Tuesday, April 20, 2010

Majlis Khatam Hafazan Al-Quran

KUALA KUBU BHARU 17 APRIL 2010 – Bertempat di Dewan Muktamar, Darul Quran Jakim telah berlangsung Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Program Persijilan Tahfiz Al-Quran 2010.

Majlis yang merupakan agenda tahunan itu diadakan bagi merai seramai 123 orang pelajar yang telah berjaya menamatkan hafazan al-Quran 30 juzuk dalam tempoh 18 bulan di Darul Quran.

Majlis khatam yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ust Shuib Abu Al-Hafiz itu telah dirasmikan dengan jayanya oleh Y.Bhg Datuk Haji Wan Mohammad Nor Bin Haji Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM.

Di dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga dengan lahirnya para huffaz di bumi Darul Quran ini dan beliau juga mengingatkan para pelajar supaya sentiasa meningkatkan keazaman untuk melanjutkan pelajaran selepas menamatkan pengajian di Darul Quran.

“Peranan para pensyarah amat besar dalam melahirkan para huffaz yang cemerlang. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pensyarah yang komited terhadap pencapaian akademik pelajar” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Darul Quran turut menganugerahkan kepada 2 orang pelajar Anugerah Pelajar Cemerlang. Kedua-duanya merupakan pelajar cemerlang dengan PNGK 4.0.

Turut hadir pada majlis tersebut Hj. Abd Kodir Sallah, Timb. Pengarah (Pendaftar), Hajjah Zawanah Mohammad, Timb. Pengarah (Akademik), Hj Razali Shahabuddin, Mantan Pengarah Darul Quran, pegawai dan kakitangan Darul Quran serta ibu bapa pelajar.

  • photos will be published later... :)

Berani Mengaku Kesalahan Diri

Assalamualaikum wbt.

Dari Imran bin Husain r.a. katanya: “Seorang perempuan dari suku Juhainah datang menghadap kepada Nabi saw. padahal dia sedang hamil akibat melakukan zina. Lalu katanya, “Ya, Nabiyallah! Aku telah melanggar hukum; maka tegakkanlah hukum itu atas diriku!” Kerana itu Rasulullah saw memanggil wali perempuan itu, lalu beliau bersabda kepadanya, “Rawatlah perempuan ini sebaik-baiknya. Apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku!” Perintah Nabi saw. Itu dijalankan oleh walinya sesuai dengan yang diperintahkan beliau. Setelah perempuan itu melahirkan, maka dia dihadapkan kepada Rasulullah saw. Lalu dikenakan pakaiannya dengan erat. Kemudian Nabi saw. memerintahkan supaya dia dihukum rajam, lalu ia dirajam. Setelah dia tewas, Nabi saw. melakukan solat jenazah baginya. Maka bertanya ‘Umar kepada beliau, “Perlukah dia disolatkan, ya Nabiyallah? Bukankah dia berzina?” Jawab beliau, “Dia telah taubat sebenar-benarnya taubat. Andaikata taubatnya itu dibagi kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti cukup bagi mereka. Manakah lagi taubat yang lebih utama daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta’ala secara ikhlas?” [HR Muslim]

Berdasarkan hadis ini pengajaran yang paling penting ialah kita berani mengaku kesalahan yang kita lakukan walaupun mungkin impak buruk dari pengakuan itu mungkin akan memakan diri kita dan menerima penghinaan di sisi manusia. Kita sebagai manusia sememangnya tidak lepas dari kesalahan dan kelalaian. Namun mengapa kita tidak mampu mengaku kesalahan kita?

Pengajaran dari hadis ini juga bahawa Allah SWT telah menurunkan agama yang sangat menyayangi umatnya kerana perbuatan zina yang buruk di sisi agama tetap mendapat tempat yang tinggi di akhirat sekiranya dia benar-benar bertaubat dan menyesal di atas apa yang telah lakukannya.
Dan agama Islam tidak mendiskriminasikan mereka yang melakukan kesalahan dan dosa asalkan mereka bertaubat. Rasulullah s.a.w dan para sahabat tetap menyembahyangkan jenazah perempuan dari suku Juhainah yang melakukan zina ini.

Thursday, February 18, 2010

Usah diturutkan perasaan!


Mutakhir ini suhu politik Malaysia boleh dikatakan agak panas dengan isu-isu global. Saya tidak mahu menyentuh masalah wakil-wakil rakyat (PKR) yang melompat-lompat tak tahu hendak ke mana.

Saya suka mengajak sahabat-sahabat mengintai politik PAS yang dilihat mampu memimpin Pakatan Rakyat untuk tempoh masa akan datang. Sejak PRU ke 12 yang lalu, PAS terus diteropong oleh rakyat yang ingin melihat tahap kemampuan PAS memimpin kawasan, negeri dan negara.

Bagi saya, walaupun PAS dilihat goyah sedikit dengan beberapa isu dalaman parti. namun PAS sebenarnya mampu menyelesaikannya dengan matang dan berani. Isu keputusan JK Disiplin PAS baru-baru ini tidak sedikitpun menggoyah PAS di mata masyarakat. Cuma terdapat segelintir ahli yang 'tersasul' kata akibat terlalu mengikut perasaan.

Mungkin kurang tarbiyah. Mungkin juga tak mahu ditarbiyah. Saya suka membaca artikel Ust Idris Ahmad bertajuk Jangan Robohkan Doktrin wala dan taat Dalam PAS

Jadi, janganlah diikutkan perasaan. Taatlah pimpinan kita. Keputusan yang diambil bukanlah keputusan peribadi semata-mata. tetapi keputusan jamaah yang kita sayangi. Jika benar kita sayang jamaah dan ISLAM, usah lagi di adu domba, fitnah mempfitnah, kata mengata sesama ahli. APatah lagi kita ahli kecil di bawah. terimalah dan akui setiap inci amanah, taklifan dan keputusan serta arahan pimpinan. Selamat berjuang kerana kefahaman bukan kerana perasaan.