Hari berganti hari, siang berganti malam tanpa kita sedari Ramadan sekali lagi menemui kita. Ahlan wasahlan ya Ramadan, kami merindui kehadiranmu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Marilah kita sama-sama merafa’kan kesyukuran kerana dengan rahmat dan kasih sayangnya kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan bulan yang penuh dengan rahmat keampunan dan pelepasan dari azab api neraka, bulan yang tinggi dan kedudukannya di sisi Allah dan RasulNya.
Bagi melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga ini, penghayatan yang lebih baik perlu dipertingkatkan bagi mengisi bulan yang barakah ini. Puasa yang dilaksanakan biarlah lebih baik dari tahun yang sebelumnya. Sebenarnya Ramadan yang kita cintai ini tersirat satu azam yang perlu kita tunaikan, iaitu azam untuk menjadikan amal ibadah atau pekerjaan harian kita pada tahun ini lebih bermutu. Tetapi sayangnya masyarakat kita tidak memandang apa yang tersirat ini, sebaliknya azam atau niat yang baru hanya difokuskan pada awal tahun Masihi sebagai titik permulaan untuk memulakan azam baru.
Ramadan memberikan ruang perancangan yang luas untuk kita menetapkan matlamat, memperincikan amal ibadah yang ingin kita laksanakan agar ibadah dan tugasan harian yang dilakukan dalam bulan ini lebih tersusun dan konsisten dalam pelaksanaannya. Bukan sekadar melaksanakannya tanpa perancangan. Ramadan yang diberkati ini hanyalah sekali sahaja dalam setahun. Maka sudah tentu pengisiannya perlu dihayati dari pelbagai aspek supaya ibadah puasa, solat terawih, membaca al-Quran akan lebih baik dan sempurna.
Satu perkara yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya agar berhati-hati supaya tidak dikategorikan di kalangan orang yang ditolak puasa mereka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Berapa ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga” (Hadis riwayat An-Nasai)
Golongan yang ditolak puasa mereka ini ialah golongan yang tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah ini. Mereka hanya beranggapan Ramadan hanya bulan yang biasa dan puasa yang dilakukan hanyalah sebagai menutup malu kepada masyarakat sekeliling. Ada juga di kalangan kita yang hanya menghayati puasa dengan menjadikannya pesta untuk merasa pelbagai jenis juadah di bazar Ramadan dan membeli belah semata. Semua ini bukanlah salah tetapi janganlah aktiviti-aktiviti ini mencuri masa kita beribadah kepada Allah lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini.
Lantaran itulah pengisian Ramadan perlu dirancang, agar amal ibadah yang dilakukan adalah ibadah yang berkualiti dan diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah. Semoga Ramadan kali ini mampu membawa perubahan yang positif kepada kehidupan kita.
Tuesday, August 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Belajar al-Quran
1Hari 1Ayat
Tidakkah mereka mengetahui Bahawa sesiapa Yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam serta ia kekal di dalamnya? balasan Yang demikian adalah kehinaan Yang besar.
No comments:
Post a Comment