Tugas menyampaikan dakwah merupakan suatu tuntutan syar’ie yang tertanggung tidak kira samada terhadap golongan tua atau muda, lelaki atau wanita, pemerintah atau yang diperintah. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah At-Taubah :
Maksudnya : "Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Uslub Dakwah Di Dalam Al-Quran
Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nahl ayat 125 :
Maksudnya : "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk".
Secara umumnya ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga asas utama dalam menyampaikan dakwah, iaitu :
1 - Hikmah Kebijaksanaan
2 – Pengajaran yang baik
3 – Berbahas dengan cara terbaik
Dakwah dengan hikmah kebijaksanaan
Firman Allah s.w.t yang berbunyi:
Maksudnya : "Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini Yang kamu bersungguh-sungguh memujanya. Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek Kami selalu menyembahnya. Ia berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah Dalam kesesatan Yang nyata".
Perbuatan nabi Ibrahim a.s bertanya kepada bapanya yang dikisahkan dalam ayat di atas mengajar kepada pendakwah bahawa walaupun kita tahu akan kebatilan sesuatu perbuatan dan menyakini kebenaran ajaran kita tetapi kita hendaklah memberi peluang kepada sasaran dakwah kita untuk menjelaskan perbuatan dan kepercayaannya. Inilah contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s mengenai dakwah dengan hikmah.
Firman Allah s.w.t lagi dalam ayat 269 Surah Al-Baqarah:
Maksudnya : "Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditentukanNya). dan sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka Sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan Yang banyak. dan tiadalah Yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang Yang menggunakan akal fikirannya."
Pandangan Ulama Mengenai Ayat 125 Surah An-Nahl
1 - Syeikh Muhammad Abdul telah menyimpulkan dari ayat 125 dari surah An-Nahl di atas dengan menyatakan bahawa, umat yang dihadapi oleh para da’ie dapat dibahagi kepada tiga golongan yang masing-masingnya harus dihadapi dengan cara yang berbeza-beza pula:
a) Golongan cendikiawan – golongan ini merupakan golongan cerdik pandai yang cintakan kebenaran serta mampu berfikir secara kritis, cepat dan mampu memahami erti sebenar pokok persoalan. Justeru mereka ini perlu dipanggil dengan hujah, dalil-dalil yang setaraf dengan tahap pemikiran mereka.
b) Golongan awam – golongan ini pula lahir dari orang kebanyakan yang belum mampu berfikir secara kritis dan mendalam. Mereka ini harus disemai dengan ‘mau’izah hasanah’ melalui anjuran dan didikan yang baik-baik, mudah di fahami dan santai.
c) Golongan antara keduanya - Golongan yang tingkat kecerdasannya terletak di antara dua golongan di atas, belum dapat dicapai dengan hikmah, akan tetapi tidak sesuai pula bila dilayani seperti golongan awam, mereka suka membahas sesuatu, tetapi dalam keadaan tertentu tidak sanggup mendalami benar-benar sesuatu perkara. Mereka ini dipanggil dengan “mujadalah billati hiya ahsan” iaitu dengan bertukar fikiran, guna mendorong supaya berfikir secara sihat.
2 - Imam Ibnu Jarir Attabari pula menyebut bahawa apa yang dimaksudkan dengan perintah Allah s.w.t supaya Nabi Muhammad s.a.w berdakwah dengan al-Hikmah ialah dengan apa yang diturunkan kepadanya daripada wahyu Al-Quran dan Sunnah.
3 - Manakala Imam Qurthubi dalam tafsirnya menyatakan apa yang dimaksudkan dengan hikmah ialah dakwah yang disampaikan dengan lembut, kebijaksanaan tanpa perlu mengangkat pedang melainkan berlaku halangan dan penentangan terhadap agama Islam oleh golongan kafir daripada terus berkembang.
Penutup
Di akhir ayat ini Allah s.w.t menegaskan bahawa Dia Maha mengetahui sesiapa sahaja yang tersasar jauh dari ajaran agama bahkan Allah s.w.t juga mengetahui kalangan hamba-hambaNya yang diberi petunjuk. Justeru Allah s.w.t memerintahkan kepada kita agar istiqamah dengan tugas dakwah. Hasil dan natijah daripada dakwah itu adalah atas keizinanNya. Sebagaimana firmanNya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)”. (Al=-Qasas 56)
Sebagai kesimpulannya dakwah boleh dilakukan dengan kaedah – kaedah yang banyak terkandung di dalam Al-Quran selain mengambil contoh berguna dari sirah para Nabi dan Rasul. Memahami peranan dakwah yang dimainkan oleh Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabat seharusnya memberi kesedaran yang tinggi terhadap golongan Azhari. Kesempatan masa sepanjang keberadaan di bumi Al-Azhar seharusnya digunakan sebaiknya. Seterusnya tenaga juga buah fikiran dari Azhari harus digembleng guna menyebarluas ajaran agama yang suci ini.
Rujukan
Al-Quran Al-Kareem dan terjemahan
Tafsir Qurtubi – Jilid 5
Tafsir Munir – Jilid 7,
Persediaan Para Da’ie
Fiqh Ad-Dakwah Di dalam Al-Quran
Nota : Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Suara Kampus Edisi Selangor (SUKSES) keluaran pertama Oktober 2008. Dapatkan dipasaran.
No comments:
Post a Comment