatu perkara yang mudah. Tidak semudah lafaz di bibir.

Tentangan datang dari segenap sudut. Tidak hairan jika tentangan itu datang dari non-muslim yang tidak faham maksud kata "Amr bil Makruf Wa nahyu 'anil munkar". Yang dikesali, bilamana seringkali tentangan dan provokasi itu datang dari manusia yang mengaku muslim.

Buat pejuang agama, LA TAHZAN.

FirmanNya lagi yang bermaksud

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." Surah Ali - Imran ayat 139.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menafikan laporan AFP yang mendakwa beliau mengatakan pihak berkuasa agama di negeri Pakatan Rakyat akan menjalankan pemeriksaan terhadap pasangan pada malam 14 Februari ini.

Sebaliknya, beliau hanya berkata, pemuda PAS sedia memberi kerjasama kepada mana-mana kerajaan negeri khususnya Pakatan Rakyat dalam usaha membendung perbuatan tidak bermoral masyarakat pada malam Valentine’s Day tersebut.

Katanya, ianya sesuai dengan amalan rutin pemuda PAS yang sering kali turun menyebarkan risalah dakwah kepada masyarakat khususnya beragama Islam pada malam sambutan tahun baru atau Valentine’s Day, agar tidak melakukan perbutan tidak bermoral.

"Saya tidak jahil tentang autoriti dan bidang kuasa yang ada pada kerajaan negeri.

"Saya tidak buat arahan kepada kerajaan negeri supaya ikut pemuda PAS.

"Wartawan yang menelefon saya itu telah tersalah faham," jelasnya kepada Harakahdaily.

AFP dalam laporannya semalam meletakkan tajuk “Pakatan states plan Valentine’s Day crackdown”.

Agensi berita itu memetik kenyataan Nasrudin sebagai berkata bahawa pihak berkuasa agama di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan and Selangor akan mengadakan pemeriksaan terhadap mana-mana pasangan pada malam 14 Februari ini.

Sejak kenyataanya disiarkan AFP semalam, Nasrudin menerima kritikan hebat dari rakan komponen parti Pakatan Rakyat lain termasuk Pemuda DAP.

Mereka mendakwa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan bersama dalam mana-mana mesyuarat Pakatan Rakyat.

Pemuda PAS juga dakwa mereka, telah melangkaui bidang kuasa kerajaan negeri dengan mengeluarkan 'arahan' tersebut.

Bagaimanapun, Nasrudin hari ini menafikan laporan tersebut dan mendakwa berlaku sedikit salah faham dalam laporan agensi berita tersebut.

"Saya hanya menyatakan kami bersedia bekerjasama dengan negeri yang mempunyai hasrat yang sama dengan kami.

"Saya yakin tidak ada negeri yang suka gejala sosial berleluasa, termasuk DAP Pulau Pinang.

"Jadi atas dasar itu lah kami membuat tawaran untuk membantu kerajaan negeri, itu pun kalau mereka mahu," jelasnya.

Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini telah memfatwakan haram bagi umat Islam menyambut Valentine’s Day, atau Hari Kekasih pada setiap 14 Februari.

Friday, January 28, 2011

Kernapa Engkau Menangis

Dalam al Quran ada banyak tercatat kisah Nabi Ibrahim a.s.

Kisah-kisah Nabi Ibrahim itu dipaparkan Allah sebagai pedoman untuk iktibar manusia sepanjang zaman.

Di dalam Sahih Muslim ada riwayat menyatakan bahawa pada suatu hari, Rasulullah SAW membacakan sepotong firman Allah yang menceritakan seruan dakwah Nabi Ibrahim a.s.

رَبِّ إِنَّہُنَّ أَضۡلَلۡنَ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلنَّاسِ‌ۖ فَمَن تَبِعَنِى فَإِنَّهُ ۥ مِنِّى‌ۖ وَمَنۡ عَصَانِى فَإِنَّكَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).” (Ayat 36: Surah Ibrahim).

