Wednesday, April 21, 2010

Mencari Keberkatan Rezeki

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya.” Riwayat Bukhari dan Muslim

Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan.Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.

Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya.Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan.

Tuesday, April 20, 2010

Majlis Khatam Hafazan Al-Quran

KUALA KUBU BHARU 17 APRIL 2010 – Bertempat di Dewan Muktamar, Darul Quran Jakim telah berlangsung Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Program Persijilan Tahfiz Al-Quran 2010.

Majlis yang merupakan agenda tahunan itu diadakan bagi merai seramai 123 orang pelajar yang telah berjaya menamatkan hafazan al-Quran 30 juzuk dalam tempoh 18 bulan di Darul Quran.

Majlis khatam yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ust Shuib Abu Al-Hafiz itu telah dirasmikan dengan jayanya oleh Y.Bhg Datuk Haji Wan Mohammad Nor Bin Haji Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM.

Di dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga dengan lahirnya para huffaz di bumi Darul Quran ini dan beliau juga mengingatkan para pelajar supaya sentiasa meningkatkan keazaman untuk melanjutkan pelajaran selepas menamatkan pengajian di Darul Quran.

“Peranan para pensyarah amat besar dalam melahirkan para huffaz yang cemerlang. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pensyarah yang komited terhadap pencapaian akademik pelajar” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Darul Quran turut menganugerahkan kepada 2 orang pelajar Anugerah Pelajar Cemerlang. Kedua-duanya merupakan pelajar cemerlang dengan PNGK 4.0.

Turut hadir pada majlis tersebut Hj. Abd Kodir Sallah, Timb. Pengarah (Pendaftar), Hajjah Zawanah Mohammad, Timb. Pengarah (Akademik), Hj Razali Shahabuddin, Mantan Pengarah Darul Quran, pegawai dan kakitangan Darul Quran serta ibu bapa pelajar.

  • photos will be published later... :)

Berani Mengaku Kesalahan Diri

Assalamualaikum wbt.

Dari Imran bin Husain r.a. katanya: “Seorang perempuan dari suku Juhainah datang menghadap kepada Nabi saw. padahal dia sedang hamil akibat melakukan zina. Lalu katanya, “Ya, Nabiyallah! Aku telah melanggar hukum; maka tegakkanlah hukum itu atas diriku!” Kerana itu Rasulullah saw memanggil wali perempuan itu, lalu beliau bersabda kepadanya, “Rawatlah perempuan ini sebaik-baiknya. Apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku!” Perintah Nabi saw. Itu dijalankan oleh walinya sesuai dengan yang diperintahkan beliau. Setelah perempuan itu melahirkan, maka dia dihadapkan kepada Rasulullah saw. Lalu dikenakan pakaiannya dengan erat. Kemudian Nabi saw. memerintahkan supaya dia dihukum rajam, lalu ia dirajam. Setelah dia tewas, Nabi saw. melakukan solat jenazah baginya. Maka bertanya ‘Umar kepada beliau, “Perlukah dia disolatkan, ya Nabiyallah? Bukankah dia berzina?” Jawab beliau, “Dia telah taubat sebenar-benarnya taubat. Andaikata taubatnya itu dibagi kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti cukup bagi mereka. Manakah lagi taubat yang lebih utama daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta’ala secara ikhlas?” [HR Muslim]

Berdasarkan hadis ini pengajaran yang paling penting ialah kita berani mengaku kesalahan yang kita lakukan walaupun mungkin impak buruk dari pengakuan itu mungkin akan memakan diri kita dan menerima penghinaan di sisi manusia. Kita sebagai manusia sememangnya tidak lepas dari kesalahan dan kelalaian. Namun mengapa kita tidak mampu mengaku kesalahan kita?

Pengajaran dari hadis ini juga bahawa Allah SWT telah menurunkan agama yang sangat menyayangi umatnya kerana perbuatan zina yang buruk di sisi agama tetap mendapat tempat yang tinggi di akhirat sekiranya dia benar-benar bertaubat dan menyesal di atas apa yang telah lakukannya.
Dan agama Islam tidak mendiskriminasikan mereka yang melakukan kesalahan dan dosa asalkan mereka bertaubat. Rasulullah s.a.w dan para sahabat tetap menyembahyangkan jenazah perempuan dari suku Juhainah yang melakukan zina ini.