Friday, September 23, 2011

Hantu Bonceng: Peminat hargai Zizan mohon maaf

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Pelakon filem Hantu Bonceng, Zizan Razak mulai dihujani penghormatan para peminatnya, apabila bersikap terbuka memohon maaf kepada orang ramai berhubung dialog kontroversi yang dituturkannya di dalam filem itu.

Penghormatan tersebut antara lain dikesani menerusi laman-laman blog para peminatnya yang jelas memuji sikap keterbukaan beliau mengakui kesilapannya menuturkan dialog yang menghina Islam tanpa disengajakan di dalam filem berkenaan.

Di dalam blog ustazlove.com, pemiliknya sendiri berserta beberapa orang peminat Zizan menyuarakan kesyukuran mereka kepada Allah kerana telah menggerakkan hati Zizan memohon maaf kepada para penonton dan peminat beliau di atas keterlancangannya itu.

"Ustaz Love sangat menghargai usaha beliau memohon maaf itu.. secara tak langsung, ini menunjukkan Zizan merupakan antara pelakon yang tak segan silu memohon kemaafan atas kesilapannya," tegas pemilik blog itu.

Zizan Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Raja Lawak dalam Twitternya semalam telah tampil meminta maaf atas kesilapannya menghina Rasulullah dalam filem tersebut.

“Saya faham, apa yang salah… salah jugak. Tapi pasal hina Islam memang jauh dari otak fikiran saya la.. takde lagsung terniat. Ini adalah Agama dan Rasul saya.. Maaf sekiranya saya silap,” tegasnya.

Mengulas perkara itu, beberapa orang pemilik blog termasuk pemilik blog ustazlove dan wangerrardblogsport.com mengucapkan tahniah atas keberanian Zizan memohon maaf dan menjelaskan segala kekeliruan berhubung isu tersebut.

"Begitulah sikap yang terbaik.. Dah buat silap, mohon maaf.. kerana sebaik2 orang yg melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat," ujar mereka.

Sehubungan itu, mereka turut berharap agar Zizan diberikan keberkatan hidup dan dimurahkan rezeki oleh Allah di atas kemuliaan hati beliau itu.

Filem Hantu Bonceng ditayangkan bermula 31 Ogos sehingga 4 September 2011 lalu secara serentak di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan kutipan sebanyak RM5 juta dalam tempoh lima hari ditayangkan.

Sehingga semalam, filem tersebut dilaporkan melakar sejarah tersendiri apabila menjadi filem kedua tertinggi dalam sejarah daripada segi kutipan apabila mencatat kutipan tiket RM8.35 juta.

Hantu Bonceng yang diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn Bhd adalah arahan Ahmad Idham dan dibintangi Zizan, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid Baharudin dan beberapa orang pelakon lain.

Filem ke-23 arahan Ahmad Idham itu merupakan filem komedi dan mengisahkan Amran yang gemar berlumba haram yang tiba-tiba terlibat dalam satu kemalangan yang meragut nyawa gadis yang memboncengnya.

Sejak itu, gadis yang tidak tenteram itu menghantui Amran dan Amran meminta kekasihnya, Halimaton dan rakannya Kunyit menyempurnakan mayat gadis tersebut.

Namun filem tersebut dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Sejak ditayangkan, Zizan turut dimarahi para peminatnya khususnya yang beragama Islam kerana menuturkan dialog tersebut sehingga memaksa Zizan melakukan beberapa tindakan wajar termasuk menghubungi pendakwah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus bagi bertanyakan perkara itu.

Dalam responsnya, Ustaz Azhar turut menghormati tindakan Zizan yang menghubunginya bagi bertanyakan perkara itu bagi mendapatkan kepastian dari segi hukum dan turut menasihati Zizan supaya bertaubat kepada Allah di atas keterlanjurannya itu.

Zizan dipercayai menuturkan kata-kata itu bukan atas niat menghina Islam, tetapi mengikut skrip dan akibat kejahilannya. Beliau diingatkan oleh Ustaz Azhar bukan sahaja perlu memohon maaf kepada orang ramai, malah lebih penting lagi bertaubat kepada Allah, di samping menginsafi diri agar tidak mengulangi lagi kesalahan seperti itu pada masa akan datang.

No comments: