Wednesday, June 5, 2013

Surah Al-Ikhlas : Pahalanya bersamaan membaca satu pertiga al-Quran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Surah Al-Ikhlas mengandungi 4 ayat. Merupakan surah Makkiyah (merujuk kepada tempoh sebelum penghijrahan Nabi s.a.w). Dinamakan juga sebagai Surah At-Tafrid, Al-Tajrid, Al-Tauhid, Al-Najah dan juga Al-Asas kerana merangkumi asas-asas dan prinsip Tauhid kepada Allah.

Antara kelebihan membacanya adalah merujuk kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmizi dan Nasa'i daripada Abu Ayub Al-Ansari daripada Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Adakah di kalangan kamu ini orang tidak mampu membaca SATU PERTIGA al-Quran pada satu malam? Sesungguhnya sesiapa yang membaca SURAH Al-IKHLAS pada satu malam, maka dia telah membaca pada malam tersebut SATU PERTIGA al-Quran"

Sebab turun Surah Al-Ikhlas, adalah kerana orang-orang musyrikin telah berkata kepada Rasulullah s.a.w : "Wahai Muhammad! Sifatkan kepada kami Tuhan anda!" Maka Allah menurunkan surah Al-Ikhlas.

Secara umumnya Surah ini mengandungi dua perkara iaitu penafian dan pengisbatan sekaligus.

Penafian kepada dakwaan golongan musyrikin dan akidah batil bahawa Isa itu anak Allah, dakwaan golongan Thanawiyyah yang mengiktiraf kewujudan dua tuhan alam iaitu tuhan cahaya dan tuhan kegelapan dan lain-lain dakwaan yang mengatakan Allah itu bersifat sama seperti makhluk ciptaanNya.

Adapun isbat adalah penegasan terhadap akidah Islam yang tertegak di atas asas tauhid, tanzih dan penyucian.

Surah ini juga menjelaskan hak-hak Allah yang bersifat Esa, Tunggal, tidak beranak dan diperanakkan. Sifat ini juga ditegaskan dalam Firman Allah yang bermaksud :

"Pencipta Langit dan Bumi, bagaimana mungkin Dia memiliki anak sedangkan tiada bagiNya teman, Dan Dia Pencipta segala sesuatu" ~ Surah Al-An'am ayat 101.

Pernah suatu hari Nabi s.a.w terlihat sekumpulan lelaki berkumpul di suatu tempat. Lalu baginda bertanya : "Apakah yang sedang kamu lakukan? jawab mereka : "Kami sedang berbincang tentang keadaan Allah" baginda bersabda lagi "Berfikirlah tentang makhluk ciptaan Allah, dan janganlah kamu memikirkan zat Allah, kamu akan binasa".

Dengan melihat dan memikirkan ciptaan Allah seperti Langit, Awan, Gunung, Laut dan lain-lain akan menzahirkan kehebatan penciptanya iaitu Allah.

Wallahu Ta'ala 'Alam.