Ya, memang benar. Sehingga ke hari ini masih banyak lagi manusia yang sesat menyembah berhala. Siapa lagi di sebalik berhala-berhala itu kalau bukan syaitan yang tidak pernah rehat daripada menyesatkan menusia dan memesongkan mereka dari beriman dan menyembah Allah kepada sujud dan bergantung harap kepada berhala-berhala yang kaku tidak bernyawa??

Sungguh batu-batu berhala itu telah menyesatkan ramai manusia termasuklah mereka yang tergolong dalam lingkungan cerdik pandai dan berpendidikan tinggi. Namun, kecerdikan dan ketinggian ilmu mereka tidak berupaya menyelamatkan mereka daripada terpalit ‘kebodohan melampau’ kerana tunduk dan sujud kepada batu yang tidak bernyawa!

Seterusnya baginda SAW membaca pula ayat 118 daripada surah Al Ma-idah.

Ayat berkenaan Nabi Isa a.s.

إِن تُعَذِّبۡہُمۡ فَإِنَّہُمۡ عِبَادُكَ‌ۖ وَإِن تَغۡفِرۡ لَهُمۡ فَإِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Maksudnya: “Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

Setelah membacakan dua ayat tersebut Rasulullah menangis teresak-esak. Tangisan baginda tampak semakin berat.

Melihat kesedihan Rasulullah SAW itu, malaikat Jibril a.s. pun segera turun melawat baginda.

“Wahai Muhammad .S.A.W, Tuhanmu bertanya (sedangkan Allah Yang Maha Mengetahui), “Gerangan apakah yang membuatkan engkau menangis,” tanya Jibril a.s.

“Jibril…, saya menangis kerana memikirkankan bagaimanakah keadaan (nasib & masalah) umatku,” jawab Rasulullah SAW.

Allahumma Solli ‘ala Muhammad Wa ‘ala A-li Muhammad!

Lihatlah, Nabi SAW menangis untuk kita sebagai umatnya. Bagaimana dengan kita? Apakah kita juga turut menangis apabila menghayati dan mengenangkan jerih perih, pahit maung serta mehnah yang di lalui baginda SAW di dalam menyebarkan agama Allah.

Mendengan jawapan Rasulullah SAW, Jibril tanpa lengah naik semula mengadap Allah SWT kemudian turun semula menemui Nabi Muhammad SAW.

Jibril a.s. berkata: “Muhammad! Tuhanmu (Allah) ‘Azza Wa Jalla berkata: “Khabarkan kepada Muhammad bahawa sesungguhnya Kami akan meredhainya walaupun (ia) di tengah-tengah umatnya dan Kami tidak akan menyakitinya sampai bila pun.”

Sumber : sahabatamal.com

Friday, January 14, 2011

Al-Quran bukan sekadar bahan bacaan

Membaca al-Quran dengan tartil, memelihara hukum-hukum tajwid dan berlagu adalah sangat dianjurkan oleh Islam. Ini kerana bacaan yang sedemikian akan membantu menimbulkan kesedaran di dalam hati, menimbulkan kekhusyukan dan kehibaan serta boleh menarik minat orang ramai untuk mendengar dan menghayati ajaran yang terkandung di dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Hiasilah bacaan al-Quran dengan suara-suara kamu”.

Kemerduan suara membaca al-Quran hendaklah bersesuaian dengan kebesaran dan kemuliaan al-Quran itu sendiri, bersesuaian dengan kandungan ayat yang dibaca dan rentak bahasa yang digunakan oleh al-Quran. Contohnya, kalimat yang digunakan untuk menyoal, takkan pula disamakan alunan suaranya dengan bahasa yang digunakan untuk menerangkan suatu peristiwa?.

Allah mengurniakan kitab al-Quran kepada umat Islam, tanpa mengira bangsa dan budaya. Al-Quran hendaklah dibaca dengan erti kata yang sebenar-benarnya. Maksud membaca al-Quran dengan sebenar-benarnya di sini ialah:

  1. Memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya.
  2. Membaca al-Quran bererti mengucapkan ayat-ayat al-Quran dengan kuat berlagu yakni mengaji al-Quran.
  3. Membaca al-Quran dengan betul tajwidnya.
  4. Membaca al-Quran serta beramal dengan ajarannya
  5. Membaca al-Quran serta mengajarkannya kepada orang lain.
  6. Membaca al-Quran serta berusaha menghafaznya.
  7. Membaca al-Quran serta berusaha memasyarakatkan dan mendaulatkan al-Quran dalam sistem hidup sebuah negara.

