Wednesday, July 9, 2008

Wanwancara Bersama Mantan YDP BKASM

25Jun, 1965 merupakan tarikh penuh bersejarah bagi anak Selangor. Ketika itu Badan Kebajikan Anak Selangor (BKASM) ditubuhkan dengan jayanya. BKASM muncul di tengah-tengah persatuan mahasiswa Malaysia sehingga ke hari ini di Mesir, merupakan hasil rasa inisiatif mahasiswa Selangor sejak dahulu lagi. Ia bertujuan memberikan jaminan kepada kesatuan dan perpaduan di kalangan anak-anak Selangor. Berikut adalah hasil wawancara penulis dengan mantan YDP BKASM yang pernah mengalami 2 kondisi kebangkitan, Ustaz Khairul Azharuddin Margilan.

SOALAN: Selaku mantan YDP BKASM 2004 sehinggalah berlaku era pembekuan, apa perasaan ustaz apabila mengetahui BAS bertukar nama kepada BKASM pada tahun ini?

Inilah 'Imaginasi Cemerlang' – 'BKASM hidup kembali', kami ketika mengharungi zaman getir dahulu. Saat diuji dengan kezaliman fizikal dan mental serta keadaan tidak keruan ahli. Imaginasi positif inilah yang menolak kami terus mara kehadapan dan thabat (kekal) dalam perjuangan. Sebagai seorang jundullah, semangat 'Impian Hari Ini Adalah Realiti Hati Esok' perlu ditanam dalam diri. Hiduplah dalam cita-cita positif, anda akan merasai kehebatannya. Alhamdulillah, syukur. Saya sangat gembira dan penuh semangat.

SOALAN: Bolehkah ustaz menceritakan serba sedikit latar belakang sejarah awal perjuangan badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)?

Seperti pertubuhan lain, BKASM ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anak-anak Selangor di bumi Mesir. Apabila kedatangan mahasiswa pelajar Selangor semakin bertambah, BKASM muncul menawarkan khidmat baktinya. Masalah penempatan mahasiswa, urusan pasport, pendidikan, thaqafah, ukhuwwah dan seumpamanya menjadi tanggungjawab BKASM ketika itu. Perjuangan ini tetap diteruskan walaupun ketika itu BKASM terpaksa dibekukan pada tahun 2004.
BKASM sangat menghormati kerajaan negeri, dan memiliki hubungan yang sangat rapat dengan mereka satu ketika dahulu. Tetapi apabila fitnah berlaku, anasir politik jumud bermula sekitar tahun 2001 dan kemuncaknya pada tahun 2004, segala-galanya berubah. Saya berkesempatan bersama-sama menganjurkan sambutan kedatangan 2 orang MB Selangor, iaitu Dato’ Abu Hassan Omar dan Dato’ Khir Toyo. Menariknya program sambutan kedatangan MB Selangor sangat meriah dan gilang gemilang, lebih–lebih lagi ketika kedatangan MB Dato’ Khir Toyo. Tidak tidur malam anak-anak Selangor dibuatnya, gara-gara ingin meraikan kedatangan MB Selangor yang disayangi tersebut. Tetapi sebaliknya pula berlaku, apabila persatuan kami dinafikan seolah-olah kami tidak pernah berjasa kepada negeri Selangor.
Di Malaysia, BKASM telah banyak mencurah bakti kepada pelajar dan masyarakat melalui Program Bakti Siswanya. Pihak MAIS juga pernah memberi kepercayaan kepada BKASM untuk membantu pengurusan wang zakat. 'Bersatu & Berbakti' adalah motto persatuan ini. Bahkan pada zaman getirnya, ketika saya dan rakan pimpinan dipecat dari jawatan exco dengan cara yang tidak masuk akal, dihalau secara ganas dari asrama dan tidak diizinkan menghuni kompleks rumah Selangor, juga ugutan zakat yang mengganggu perasaan dan tumpuan pelajaran kami, ditambah pula dengan pembekuan BKASM untuk maslahah pelajar baru. Kami tetap meneruskan misi memberikan bakti dalam tragedi lemas seorang pelajar Selangor di Matruh Siwa.
Kamilah yang terdiri dari PMRAM, BKASM dan DPM (Dewan Perwakilan Mahasiswa) Tanta yang mengiringi keluarga mangsa bermula dari airport pada jam 1 pagi untuk pergi ke Siwa menguruskan jenazah hingga ke tanah perkuburan. Hampir 24 jam, tempoh masa perjalanan pergi dan balik ke sana. Belanja kewangan pun ditanggung sendiri. Makan minumpun menumpang rezeki Allah melalui ehsan ketua kabilah Arab di perkampungan Siwa. Alhamdulillah, jiwa sangat merasa puas kerana segalanya untuk meraih redha Allah.
Itulah kerja kebajikan BKASM, mencurahkan kebajikan kepada ahli. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar menutup mulut mereka yang tidak beretika di luar sana.
Anda tahu di mana orang yang memecat kami dan persatuan yang ditajanya pada waktu itu? Pergilah tanya ’mereka’. Rasanya elok saya menyebut struktur kronologi mudah untuk pengetahuan bersama tentang tempoh pembekuan BKASM.
