Friday, May 4, 2007

MAHASISWA NEGARA: KUMPULAN PENDESAK TERBAIK

Oleh : Mior Isfandy Mior Azizan
Mahasiswa, Usul Fiqh & Sains Politik
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
____________________________

Sebagai sebuah entiti penting dalam komuniti masyarakat di Malaysia, mahasiswa seharusnya memainkan peranan penting dalam membawa agendanya yang tersendiri. Mahasiswa adalah satu bentuk kumpulan pendesak yang mungkin bersifat promotional group atau protective group.

Promotional Group merujuk kepada sebuah kumpulan yang mempromosikan agendanya yang tersendiri untuk mendapatkan respon dari pelbagai pihak supaya bersama-sama dengan mereka untuk memperjuangkan sesuatu isu. Contohnya seperti, Kumpulan Anti Pembiakan Nuklear, Gabungan Pemulihan Demokrasi dan Badan Bertindak Tuntut Biasiswa.

Manakala, Protective Group pula dapat didefinisikan kepada sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk memberikan jaminan atau perlindungan dan menjaga kebajikan ahli-ahlinya disamping menunjukkan satu kesatuan. Contohnya seperti, Kumpulan Mahasiswa Elit, Majlis Perundingan Mahasiswi Nasional dan Persatuan Mahasiswa Generasi Baru. Jika dilihat dari aspek ini, memang jelas bahawa mahasiswa bukanlah satu platform politik yang mempunyai nafsu yang besar untuk menakluk kerajaan tetapi ia sebuah kumpulan pendesak yang mempunyai agenda yang tersusun bagi memastikan ia sentiasa releven dan dirasai kewujudannya oleh rakyat.

Sehubungan dengan itu, ia seharusnya diberikan ruang yang luas untuk bergerak kerana ia dijamin dari aspek demokrasi dan kebebasan. Mahasiswa sepatutnya lebih lantang kerana sifatnya sebagai kumpulan pendesak. Maka, sasaran klimaksnya adalah, kumpulan mahasiswa ini harus menjadi second opinion dalam masyarakat selepas golongan akademik atau parti politik. Kumpulan mahasiswa ini tidak harus selalunya menempel dengan agenda parti politik tetapi terus memacu slogan dan tindakan yang lahir dari vacum akademiknya dan kapasitinya. Ia harus lebih banyak menilai isu daripada menghentam buta sesuatu isu. Oleh sebab itu, mahasiswa harus keluar dari atmosfera yang beku, berkedap dan tertutup. Lantas cuba untuk menerobos satu sempadan, berfikir di luar kotak dan bergerak lebih dinamis.

Mahasiswa harus berbangga sekiranya mereka mampu memberikan model penyelesaian masalah seperti isu kebejatan moral di peringkat pelajar, isu perbezaan jurang ekonomi yang tinggi, isu pemurnian demokrasi, isu pembangunan dunia ketiga dan sebagainya. Mahasiswa tidak harus menumpukan kepada badan-badan rasmi mahasiswa yang seolah-olah mendiamkan diri di puncak kuasa tetapi cuba untuk mencari saluran-saluran lain yang boleh membentuk momentum seterusnya memandu minda dan mobilasi masyarakat.

Kita juga berharap supaya pihak-pihak lain tidak melabelkan dengan mudah sesebuah organisasi pelajar kerana ia boleh menyekat kesuburan intelektual dan daya juang mahasiswa.

Disediakan oleh,
Mior Isfandy Mior Azizan
Mahasiswa,Usul Fiqh dan Sains Politik,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

No comments: