Wednesday, November 25, 2009

Lagi sample kad...

Klik pada gambar untuk view lebih besar.
Warna boleh ubah / design boleh edit / gambar boleh letak.
Berminat? boleh hubungi kami - 019 252 0049 (ust Bakri)

Tuesday, November 17, 2009

New Release - Custom Made Design


Spesifikasi Kad :

Saiz Kad : 9.5 cm X 21 cm (3 lipatan)

Kualiti Kad : 230gsm (Artcard)

Finishing : UV Two Side

Jenis Cetakan : One Color (Two Side Print on Card)

Sampul : Putih Bercetak

Price : RM 0.65 / 1000 keping.

Wednesday, November 4, 2009

Nak Tempah Kad Kahwin? Kami Sedia Membantu


Cover Area | PJ | Kuala Kubu Bharu | Batang Kali | Serendah
Berminat hubungi kami | Best Price | Best Quality |

Friday, October 30, 2009

Iklan Jawatan Kosong Di Darul Quran

Assalamualaikum wbt,

Kaifahalukum Jami'an? Lama benor rasanye teman idok mengapdet blog ni...Orang dah pakat2 nak pegi haji, teman masih lagi dengan mood Ramadhan. Bukannya ape...sayang nak tinggalkan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan. Mudah2an la ye...

Ramadhan dah sebulan lebih tinggalkan kita. Kita macam mana? Syawal pun dah berlalu...tapi roh syawal lebih menebal rasanya dari penghayatan Ramadhan. Jadi, marilah sesama kita mengoreksi diri. Sejauh mana kita hari ini? Adakah lebih dekat dengan Allah atau sebaliknya. Yang pasti, ajal maut semakin hampir menjenguk kita...bersediakah kita?

Nak dipendekkan citer, nih kat Darul Quran (DQ) tengah buka jawatan kosong untuk Guru Tasmi' Jemputan. So mana2 kawan yang nak berkhidmat dan berminat nak jadi guru tahfiz, apo laie...apply la cepat..

Klik kat sini untuk maklumat lanjut.

Wednesday, August 5, 2009

Jangan Berfikir Untuk Bersedekah

Assalamualaikum wbt kepada semua. Semoga berada di bawah naungan Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saW., sabdanya:

"Ada seorang lelaki berkata, “Aku hendak bersedekah malam ini.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, “Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya.

Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata, “Wahai, Allah! Untuk-Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, “Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.’

Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :”Sedekah anda sudah diterima baik oleh masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk si pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”[HR Muslim]

Berdasarkan hadis ini jelas sekali kepada kita bahawa sedekah kita tetap diterima oleh Allah seandainya ada keikhlasan di atas apa yang disedekahkan oleh kita. Sesiapa pun yang menerima sedekah kita tidak menjadi masalah, walaupun mungkin pada pandangan nilaian mata manusia sedekah yang kita lakukan berlaku di luar adat manusia. Tetapi bila kita membaca mafhum hadis ini jelas sekali apabila kita timbul niat untuk bersedekah, maka jangan kita berfikir panjang kepada siapa dan berapakah jumlahnya yang akan kita keluarkan untuk bersedekah.

Lelaki yang disebut di dalam hadis ini tidak menghiraukan apa jua perkataan yang keluar walaupun sedekah yang dikeluarkan tidak menepati nilaian mata manusia, namun apa yang lebih penting ialah nilaian amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Jadilah golongan yang memberi kerana kedudukannya jauh lebih mulia berbanding mereka yang menerima. Allah SWT amat memuliakan golongan yang memberi ini, tetapi seandainya mereka memberi tetapi dalam keadaan si penerima tidak redha dan merasa benci dengan pemberian dan sedekahnya kerana wujud kejian dan kata-kata yang tidak baik, maka adakah ianya mendapat rahmat di sisi Allah? Mudah-mudahan amal baik kita ini diterima oleh Allah SWT.

Sumber : Ust Ahmad Syukri

Monday, July 20, 2009

Ummah Kita Leka Dengan Micheal Jackson Hingga Tiada Peduli Nasib Marwa!

Tidak banyak liputan TV tentang Marwa Al-Sharbini, seorang ibu yang punya seorang anak, sedang mengandung tiga bulan, mati akibat ditikam 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti-Islam dan anti-Muslim.

Tidak ramai pula di kalangan orang Islam sendiri sedar tentang tragedi kejam ini. Yang mereka lebih tahu ialah kematian Raja Pop. Itupun kerana media, terutama TV melampau-lampau liputannya. Berhari-hari, bahkan berminggu masih belum reda isunya.

Ribuan penduduk Mesir menghantar jenazah Marwa ke tempat pengkebumiannya. Beliau tidak sepopular artis tersohor, MJ, tetapi pastinya beliau tersohor di kalangan penduduk langit kerana mempertahankan harga diri, maruah dan agamanya melalui tudungnya, yang dengannya ia syahid.

Marwa ditikam di ruang mahkamah kota Dresden, Jerman sebelum memberikan keterangan atas kesnya. Ia mengadu tentang seorang pemuda Jerman bernama Alex W yang kerap menyebutnya “teroris” hanya disebabkan beliau berjilbab. Dalam suatu kesempatan, pemuda itu bahkan pernah menyerang Marwa dan berusaha melepas jilbab Muslimah berasal dari Mesir itu. Di saat berada di mahkamah itulah, Alex kembali menyerang Marwa, kali ini ia menikam Marwa berkali-kali. Suami Marwa yang berusaha melindungi isterinya, terkena tembakan pihak berkuasa yang berdalih tidak sengaja menembak suami Marwa yang kini dalam keadaan kritikal di hospital di Dresden .