2001, bermulanya fitnah politik jumud daripada pelajar NUMRAM (Nadi UMNO Republik Arab Mesir) yang menyatakan bahawa BKASM adalah pertubuhan pembangkang. Fitnah ini dilancarkan ketika berada mereka melakukan pertemuan dua muka antara bekas MB Selangor, Dato’ Khir Toyo. Mereka (NUMRAM) mula mencari pelbagai kesalahan BKASM agar persatuan yang dianggap pembangkang ini, iaitu BKASM dapat dihapuskan.
2002, atas nama baik pulih bangunan, Kompleks Selangor mula dikosongkan dari penghuni-penghuninya. Hakikatnya, selepas ia di’islah’ pejabat gerakan BKASM dihapuskan. Kemudian pejabat BKASM berpindah ke bangunan Rumah Selangor Lama di kawasan Rabiatul Adawiyyah yang juga dikenali sebagai Raba’ah. Walau bagaimanapun, agenda 'Bersatu & Berbakti' tetap diteruskan.
2003, pegawai HEP mula melancarkan misi untuk meleburkan BKASM. Persatuan baru mula ditubuhkan untuk memecahkan kesatuan anak-anak Selangor. BKASM mula dianak-tirikan. Menariknya ketika itu, tiada siapa yang mahu bersama persatuan baru yang ditubuhkan oleh Pegawai HEP. Jika ada sekalipun, mereka terpaksa atau dipaksa berbuat demikian. Jangan terkejut, saya sendiri pernah menganggotai persatuan baru ini sebagai exco Dakwah kerana kehendak ahli. Anak-anak Selangor ketika itu menginginkan saya agar jawatan exco Dakwah, disandang oleh mereka yang layak. Tetapi, akhirnya saya dipecat dengan cara paling primitif. Dipecat kerana saya mengetuai solat hajat dan qunut nazilah. Majoriti anak-anak Selangor yang bernaung di bawah BKASM tetap terus mempertahankan wadah murni ini. Tekanan demi tekanan, semakin hebat. Rumah Selangor Lama di Rab’ah pula dirampas. Atas nama baik pulih, sekali lagi pejabat BKASM dihapuskan. Di Malaysia pula, pelajar baru dimomokkan dengan BKASM sebagai pertubuhan yang perlu dihindari.
2004, Pegawai HEP yang baru dihantar. Tekanan menjadi semakin hebat. Zakat digunakan semahu-mahunya untuk mengugut pelajar. Ahli mula gelisah khususnya pelajar baru. Dalam tempoh seminggu lagi peperiksaan penggal pertama tiba, kami diugut dengan surat rasmi dari HEP agar melucutkan jawatan BKASM serta merta. Dan jika ingkar, tindakan akan diambil. Kepimpinan BKASM dan pelajar senior mula dihalau dari kompleks. Mereka menggunakan pegawai polis Arab dan security guard untuk menghalang kami memasuki asrama. Adegan biadab pegawai menumbuk pelajar mula berlaku. Akhirnya kami memutuskan agar BKASM dibekukan semata-mata kerana tidak mahu melihat ahli terus tertekan khususnya pelajar baru.
2005, persatuan baru mula bergerak dengan bantuan pegawai. Walaupun pelajar senior sering dihalang untuk berkunjung ke kompleks. Tetapi atas dasar kematangan ukhuwwah, kami memberikan kerjasama khususnya di dalam program yang menjana thaqafah, ibadah dan ukhuwwah kerana mereka adalah persatuan baru yang perlukan pengalaman. Perkara ini berterusan sehinggalah kalimah keramat BKASM mula kedengaran semula pada tahun ini (2008).