Kesimpulannya, membaca adalah suatu proses mengenal, mengecam, mengucap perkataan yang tertulis atau yang tercetak, memahami apa yang dibaca, beramal dengan ajarannya, berusaha menghafaznya dan mengajarkannya kepada orang lain. Ianya juga memerlukan pemikiran yang aktif di kalangan pembaca.

Makna al-Quran

Terdapat berbagai pandangan ulama mengenai pengertian al-Quran menurut istilah. Pendapat yang disepakati ialah al-Quran merupakan kalam Allah yang bernilai mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. yang termaktub di dalam mushaf, dipindahkan secara mutawatir, membacanya dianggap ibadah, dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.

Al-Quran yang ada pada kita sekarang menepati pengertian di atas tetapi tidak pada zaman Rasulullah s.a.w. kerana al-Quran pada zaman baginda tidak tertulis dalam mushaf dan tidak dipindahkan secara mutawatir.

Tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca. Ini dikuatkan lagi dengan penurunan ayat pertama dari surah al-‘Alaq ayat 1–5 yang menekankan persoalan membaca. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ilmu dapat diperolehi melalui pembacaan dan kemahiran membaca itu hanyalah boleh diperolehi dengan mempelajari kaedah-kaedahnya.

Baca di sini mempunyai pengertian yang luas. Ia tidak hanya membaca perkataan demi perkataan bahkan ia meliputi memahami dan mengambil pengajaran daripada makna-maknanya secara keseluruhan.

Kesimpulannya, al-Quran merupakan kalam Allah sama ada dari sudut lafaz ataupun maknanya yang termaktub dalam mushaf, diturunkan di dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad s.a.w., dipindahkan secara mutawatir dan membacanya adalah ibadah.

Kelebihan Membaca al-Quran

Kitab suci al-Quran mempunyai kelebihan dalam mempelajari dan membacanya. Allah SWT memberi ganjaran pahala berlipat ganda daripada setiap huruf yang dibaca sekalipun tidak memahami maknanya, sedangkan kitab suci lain tidak demikian.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya berkaitan dengan kelebihan orang yang belajar dan mengajar al-Quran. Hadis ini diriwayatkan daripada Uthman bin ‘Affan, katanya Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan engajarkannya” (al-Bukhari)

Oleh itu amatlah rugi orang yang tidak mahu belajar atau tidak tahu membaca ataupun boleh membaca tetapi enggan membacanya. Di samping itu orang yang banyak menyebut ayat-ayat Allah akan menjadikan hati dan lidahnya bertambah lembut untuk menyebut kalimah-kalimah Allah. Keimanan mereka juga akan bertambah dan akan sentiasa berserah diri kepada Allah SWT.

Walaupun begitu, ada yang membaca al-Quran tetapi tidak berusaha untuk memahami dan mengetahui isinya, tidak mengambil pelajaran yang sangat berguna yang tersimpan di dalam al-Quran. Itulah sebabnya didapati ramai orang Islam yang tidak berubah budi pekertinya, tidak takut berbuat dosa, hilang rasa malu dan segan serta lenyap kemuliaan akhlaknya. Mereka menggunakan al-Quran itu hanya sekadar untuk mengambil berkat dan sebagai upacara, sedangkan isinya dikesampingkan. Hal ini sangat dikesalkan.

Perintah supaya membaca, menghafaz dan beramal dengan al-Quran merupakan satu usaha Islam untuk mengikat manusia kepada Allah, baik melalui bacaan dalam sembahyang atau di luar sembahyang. Kita mesti membaca, mengkaji dan menghayati al-Quran, sehingga ia menjadi seperti makan minum dan kain pakai kita. Firman Allah SWT maksudnya: “Orang-orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepada al-Quran. Dan sesiapa yang mengingkarinya itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah : 121)

Dipetik dari laman : Muslimah.com