Dalam sejarah Islam, seorang wanita Islam cuba dicabul kehormatan dan maruah dirinya oleh seorang Yahudi. Lantas pemuda Islam tangkas membantu hingga menyebabkan pergaduhan antara Yahudi dan orang Islam. Di zaman Khalifah Mu’tasim, seorang wanita meminta tolong dengan berkata: ‘Waa Mu’tasimah!’. Mu’tasim yang berada begitu jauh darinya, apabila mendapat berita tersebut terus menghantar bantuan untuknya.

Hari Jilbab Antarabangsa

Umat Islam kini, apa yang dibuatnya? Media dunia umat Islam sendiri hanya pentingkan berita pengkebumian Michael Jackson sendiri. Tiada liputan besar-besaran untuk Marwa, melainkan media Islam khususnya di internet.

Untuk mengingati peristiwa ini, Hari Jilbab Antarabangsa dicadangkan bagi mengenang Marwa as-Sharbini. Usul itu dilontarkan oleh Ketua Perhimpunan Mempertahankan Hijab, Abeer Pharaon melalui Islamonline. Abeer mengatakan, Marwa Al-Sharbini adalah seorang syahid bagi perjuangan muslimah yang mempertahankan jilbabnya. “Ia menjadi korban Islamofobia, yang masih dialami ramai orang Islam di Eropah. Kematian Marwa layak untuk diperingati dan dijadikan sebagai Hari Hijab Sedunia,” kata Abeer.

Seruan Abeer disambut oleh beberapa orang tokoh Muslim, di antaranya Rawa Al-Abed dari Persekutuan Persatuan Islam di Eropah. “Kami mendukung cadangan ini. Kami juga menyeru agar diwar-warkan kempen seperti ini untuk meningkatkan kesedaran tentang hak-hak muslimah di Eropah, termasuk hak mengenakan jilbab,” kata Al-Abed.

Profesor bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Amina Nusser juga memberikan dokongannya atas cadangan Hari Jilbab Antarabangsa yang boleh dijadikan momentum untuk memberi tindakbalas sikap anti-jilbab di Barat. “Hari peringatan itu akan menjadi kesempatan bagi kita untuk mengingatkan Barat agar bersikap adil terhadap para muslimah dan kesempatan untuk menunjukkan pada Barat bahawa Islam menghormati hak beragama,” tegas Nusser.

Nusser menegaskan bahawa hak seorang muslimah untuk berpakaian sesuai dengan ajaran agamanya, tidak berbeza dengan hak penganut agama lain. Ia mengingatkan, kaum perempuan penganut Kristian Ortodoks juga mengenakan tudung sebelum masuk ke gereja.

Sokongan untuk mengadakan Hari Jilbab Antarabangsa itu juga datang dari Persatuan Muslim Denmark. Ketuanya, Mohammed Al-Bazzawi. “Hari Jilbab untuk mengingatkan masyarakat Barat bahawa hak muslimah untuk mengenakan jilbab sama dengan hak perempuan non-Muslim yang boleh mengenakan busana apa saja. Mereka di Barat yang berbicara soal hak perempuan, selayaknya menyedari bahawa mereka juga tidak boleh mengabaikan hak seorang perempuan untuk mengenakan jilbab,” ujarnya.

Gerakan Islam di rantau Asia juga wajar mengambil inisiatif menganjurkan Hari Jilbab Antarabangsa tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam. Dewan Muslimat PAS dan NGO berkaitan boleh mengambil peranan ini.

Akhbar Jerman perleceh Marwa as Sharbini

Surat khabar Jerman, Die Welt versi online memuatkan komentar-komentar pembacanya yang berisi penghinaan dan pernyataan anti-Arab dan anti-Muslim. Komentar-komentar itu adalah reaksi pembaca atas artikel berjudul “Islamisten fordern Vergeltung für Mord im Gericht” yang diterbitkan berkaitan kes Marwa Al-Sharbini itu.

Salah satu pemberi komen misalnya, menyarankan agar pelaku pembunuhan Marwa diberi tanda jasa “Federal Cross of Merit”. Pemberi komen lainnya menyebut Marwa “toilet” dan masih banyak lagi komentar-komentar lainnya yang isinya jelas membela pembunuh Marwa dan melecehkan Marwa.

Pihak Die Welt pula anehnya, enggan menolak untuk menghapuskan komentar-komentar yang provokatif itu, seiring dengan sikap media massa Jerman lain untuk tidak menulis berita tentang insiden yang menimpa Marwa. Media Jerman menganggap kes pembunuhan Marwa yang berlatar belakang islamofobia itu bukan kes yang serius. Sikap media Jerman mungkin akan berbeza jika yang dibunuh adalah seorang non-Muslim Jerman dan pelakunya seorang Muslim.
Sementara itu, atas sikap akhbar Die Welt online, website Ikhwanul Muslimin menyeru kaum Muslimin untuk menyampaikan email protes kepada akhbar tersebut agar menghapuskan komentar-komentar yang rasis dan anti-Muslim, melalui alamat email: online@welt. de

dari: www.niknasri. com
(disunting dari pelbagai sumber)

Thursday, July 16, 2009

Antara Dua Cinta

Salam pagi Khamis buat semua. Artikel di bawah sengaja saya petik dari laman Ust Ahmad Syukri. Membincangkan topik cinta Dunia dan Akhirat.

Antara dua cinta, memang sesuatu yang merumitkan kerana kita terpaksa membuat dua pilihan. Membuat pilihan adalah satu perkara yang agak membebankan, tetapi nukilan kali ini tidak akan menyentuh agar kita memilih yang mana satu tetapi kita harus memilih kedua-duanya kerana dengan memilih keduanya kita tidak berada dalam golongan orang-orang yang rugi malah kita akan merasa lebih bahagia dan berjaya.

Antara dua cinta yang ingin disentuh di sini ialah cinta dunia dan cinta akhirat. Kita tidak boleh memilih mana-mana untuk mencintai tetapi kita harus memilih kedua-duanya dan berlaku adil padanya. Tetapi kebanyakan dari kita hari ini telah membuat pilihan untuk mencintai dunia dan melupakan akhirat. Dan ada pula segelintir yang mencintai akhirat dan tidak mempedulikan dunia. Ramai di antara kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan mengejar kemewahan dunia yang sementara. Tak ramai di antara kita yang mengimpikan jannatul firdaus dan taman –taman syurga yang lain yang jauh lebih baik dan kekal.

Cinta dunia hanyalah cinta yang sementara, dunia hanyalah persinggahan untuk menuju ke akhirat. Mengejar cinta dan kemewahan dunia semata tidak akan membawa kita ke mana-mana malahan ia boleh melalaikan kita untuk mencari cinta yang sebenarnya yang lebih kekal abadi. Firman Allah:

“Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan):
Kamu sudah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu sudah bersenang-senang menikmatinya.”

(Surah al-Ahqaf, ayat 20)

Alangkah ruginya memiliki segala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama 60 tahun saja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja.

Bermimpi untuk memilih rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah salah seorang kamu mengambil wuduk kemudian memperbaiki wuduknya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga.”

(Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani)

Wednesday, June 24, 2009

Cuba Amalkan 15 Minit Sehari

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Terima kasih kepada semua kerana terus menyokong laman blog ini. Setiap hari kesibukan sentiasa mengejar diri kita. Terlalu banyak kesibukan yang mengejar masa untuk kita beribadah. Kekadang kita menyedari masa ibadah kita semakin berkurangan tetapi kita masih menunggu peluang untuk masa yang sesuai, barulah kita ingin melaksanakan tuntutan ibadah kita. Terutama dalam membaca Al-Quran, ramai di antara kita meletakkan pandangan membaca Al-Quran memerlukan masa yang panjang.

Kononnya masa yang singkat dan terkejar-kejar, tidak ada penghayatan. Tapi sebenarnya banyak masa kita terbuang begitu sahaja kerana tanggapan yang sebegini.

Sebenarnya hanya 15 minit sehari sudah memadai membaca Al-Quran untuk anda yang sibuk dengan kerja. Tahukah anda dalam masa 15 minit ini, pada tahap pembacaan orang biasa anda telah pun membaca dalam lingkungan 2-3 muka surat daripada mushaf Al-Quran. Bayangkan jika 15 minit ini anda amalkan dalam masa seminggu, bererti anda telah pun menghabiskan 14-21 muka surat daripada Al-Quran. Jika dalam masa 15 minit ini juga anda rasakan terlalu lama bagi anda, ambillah 5 minit setiap kali selepas solat untuk baca Quran. Insya Allah kita sama-sama amalkan tip ibadah ini dalam kehidupan kita bersama.

Monday, June 15, 2009

Pemergiannya suatu kehilangan

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan merentapnya dari dada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama. Apabila tiada lagi ilmuan, maka nantinya manusia akan mengambil pemimpin-pemimpin yang jahil, pemimpin itu ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka sesatlah golongan yang bertanya, sebagaimana sesatnya juga golongan yang ditanya” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]

Bagi mereka yang sebati dengan usrah pasti tidak asing dengan tokoh Islam Syeikh Fathi Yakan. Lebih 10 kitab karangan beliau dijadikan sumber rujukan bagi memperjuangkan Islam. Saya masih ingat seawal di tingkatan 1, saya dikenalkan dengan Kitab : Maza Yakni Intima'i Islam. Dengan kitab inilah saya kenal erti menganut Islam. Ertinya saya sebagai seorang muslim, Erti hakiki memperjuang segenap sudut Fikrah Islam.

Banyak lagi penulisan beliau seperti As-Syabab Wa Taghyir, Harakat Wa Mazahib Fi Mizan Islam dan lain-lain terus menjadi bahan rujukan. Marilah kita iringi doa penuh keikhlasan moga roh beliau ditempatkanbersama para mukminin dan solihin. Al_fatihah...

Friday, June 5, 2009

Sekali Sekala Kita Diuji

Selalu sangat kita dalam gembira. Gelak ketawa. Berhibur di saat ada insan lain sugul dan berduka. Akibatnya kita kadang-kadang terleka dengan nikmat yang diberi. Namun tiba saat ujian Allah datang, terasa beban yang teramat sangat. Seolah tak mampu mengahadapinya. Sedangkan Allah tidak sesekali membebankan ke atas hambaNya apa yang tidak termampu olehnya.
Pernahkah anda diuji? Putus cinta? Putus mata pencarian? Putus, putus, putus dan bermacam putus... Ujian itu pelbagai. Hatta kadang-kadang Allah beri ujian dengan mengambil semula apa yang sudah ada di tangan kita. Yang kita rasakan 'barang' itu milik kita. Hakikatnya kita lupa apa yang kita miliki itu hanya pinjaman sementara. Bila-bila masa Allah boleh ambil semula.