SOALAN: Sebagaimana yang dimaklumi, telah timbul tohmahan bahawa BKASM adalah persatuan yang ekstrem, fanatik bahkan dilabelkan sebagai gerakan pembangkang ( PAS di Malaysia). Bagaimanakah penilaian ustaz terhadap tuduhan ini?

Ini tuduhan lapok. Melalui pengalaman saya berinteraksi dengan orang-orang yang menggunakan teknik tohmahan ini, sebenarnya mereka memiliki fahaman politik yang sangat sempit. Mereka hanya berani berdegar-degar berseorangan, menabur keraguan khususnya kepada pelajar baru. Padahal, mereka takut untuk berinteraksi dengan kami secara terbuka.
Pada waktu kami baru sahaja dihalau dari kompleks. Kami gagahkan diri bersama Ketua Persatuan Ibu/Bapa anak-anak Selangor (yang ditubuhkan dengan tujuan membela anak-anak Selangor yang tertindas). Seterusnya, kami menghubungi YDP NUMRAM dengan hasrat dapat berinteraksi dengan mereka tentang apakah sebenarnya yang mereka inginkan dari kami? Mengapa hati mereka sangat busuk terhadap kami? Apakah bukti tegar sehingga mereka sanggup menyatakan di hadapan MB, bahawa kami adalah pembangkang? Dan pada masa yang sama, kami mencari jalan tengah yang boleh diambil, agar kebajikan anak-anak Selangor terpelihara. Malangnya jawapan yang diberikan YDP NUMRAM sangat mengecewakan. Kata YDP NUMRAM ketika itu yang masih berdesing di dalam telinga saya: 'Kita tiada apa-apa hubungan, kalau nak jumpa sila minta izin dengan safarah (kedutaan)..'. Ya, kedutaan adalah kubu kuat mereka.
Itulah tabiat mereka, dan masih banyak lagi cerita berkenaan karenah NUMRAM bersama pegawai. Rata-ratanya menyungguhkan kami bahawa mereka memiliki fahaman politik yang sangat sempit. Soal ahli Selangor yang cenderung kepada mana-mana parti, itu adalah hak yang dijamin dalam sistem berparlimen di Malaysia. Mahasiswa berhak memilih parti apakah yang paling ideal memerintah negara. Malangnya 'mereka' memperbodohkan mahasiswa. Mereka sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri!
Dalam soal politik, mahasiswa berperanan besar mendidik masyarakat tentang konsep politik Islam /politik adil dan mengupasnya secara ilmiah. Siapakah pemimpin yang perlu didokong? Bagaimana pula akhirnya jika ia boleh meracuni kesahihan iman, jika parti yang disokong itu berbuat zalim kepada manusia dan undang-undang Islam? Namun, apabila mahasiswa menggerakkan peranan sebagai juru bicara masyarakat, pihak yang jumud pemikiran politiknya ini melempar tuduhan bermacam-macam. Saya telahpun mengkaji realiti ini di Mesir.
Sejarah membuktikan bahawa PMRAM melahirkan tokoh pemimpin Malaysia yang pelbagai platformnya. Ada yang berjuang untuk UMNO. Tidak kurang juga ada yang membela PAS. Soalnya sekarang bukan label UMNO atau PAS. Keutamaannya ialah, kita yang berilmu wajib bergerak dengan realistik, siapakah pemimpin soleh dan alim yang perlu kita sokong (wala’)? Dan siapakah pemimpin fasiq dan zalim yang perlu kita hindari (bara’)? Perkara inilah yang mampu membuktikan sikap mahasiswa berkarisma.

Mantan YDP BKASM 02/03, Ustaz Mohd Noor. Dan Mantan YDP BKASM 04/05, Ustaz Khairul Azharuddin

SOALAN: Pengalaman pahit manis ustaz berorganisasi, yang mungkin dapat dikongsikan kepada kami di sini?

Banyak sebenarnya. Tetapi apa yang saya hendak sentuh ialah; Pertama sekali kepada pemimpin. Senjata utama adalah sabar. Kedua adalah sabar. Ketiga juga adalah sabar. Sabar kita adalah sabar yang proaktif bukan sabar yang pasif. Sabar proaktif ialah sabar dan pada masa yang sama merangka pergerakan, merencana penyelesaian. Manakala sabar yang pasif, hanya menunggu bulan jatuh ke riba.
Keletihan bergerak menyelesaikan masalah lebih berbaloi, berbanding asyik keletihan merungut dan membebel akan masalah yang berlaku. Perkara utama adalah ’bergerak menyelesai masalah’ walau apapun perkara yang menimpa. Kita buat apa yang boleh kita buat. Tumpukan pada lingkungan yang boleh kita kawal.
Ukhuwwah fiLlah adalah kunci keutuhan dan kejayaan organisasi. Lebih-lebih lagi ia berkaitan tentang pengajian di luar negara yang melibatkan hubungan jauh kita dari keluarga.
Pengalaman manis saya, ialah keletihan membantu rakan lain dalam apa jua perkara. Ya, ketika itu jiwa merasa puas kerana telah mencapai saranan Baginda salallahualaihi wasalam iaitu; "Yang terbaik di kalangan kamu adalah yang memberi manfaat kepada orang lain".
Pengalaman pahit apabila rakan sendiri memandang serong pengorbanan kita. Perkara ini kerap bermain dalam jiwa saya. Apa lagi di saat-saat genting berdepan dengan perpecahan ahli pada tahun 2003 dan 2004. Berkali-kali saya menepisnya kerana mengambil prinsip husnu zann. Akhirnya, saya percaya mereka juga menerima tekanan yang sama. Inilah tarbiyyah semulajadi perjuangan. Kita perlu melaluinya dengan redha.
Saya suka berpesan janganlah memandang sebelah mata kepada siapa jua pemimpin kita. Mereka tidak meminta-minta penghormatan, tetapi kita wajib memberi penghormatan.
Kemahiran berorganisasi perlu seiring dengan kecemerlangan thaqafah. Saya cuba sorot isu ini melalui sudut yang jarang disentuh orang. Kita perlu bersungguh-sungguh dan jangan putus asa dalam pengajian kuliah. Fokusnya 'bersungguh-sungguh' kemudian 'tawakkal'. Rezeki itu di tangan Tuhan. Kita mesti bersungguh- sungguh untuk mencapai mumtaz/ jayyid jiddan / jayyid. Tetapi tidak semua kehendak manusia tercapai. Adakah yang maqbul itu hina? mereka lekeh atau gelap masa depan? Adakah yang rasib, 'iadah dan istisna' perlu kita merendahkannya? Dan dalam masa yang sama mereka pernah memerah keringat, berjuang bersama kita dalam satu bahtera? Adakah yang 'mereka' tidak boleh menjadi manusia hebat?
Kehidupan ini terlalu luas sebenarnya. Saya sering bertemu mereka yang ulat buku tapi gagal dalam mendepani masalah ummah. Sangat pasif dan terkebil-kebil dalam menterjemah thaqafah. Mereka gagal bergerak dengan harmoni dalam kerja organisasi. Mereka sukar menjadi orang bawahan, dan sukar untuk diberi arahan. Sukar memahami strategi kolektif. Akhirnya kesimpulan saya ialah kesempurnaan akan tercapai apabila kita bergerak secara kolektif.
Kita memerlukan pihak lain untuk urusan kehidupan. Tiada orang pandai kalau tiada orang jahil. Inilah fitrah keberadaan makhluk. Hanya Allah sahaja yang berupaya melakukan sesuatu dengan sendiri-Nya.
Kita mesti merempuh cara tradisi berfikir yang statik dengan satu kesimpulan. Contohnya ramai orang berfikir yang jayyid jiddan sahaja perlu dipanggil menjadi penceramah atau yang mumtaz sahaja mampu berceramah untuk mempengaruhi audiens. Kita mesti merempuh kesimpulan yang menjadi kelaziman ini, agar kita juga mampu menjadi manusia luar biasa. Kalau pangkat kita sekadar maqbul, katakan pada diri; "Saya juga mampu menghimpun kemahiran seperti mereka".
Saya pernah melalui kegagalan dan rakan-rakan lain juga mengalaminya. Sebenarnya kelompok inilah yang banyak berkorban perasaan dalam perjuangan. Siapapun tidak upaya menterjemahkannya, melainkan mereka yang pernah melaluinya. Saya bersimpati bila ada rakan yang terlalu rendah diri kerana kecemerlangan akademik tidak menyebelahi mereka. Bertambah buruk lagi, mereka kerap mendengar bebelan motivator yang satu arah sahaja.
Saya tegaskan sekali lagi, 'kecemerlangan akedemik itu sangat perlu dalam kehidupan seseorang. Namun, jika sebaliknya berlaku. Kita masih punya peluang untuk menjadi pejuang yang terbilang asal ada kesungguhan dan keikhlasan'. Yang pasti, mereka yang tidak bersungguh-sungguh dan sengaja tidak merancang berjaya sahaja yang layaknya menerima tohmahan, 'anda gagal'.