Di saat kita lupa itulah, tiba-tiba datang peringatan yang perlu kita ambil pengajaran darinya. Perlu mengoreksi diri semula. Di mana amal ibadah kita. Di mana amal kebajikan kita. Di mana syukur kita kepada Allah yang sepatutnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Di mana, di mana, di mana dan di mana...

Maka benarlah ujian itu pengapusan dosa-dosa yang kita lakukan selama ini. Sengaja Allah beri untuk memberi ruang pada kita memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Kelemahan dan kekurangan itu bukan sahaja dinilai dari sudut yang satu. Tetapi menyeluruh.
Solat berjamaah pun kita culas!

Apa yang saya cuba maksudkan dengan menyeluruh adalah seluruh amal perbuatan kita. Sekiranya kita solat, apakah solat yang kita tunaikan itu sempurna? Cukupkah syarat wajib dan rukun fi'li serta qalbi nya? Atau apakah kita 'mencuri' di dalam solat kita. Tiada toma'ninah, kurang bacaannya dan lain-lain.

Kalau kita bersedekah...dari mana sumbernya? Halal atau haram?

Tak perlu untuk saya berceloteh lebih panjang. Saya kembalikan apa yang saya lontarkan ini kepada diri saya dan semua bagi membina semula jambatan Mahabbah kita dengan Allah Taala. Tuan Milik kepada batang tubuh kita. Tuan Milik kepada semua mata benda dunia. Kita hanya hamba yang layak disuruh itu dan ini. Yang layak bagi kita adalah taat serta patuh. Bukan menyuruh dan meminta itu dan ini melayani nafsu yang tidak pernah cukup dan puas.

Ingat kita hanya HAMBA. DIA lah segalanya. Kembalilah mengahayati Hidup bersamaNya.

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidakku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cinta-Mu kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh


Air Mata Keinsafan - MBH Music Valley

Tuesday, June 2, 2009

HALUAN SISWA RAPATKAN JURANG ANTARA PELAJAR DARUL QURAN

HALUAN SISWA RAPATKAN JURANG ANTARA PELAJAR DARUL QURAN

Kuala Kubu Bharu, 2 Mei 2009: Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menerima seramai 204 orang pelajar baru untuk mengikuti program Diploma Tahfiz al-Quran wa Al-Qiraat. Kesemua pelajar yang telah mendaftar diri pada pagi tersebut, kemudiannya telah mengikuti sesi suai kenal yang dikenali sebagai Minggu Haluan Siswa selama 6 hari bermula 2 Mei 2009 hingga 7 Mei 2009.

Sepanjang Minggu Haluan Siswa tersebut, pelajar-pelajar ini telah didedahkan dengan suasana pembelajaran di Darul Quran terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan-peraturan di Darul Quran, teknik pengajian, kaedah hafazan, penggunaan perpustakaan, dan lain-lain.

Selain itu, beberapa aktiviti out door turut dilaksanakan dengan tujuan merapatkan hubungan antara sesama pelajar, memantapkan keyakinan diri, dan memupuk semangat kerjasama di kalangan pelajar. Antara aktiviti tersebut ialah ‘ice breaking’, 'mind setting, Learning Partnership, Hayya Bil 'Arabiah, kembara dan riadah.

Majlis Penutup Minggu Haluan Siswa ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Pendaftar Darul Quran, Ustaz Abdul Qadir Bin Sallah. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya diterima masuk ke Darul Quran. Selain itu beliau berharap agar para pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian dan hafazan al-Quran. Tirai Minggu Haluan Siswa ini berlabuh dengan jayanya pada 7 Mei 2009.

Friday, May 8, 2009

Untitled...

Jika mereka sibuk mencari cinta, biarlah kita sibuk mencari iman.
Jika mereka sibuk mencari pasangan, biarlah kita sibuk mencari keredhaan
Jika mereka menangis kerana kecewa bercinta,
biarlah kita menangis kerana mengenang dosa semalam.
Jika mereka cintakan kemanusiaan,
biarlah kita cintakan tuhan
Jika mereka mendambakan kehidupan duniawi,
biarlah kita dambakan kehidupan ukhrawi

Ada BERANI...?

Wednesday, April 29, 2009

10 Perkara Mematikan Hati

Ketika Ibrahim bin Ad’ham (seorang ahli tasawuf) berada di pasar Basrah, telah dikerumuni beliau oleh orang ramai, di antaranya ada yang bertanya: “Ya Aba Ishak! Gelaran bagi Ibrahim bin Ad’ham mengapakah kami memohonkan doa kepada Allah, tetapi tidak dikabulkan doa kami?” Ibrahim bin Ad’ham menjawab: “Kerana hati kamu telah mati disebabkan sepuluh perkara:

Kamu mengenal Allah, tapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.

Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah saw, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.

Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal menurut Al-Quran.

Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya.

Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.

Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar adanya, tetapi kamu tidak beramal untuknya.

Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar adanya, tetapi kamu tidak lari daripadanya.

Kamu telah berkata bahawa mati itu benar adanya, tetapi kamu tidak bersedia baginya.

Kamu bangun dari tidur lalu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.

Kamu mngubur mayat-mayat saudara-saudara kamu, tetapi kamu tidak jadikan pelajaran bagi mereka.

Thursday, April 16, 2009

DigitalMukimin.com - Inspirasi sejati hamba Ilahi

Setiap orang yang sukakan keindahan pasti mengagumi keindahan dan kebesaran ciptaan Ilahi. Semalam saya diperkenalkan dengan satu laman yang menguji keterujaan saya. Digital Mukmin ataupun digitalmukmin.com.

Sebenarnya laman ini adalah milik penuh kepada seorang tokoh ulama yang kian disegani. Tak lain tak bukan - Ustaz Azhar Idrus. Seorang tokoh guru yang berani menyuarakan yang hak dan batil. Penyampaian dan persembahan dakwah beliau amat menarik.

Tak sangka, seorang ulama' seperti beliau punya laman web yang begitu menarik. Saya difahamkan beliau memiliki dua buah kamera berharga RM15,000 setiap satu. Perghhhh. Mantop! Sahabat-sahabat boleh meninjau ke laman tersebut dengan klik disini.

Wednesday, April 15, 2009

Bagaimana Menjadi Lebih Kreatif?

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
MAP Training

Manusia memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk maju. Lebih menarik lagi, sesiapa sahaja boleh melakukan latihan-latihan tertentu secara konsisten bagi meningkatkan daya kreativiti mereka. Dengan latihan-latihan ini anda akan dapati diri anda menjadi lebih kreatif dan anda mampu menyumbang pelbagai ide yang tidak pernah anda fikirkan selama ini. Ide-ide ini mungkin menjadi penyebab kejayaan anda untuk lebih berjaya dalam karier, pergaulan, bisnes dan sebagainya.

Langkah-langkah yang anda perlu ambil dari sekarang:

1.

Berani lakukan perubahan. Jangan takut untuk mencuba pelbagai pendekatan baru dalam melakukan sesuatu yang biasa anda lakukan. Tidak semestinya pendekatan baru anda ini lebih baik tetapi sekurang-kurangnya anda melatih minda anda untuk berani lakukan perubahan. Minda anda akan lebih fleksibel terhadap sesuatu perkara dan membuka peluang untuk anda lihat sesuatu perkara itu dari pelbagai sudut pandangan. Misalnya, cuba pelbagaikan jalan yang biasa anda ambil untuk ketempat kerja; setiap kali sembahyang Jumaat, pergi ke masjid yang berbeza; ubah dari semasa ke semasa kedudukan perabut di rumah atau di pejabat anda; ubat kegemaran anda menulis dalam satu-satu format, fonts, warna dan sebagainya; apabila ke restoran cuba minta minuman yang lain dari kebiasaan anda; fikirkan pendekatan baru atau stategi baru dalam satu-satu permainan; dan lain-lain. Yang penting disini ialah biasakan diri anda untuk berani lakukan perubahan.
2.

Suburkan setiap ide baru. Ramai orang yang mempersendakan ide-ide yang kurang matang atau kurang bernas. Tetapi tidakkah anda sedar banyak kejayaan yang dicapai hari ini bermula dari ide yang tidak masuk akal? Wright Brothers dikatakan gila apabila mereka kata besi boleh terbang. Edison dicemuh apabila dia kata malam boleh menjadi terang. Kini terbukti ide-ide gila merekalah yang membawa kemakmuran dalam hidup kita kini. Oleh itu, jangan diracuni setiap ide. Mungkin apabila ide tersebut dicanai ia membawa suatu impak yang besar dan pembaharuan dalam hidup. Kaji setiap ide sebelum ia diketepikan. Meskipun terbukti ide tersebut tidak membawa faedah, namun pengalaman berfikir yang telah anda libatkan membawa makna besar dalam kejayaan selepas itu. Ide atau cetusan ilham ada ketikanya datang secara tiba-tiba dalam masa hanya beberapa saat. Jangan tertipu dengan berkata yang anda akan menulisnya kemudia kerana anda pasti lupa tentang ide itu akibat kesibukan kerja, atau terfikir sesuatu perkara yang lain, atau anda sendiri berkata ide itu tidak bagus. Mulai hari ini pastikan anda sentiasa membawa buku kecil kemana-mana sahaja anda pergi. Catatkan setiap ide, tanpa menilai, ke dalam buku kecil itu. Berikan masa untuk anda fikirkan ide tersebut setelah anda tenang.
3.

Bina kebolehan meniru dan mengubahsuai. Hari ini, agak sukar untuk anda menemui ide-ide yang baru dan unik. Kebanyakan ide baru anda datangnya daripada gabungan pelbagai ide yang telah wujud sekeliling anda. Ada pendapat yang mengatakan, sekiranya anda mampu mengubahsuai 10% sahaja apa yang telah orang lain hasilkan maka cukup untuk anda menjadi kaya raya. Pastikan pengubahsuaian ini tidak melanggar hak cipta atau paten yang telah didaftarkan oleh orang lain.
4.

Bina kreativiti anda apabila ada masa lapang. Gunakan masa lapang anda untuk mengasah minda kepada aktiviti yang merangsang daya kreativiti anda. Sekiranya senaman dan riadah yang anda lakukan dimasa lapang banyak membantu kecergasan anda ditempat kerja (atau sekolah) begitulah juga dengan minda. Aktiviti minda yang anda lakukan dimasa lapang akan membantu kecerdasan minda anda ditempat kerja atau sekolah. Contohnya, gunakan masa lapang untuk teka-teki, permainan chess, "puzzles", melukis, kraftangan, fotografi dan sebagainya.
5.

Amalkan sikap ingin tahu dan suka menyelidik. Jangan sekadar berpuashati dengan apa yang ada disekitar anda, tidak ada satu pun yang sempurna. Setiap ciptaan manusia yang anda lihat pasti ada cacatnya. Sikap suka menyelidik ini membolehkan anda mendapat ide-ide baru bagi menghasilkan sesuatu yang lebih baik dari yang sedia ada. Tanyakan diri anda dengan soalan-soalan seperti Apa? Kenapa? Bila? Bagaimana? Setiap kali ada orang yang mengatakan yang sesuatu itu tidak boleh dibuat (atau tidak boleh dicapai), tanyakan soalan ini, "Kenapa tidak?". Binakan sikap suka bertanya. Tidakkah anda sedar anak kecil yang banyak bertanya itu lebih bijak daripada anak kecil yang sekadar diam. Begitulah juga dengan kita.

Dengan mengamalkan saranan di atas dalam kehidupan harian anda, anda akan dapati banyak perkara baru dan menarik yang bakal ditemui setiap hari. Minda anda menjadi lebih kreatif. Anda lebih kritikal. Tidak mudah menerima mentah-mentah sesuatu itu dan berani pula hadapi perubahan.

Sekian.

Monday, April 6, 2009

Apa sumbangan kita?

Boleh dikatakan penglibatan saya pada Pilihanraya Kecil Bukit Gantang P059 kali ini agak berbeza dengan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu P036 yang lalu. Pada PRK Kuala Terengganu saya berpeluang bertugas secara konsisten sejak dari hari penamaan calon sehinggalah keputusan pilihanraya dikeluarkan. Akan tetapi pilihanraya kali ini adalah sebaliknya.

Kekangan tugas dan komitmen kerja. Itu mungkin antara cabaran atau alasan yang mampu saya katakan. Namun walau apapun alasannya, bukanlah penghalang kepada sumbangan kita (saya dan anda semua) bagi memastikan kemenangan Islam.

Apa sumbangan kita? Islam tidak memandang sesuatu pekerjaan itu secara zahiri sahaja. Bahkan mengambil kira setiap sudut gerak laku penganutnya. Senjata paling ampuh bagi seorang mukmin adalah Doa'. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : `Ad Dua' Silah Al- Mukmin`. Doa itu senjata orang beriman.

Berdoalah setiap kali selesai solat lima (5) waktu. Mohon agar pejuang Islam diberi kemenagan. Kemenangan hakiki yang bakal membina daulah!

DOA senjata kita! Itu juga sumbangan kita!

Promo Album Terbaru Hijjaz Record - Penawar Hati 5

Mutiara Hadith

Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila engkau meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau meminta tolong, mintalah kepada Allah. Dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berhimpun untuk memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak dapat memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu melainkan sekadar yang telah dituliskan oleh Allah bagimu. Dan ketahuilah sekiranya berhimpun umat untuk memudharatkanmu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan dapat memudharatkanmu melainkan sekadar yang telah ditulis oleh Allah atasmu.”

(Hadis Riwayat Tarmizi)

Najib Hipokrit Menjelang Pilihanraya

Saidah Hairan
Mon | Apr 06, 09 | 8:18:41 am MYT

BUKIT GANTANG, 6 April (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak cuba membersihkan imejnya yang terlalu kotor dengan membebaskan 13 tahanan ISA dan menarik semula penggantungan akhbar Harakah serta Suara KeADILan.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang diambil oleh Najib hanya perkara biasa dan sering dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri yang baru memegang jawatan. Beliau menegaskan,apa yang dilakukan oleh Najib itu adalah gimik menjelang pilihan raya dan bukan realiti.

"Saya yakin selepas pilihan raya banyak tangkapan akan dilakukan," katanya ketika ditemui selepas bertemu rakyat di pasar pagi Taman Kaya, Changkat Jering.

Jika beliau betul-betul jujur ISA mesti dihapuskan kerana selagi akta rimba itu tidak dimansuhkan rakyat Malaysia tidak akan selamat.

Mengulas penggantungan Harakah yang ditarik semula katanya, selagi Akta Mesin Cetak masih ada kongkongan media masih kuat.

"Kita rasa rakyat Malaysia tidak mendapat maklumat sebenar dan saya yakin apa yang dilakukan oleh Najib cuma gimik politik untuk membersihkan imejnya yang telah tercalar," tegasnya.

Beliau mengingatkan bahawa imej Najib bukan hanya tercalar dalam negara bahkan di luar negara.

Katanya, PAS berharap tindakan undang-undang perlu diambil terhadap majalah-majalah luar negara yang merosakkan imej negara.

Merujuk pengalaman lampau beliau menjangkakan tidak mustahil tindakan akan diambil kepada Akta Mesin Cetak.

"Kita kenal siapa Najib. Kita yakin selepas ini bukan sahaja berita yang cuba dikawal tetapi akhbar-akhbar yang menentang kerajaan akan disekat," tegasnya.

Beliau berharap Najib dapat menggembalikan sistem demokrasi yang adil dengan mengikhtiraf kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan wakil rakyatnya.

Tambah beliau,mereka harus diletakkan sesuai dengan kedudukan mereka sebagai Ahli Majlis, ada peruntukan kewangan dan sebagainya.

"Kita mengharapkan beliau harus berubah. Selagi beliau tidak berubah, kita tidak akan percaya kepada Najib," tegasnya

Tuesday, January 20, 2009

PRK P036 - Sebuah pengalaman berharga

Alhamdulillah, PRK P036 Kuala Terengganu telah pun selesai. Gerak kerja pilihanraya pun sudah selamat dilunaskan. Setelah berada hampir 13 hari di Terengganu, 18 Januari lalu ana kembali ke Selangor. Bagi pekerja seperti ana, pasti tugas dipejabat bertambah. Bagi mahasiswa di kampus pula, perancangan dan strategi baru perlu diatur rapi bagi menghadapi PR Kampus (bagi IPT yang belum mengadakan PRK).

Alhamdulillah - rakyat terus membuka mata hati dengan memberi pengajaran besar kepada Barisan Nasional. PRK P036 berpihak kepada Pakatan Rakyat. Ini bermakna, sudah 3 kali rakyat memberi isyarat bahawa hayat hidup Barisan Nasional hampir ke penghujungnya.

Bermula dengan keputusan luar jangka PRU 12. Pakatan Rakyat berjaya mentadbir 5 buah negeri. Disusuli pula dengan PRK Permatang Pauh, DSAI layak ke Parlimen. Kini Abdul Wahid pula layak ke PArlimen setelah PR berjaya menawan pengundi di Kuala Terengganu. Takbir.

Jangan Angkuh

Semalam terbaca kenyataan seorang ulama, umara' haraki dan sufi - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Sinar Harian. Simple tetapi mendidik jiwa insan seperti ana. Dalam kenyataan tersebut TGNA berpesan supaya jangan ada kenyataan angkuh hasil kemenangan yang diberi oleh Allah swt.

Bernas - Hakikatnya menang kalah urusan Allah swt. Dia yang memberi. Sehebat mana pun kita bekerja, hakikatnya kehebatan itu Hak Allah...kita sebagai hamba hanya layak melaksanakan tanggungjawab.

Meraut ukhwah di tepian pantai

Ayah Wan, Cikgu Naburi, Akhi Hidayat, Cikgu Hadi - Semua kenalan baru ana. Orang tempatan yang banyak membantu sepanjang keberadaan ana di sana. Sebuah pengalaman yang takkan dilupakan.

Ayah dengan sifatnya yang lemah lembut. Dirumahnya lah ana menumpang. Kami petugas Selangor yang diletakkan di UPU Ladang berkampung dilaman rumahnya. Makan minum kami di sana. Cikgu Aziz selaku chef sempat menurunkan resipi Ikan Singgang kepada kami semua...

Sahabat, jumpa lagi di lain masa, InsyaALlah. Takbir!

Lihat koleksi foto di sini

Thursday, January 15, 2009

Membuat Pilihan Yang Bijak

Seorang bapa mesti bijak mencorak gaya hidup anak-anaknya. Bijak mencorak pemikiran dan pendidikan anak-anaknya. Ibu pula perlu bijak memilih zat-zat makanan untuk disaji buat keluarga tersayang. Bijak mengatur gerak kerja harian di rumah walaupun di siangnya mungkin sibuk di pejabat.

Bahkan ibu bapa bukan sahaja perlu bijak dari sudut mengatur hidup keluarganya sahaja. Bahkan perlu bijak dalam memilih pemimpin negara yang bakal mencorak negara tempat tinggal keluarganya. Sekiranya pemimpin yang dipilih adalah pemimpin yang memimpin semata-mata mengejar hidup dunia, maka bukan sahaja anak-anak, bahkan cucu cicit waris akan datang akan jauh dengan kehidupan akhirat.


Sekiranya pemimpin yang dipilih dari mereka yang hanya mementingkan perut mereka tanpa menghiraukan nasib rakyat maka hasilnya adalah seperti hari ini. Hasil mahsul negera berjuta, pemimpin kaya raya tetapi rakyat hidup dalam kemiskinan dan kesusahan.

Kesempatan yang ada ini marilah kita menyokong calon PAS, Haji Abdul Wahid Endut. Berilah peluang kepada beliau untuk membawa suara rakyat ke parlimen. Berilah kesempatan kepada PAS untuk memimpin semula Terengganu seperti mana pada tahun 2004.

*Saya orang luar a.k.a bukan orang Terengganu, tetapi mengapa saya sibuk menyeru pengundi Terengganu supaya mengundi PAS? Sebabnya adalah kita bersaudara. tidak ada sebab mengapa perlu mengundi BN yang sudah 52 tahun memerintah negara, namun tiada perubahan terhadap rakyat, terutamanya dari sudut meningkatkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat. Dan banyak lagi sebab musabab yang lain. Fikirkanlah. Buatlah pilihan yang bijak. Katakan Ya Kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Takbir!

Wednesday, January 14, 2009

Solat Hajat Perdana



Nota Penting : Seluruh umat Islam diseru untuk berpuasa sunat pada hari Khamis 15 Januari 2008 bagi memohon keberkatan dan kemenangan Islam di seluruh dunia.

Saturday, January 10, 2009

Palestin, Munafiq dan Tanggungjawab Kita

Isu hangat yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini sebenarnya bukanlah isu PRK P36 Kuala Terengganu. Walaupun focus utama media membangkitkan isu perbalahan dua parti besar Negara – PAS vs BN di Kuala Terengganu. Namun hakikatnya, isu hangat bagi umat Islam adalah isu kepedulian umat terhadap saudara seagama di Bumi Arab Palestin.

Buktinya hari ini bukan sahaja umat Melayu Malaysia sahaja bangkit menyatakan ketidakpuashatian mereka terhadap tindakan zionis yahudi laknatullah. Bahkan seluruh dunia mengutuk tindakan kejam yahudi dan sekutunya Amerika serta beberapa pimpinan Arab yang kecut takut terhadap kuasa besar Amerika dan Yahudi.

Bahkan di Malaysia tidak kurang serupanya dengan pemimpin Negara Arab yang lain. Bisu dalam isu kekejaman terhadap Palestin. Sehingga usul membahaskan isu Palestin di parlimen pernah ditolak oleh speaker dengan alas an, isu Palestin bukan isu besar. Kita ingin bertanya sekiranya isu Palestin bukan isu besar yang memerlukan kesepakatan, jadi apakah isu besar yang perlu diutamakan? Isu Melayu?