SOALAN: Apa pendirian ustaz terhadap gerakan lain yang wujud di Mesir ini seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), ISMA, ABIM dan Kelab UMNO? Dan bagaimana ustaz menilai masalah-masalah yang pernah hadir terhadap kesatuan BKASM?

Saya sarankan rakan-rakan membaca buku Dr. Yusuf al Qardhawi: 'Feqh al Ikhtilaf'. Pendirian ringkas saya, sebenarnya mereka yang berfahaman jumud sahaja gemar memfitnah BKASM hingga kita terpaksa melalui zaman getir dahulu. Ada juga sebahagian individu yang mempunyai dendam peribadi atau kefahaman songsang, yang turut meyumbang kepada kekacauan di dalam BKASM. Mereka datang dari platform, bukan partisan.
Saya fikir, sikap kita menghadapi kelompok yang berfahaman politik sempit ini terbahagi kepada 2, iaitu; Pertama: berdakwah dengan hikmah sehingga mereka mampu bersikap rasional dengan akal yang waras. Dan, kedua: tindakan tegas penuh seimbang, agar mereka mendapat pengajaran yang setimpal.
Mereka yang mempunyai sumbangan kepada kebangkitan Islam dalam kerja-kerja dakwah, perlu kita dekati secara diplomasi dan lapang dada. Inilah strategi siasah syar’iyyah. Perbincangan 'win-win', iaitu semua pihak mendapat maslahah. Tiada sudahnya kalau asyik menuding jari kepada sesama pencinta Islam. Saya secara peribadi sangat bosan dengan tabiat ini. Kita perlu memulakan plan kesatuan atau plan pakatan pencinta Islam, plan kesatuan mahasiswa Islam. Kita perlu proaktif bukan reaktif!
Dalam hal berinteraksi dengan pencinta Islam yang lain, akhlak 'persaudaraan murni' perlu benar-benar mendarah daging dalam diri. Semua ini akan melahirkan kasih sayang fiLlah dan akhirnya seluruh hati ini bertaut dan berazam untuk bersatu dan bekerja-sama. Sedih rasanya, sejak berkurun lamanya kita asyik bercakaran sahaja. Pesanan as Syahid Hasan Al Banna dalam menyungguhkan formula 'al Hubbhul Wathiq' (kasih sayang yang erat). Segala-galanya tersusun dalam wirid Robitoh yang terkandung dalam al Ma’thurat.
Imam Said Hawwa rahimahullah juga menyungguhkan bahawa 'kasih sayang' adalah cara ampuh untuk menangani perpecahan sesama pencinta Islam. Saudara boleh rujuk di dalam kitabnya iaitu 'Dirasah Fi Amal Islami'. Dalam apa jua tindakan, moga yang utama ialah menatijahkan manfaat yang lebih banyak. Sekaligus mengurangkan mudharat walaupun ia tidak dapat dihapuskan kesemuanya.
Sebagai rakan ukhuwwah, adalah perlu untuk kita mencari titik temu dalam beberapa aspek. Sebenarnya tidak timbul soal perebutan ahli selagi kita percaya bahawa 'persaingan sihat' perlu berlaku dalam sebuah organisasi yang dinamik, progresif dan inovatif. Kepelbagaian bergerak itu sebenarnya sangat perlu, kerana jiwa-jiwa manusia di luar sana pelbagai warnanya. Asal sahaja tidak melanggar batasan syara’. Kepelbagaian dalam kesatuan, silakanlah. ’Siru ala barakatiLlah.
JIM dan ABIM memiliki silsilah perjuangannya yang tersendiri. Mereka kini menuju kematangan kerjasama di medan dakwah. Kesalahan silam adalah guru terbaik sepanjang zaman. Semua pihak sememangnya begitu. Hanya individu yang berideologi parti material dan sekular sahaja yang tiris nilai iman dan akhlaknya.

SOALAN: Apakah pendapat ustaz tentang pelajar yang terlibat dengan PMRAM?

Perkara ini sudah banyak dibahaskan. Pegawai HEP Selangor sendiri kagum dengan program thaqafah yang dianjurkan PMRAM. Beliau sendiri pernah berbisik kepada saya satu ketika dahulu, masih terngiang-ngiang dalam telinga saya; "Ustaz, saya tak halang budak-budak pergi program PMRAM. Pergilah". Apa yang saya faham, sebagai seorang pegawai adakalanya terikat dengan arahan majikan. Tetapi, sebagai seorang mukmin tulin, buatlah apa jua cara. Jangan sampai kita bersekongkol dengan arahan yang zalim.
Hanya mereka yang berotak politik berkepentingan sahaja, sering kepanasan tidak tentu hala dengan pertubuhan PMRAM. Konsep berpolitik mereka rosak, akhirnya mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.
Saya mencabar orang di luar sana; sebutkan 3 perkara sahaja yang menyungguhkan bahawa PMRAM ini wajib dihindari oleh mahasiswa Mesir. Kalau ada benarnya, 3 perkara tersebut bersama buktinya. Jika ada rasionalnya hujjah-hujjah tersebut, sayalah orang pertama yang akan melawan PMRAM.

SOALAN: Apa pandangan ustaz terhadap BAS yang mula ditubuhkan pada 2005?