3 golongan manusia

Di sisi Allah hanya ada tiga golongan manusia. Tidak kiralah samada dia melayu, india, cina, jepun, korea, inggeris dan sebagainya. Di sisi Allah hanya ada tiga, iaitu, Islam, kafir dan di antara keduanya yang dipanggil munafiq.

Islam semestinya akan menerima dan mengamalkan seluruh ajaran Islam. Manakala kafir adalah sebaliknya. Adapun yang berada di antara keduanya iaitu munafiq adalah manusia yang tidak serius dengan Allah. Manusia yang Allah tak pandang pada mereka.

Massage Sending Failed

Rakyat telah dua kali menghantar mesej kepada kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Pak Lah. Namun suara rakyat marhaen ini langsung tiada kepedulian dari kerajaan. Mesej pertama yang dimaksudkan adalah keputusan mengejut Pilihanraya Umum 12 Mac 2008 yang lalu. Rakyat dengan berani telah memberi amaran kepada Pak Lah bahawa rakyat adalah kuasa penentu iklim politik Negara. Rakyat adalah hakim Negara. Hasilnya lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Namun mesej pertama ini tidak dipedulikan oleh Barisan Nasional. Harga minyak selepas pilihanraya ke 12 terus naik kepada 78sen se liter. Kesannya harga barangan meningkat. Kos sara hidup meningkat. Sehingga ke hari ini walaupun harga minyak antarabangsa jatuh ke paras yang terendah, harga barang masih tidak dapat dikawal oleh kerajaan.

Mesej kedua telah disampaikan kepada BN. PRK Permatang Pauh rakyat sekali lagi menghantar mesej kepada BN. Kemenangan besar Dato Seri Anwar Ibarahim sedikit sebanyak merubah lanskap politik tanah air. Agenda Sep 16 walaupun tidak menjadi kenyataan, namun ia tetap memberi kesan besar kepada BN. Pun begitu, sikap angkuh pimpinan BN terus menjadikan suara dan mesej rakyat tidak di hati mereka.

Perubahan demi masa hadapan

Setelah dua mesej besar yang diberikan rakyat kepada BN tidak dinilai dengan baik oleh kerajaan. Kini, rakyat di Terengganu diberi peluang menghantar mesej ketiga. Mesej ketiga ini akan memberikan dua kesan besar terhadap lanskap politik tanah air. Pertama, kemenangan Pakatan Rakyat amat penting demi menjamin kestabilan kehidupan rakyat khususnya di Kuala Terengganu dalam banyak isu seperti Monsoon Cup yang jelas merugikan rakyat. Isu kemiskinan yang tiada kepedulian dari kerajaan BN yang memerintah pada hari ini dan banyak lagi.

Kedua, kemenangan ini akan menentukan politik negera pada PRU ke 13. Sekiranya kemenangan berpihak kepada PR, tidak mustahil pada PRU 13, Malaysia akan ditadbir oleh pemimpin yang benar-benar merakyatkan rakyat di hati mereka. Bukan pemimpin yang memikirkan kepentingan peribadi semata. Jom lakukan perubahan! Undilah PAS! Takbir!

*Artikel ini tidakbegitu tersusun, tetapi ada kaitan antara sub topic. Pandai-padailah antum semua mengaitkannya. Ate semua udoh besor panjang, pandai-pandai memikior kan nye…

Saturday, January 3, 2009

Biodata Calon P036 - JOM UNDI PAS

Nama penuh : Mohd Abdul Wahid bin Hj. Endut
Umur : 51 tahun
Tarikh lahir : 29 hb September 1957
Tempat kelahiran : Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu
Tempat tinggal : Kampong Seberang Baruh Kiri,
Jalan Kelantan, Kuala Terengganu

Keluarga
Isteri : Wan Fatimah binti Wan Abdullah
Pekerjaan Isteri : Guru (P.K. HEM)
Anak : 9 orang – 2 lelaki dan 7 perempuan

Taraf Pendidikan : 1. Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
2. Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
3. Universiti Pertanian Malaysia ( UPM ) Serdang
Pengalaman kerja : 1. Pegawai Tadbir UPM
2. Peniaga
3. Exco Kerajaan Negeri Terengganu – 1999 – 2004
4. ADUN Wakaf Mempelam sejak 1990 – hingga sekarang

Jawatan Dalam Parti : 1. Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
2. Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu

Friday, January 2, 2009

Terkini : 16 lagi rakyat Palestin terkorban semalam

Jumaat ,02/01/2009 -Tentera udara rejim Zionis pada petang Khamis, telah mengebom rumah Dr Nizar Al-Rayyan, menyebabkan beliau dan 15 ahli keluarga beliau terbunuh.

Rumah yang disasarkan oleh tentera udara rejim Zionis berada dalam kem pelarian Jabalya yang penuh sesak menyebabkan banyak kerosakan rumah berdekatan serta kecederaan.

Dr Rayyan adalah seorang pensyarah universiti Islam dan mendapat penghormatan yang meluas sekitar kem pelarian Jbalya, terutama kerana beliau sentiasa berada di barisan depan demonstrasi menentang penjajahan rejim Zionis , bukan sahaja itu malah beliau tidak pernah teragak-agak untuk memakai sut ketenteraan dan menyertai Qassam Brigades dalam mempertahankan kem sepanjang serangan mendadak rejim Zionis..

Dr Rayyan juga juga yang mengambil inisiatif dua tahun lepas melindungi kediaman dengan membentuk perisai manusia daripada serangan udara rejim Zionis.

Note: 
sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/ 
penterjemah : gunx