Seingat saya, BAS mula muncul pada tahun 2003. Saya antara yang terawal terlibat menganggotai BAS sebagai Ketua Lajnah Dakwah ketika itu. Keterlibatan saya adalah kerana desakan ahli Selangor seperti yang saya ceritakan sebelum ini. Saya mengambil kaedah siasah syar’iyyah. Sila baca tentang bab 'feqh muwazanaat' dan 'feqh aulawiyyat'.
Niat asal mereka yang menubuhkan BAS, adalah untuk memecahkan kesatuan BKASM yang telah sedia ada. Apa yang pasti, ahli BKASM tetap setia dengan BKASM pada ketika itu. BAS tidak menarik minat ahli. Akhirnya pegawai menggunakan paksaan. Ini adalah cara yang sangat jijik, kerana mereka menggunakan zakat sebagai bahan ugutan. Mereka menzalimi pelajar terbaik seperti ustaz Hairul Nizam Mat Husin, mantan Presiden PMRAM yang mendapat keputusan Jayyid Jiddan dengan menghukumnya tidak dapat zakat. Pelajar baru menjadi takut. Lalu BKASM mengambil mauqif (pendirian); 'Siapa yang mampu menghadapi ugutan ini, BKASM akan bersama mereka. Manakala yang tidak mampu, BKASM melepaskan mereka atas dasar ingin menjaga maslahah ahli'.
Ugutan ini berterusan. Mereka mencari-cari pula siapa yang bergiat aktif dengan PMRAM akan dihentikan zakatnya. Segala rencana buruk mereka ini disandarkan dengan istilah 'Aku Janji'. Pegawai mengkehendaki BAS bergerak tanpa perlembagaan. Jawatan YDP dan exco pula dilantik mengikut hawa pemikiran Pegawai HEP. Mereka sengaja bersikap lengah untuk mewujudkan perlembagaan, undang-undang tubuh walaupun didesak beberapa kali. Mereka sedar sekiranya perlembagaan wujud, segala perlantikan jawatan akan melalui demokrasi dengan mengadakan pilihan raya kampus. Sekiranya ini berlaku, calon mereka sudah pasti akan mengalami kalah teruk. Mereka merosakkan konsep demokrasi kampus. Perlakuan zalim dan hal ini berterusan selama bertahun-tahun, hinggalah tahun 2008.
Exco BAS yang ada sebenarnya bukanlah dipilih dengan kemahuan mereka sendiri. Segala-galanya kerana terpaksa. Ada juga yang mengambil kaedah 'irtikab akhafu ad-dharurain' atau memilih mudharat yang lebih ringan. Namun, ada juga dua hingga tiga individu yang menjawat perlantikan exco kerana sistem kroni yang digunapakai oleh pegawai. Mahasiswa yang terpaksa tidak bersalah, tetapi mereka yang menyalahgunakan kuasa perlu disalahkan.

SOALAN: Mengakhiri wawancara ini, apakah harapan dan saranan ustaz kepada usaha penggabungan BKASM dan BAS?

Tahniah, penuh bersemangat saya ucapkan kepada seluruh anak-anak Selangor kerana berpendirian terbuka dalam mengambil keputusan ini. Mesyuarat telah dilaksanakan bersama. Suara mejoriti telah menjadi asas keputusan ini. Perlembagaan telahpun wujud, dan ini menjamin ketelusan demokrasi mahasiswa Selangor Mesir. Semua ahli perlu memandang kehadapan, dan menjadikan kisah silam sebagai tauladan yang sangat bernilai.
Tumpukan kepada kerja-kerja menjaga kebajikan ahli secara menyeluruh. Di samping menyemarakkan wacana ilmu dan pendidikan. Ukhuwwah perlu digarap penuh kasih fiLlah. Dan kita perlu lebih bersikap profesional, jangan ulangi sikap buruk mereka sebelum ini. Jangan terperangkap dengan sikap politik jumud.
Bukan soal kalimah BKASM atau BAS. Yang penting ialah masing- masing menunaikan amanah dengan cara yang telus dan amanah. Apapun sebenarnya saya tidak dapat menafikan bahawa diri ini sebenarnya sangat rindu dengan ungkapan keramat ’BKASM’. Tahniah dan syabas semua. Fajar mentari kembali terbit.

'Setia Bersama Ukhuwwah'
Selamat berjuang kerana Allah.

No comments: