Monday, April 6, 2009

Najib Hipokrit Menjelang Pilihanraya

Saidah Hairan
Mon | Apr 06, 09 | 8:18:41 am MYT

BUKIT GANTANG, 6 April (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak cuba membersihkan imejnya yang terlalu kotor dengan membebaskan 13 tahanan ISA dan menarik semula penggantungan akhbar Harakah serta Suara KeADILan.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang diambil oleh Najib hanya perkara biasa dan sering dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri yang baru memegang jawatan. Beliau menegaskan,apa yang dilakukan oleh Najib itu adalah gimik menjelang pilihan raya dan bukan realiti.

"Saya yakin selepas pilihan raya banyak tangkapan akan dilakukan," katanya ketika ditemui selepas bertemu rakyat di pasar pagi Taman Kaya, Changkat Jering.

Jika beliau betul-betul jujur ISA mesti dihapuskan kerana selagi akta rimba itu tidak dimansuhkan rakyat Malaysia tidak akan selamat.

Mengulas penggantungan Harakah yang ditarik semula katanya, selagi Akta Mesin Cetak masih ada kongkongan media masih kuat.

"Kita rasa rakyat Malaysia tidak mendapat maklumat sebenar dan saya yakin apa yang dilakukan oleh Najib cuma gimik politik untuk membersihkan imejnya yang telah tercalar," tegasnya.

Beliau mengingatkan bahawa imej Najib bukan hanya tercalar dalam negara bahkan di luar negara.

Katanya, PAS berharap tindakan undang-undang perlu diambil terhadap majalah-majalah luar negara yang merosakkan imej negara.

Merujuk pengalaman lampau beliau menjangkakan tidak mustahil tindakan akan diambil kepada Akta Mesin Cetak.

"Kita kenal siapa Najib. Kita yakin selepas ini bukan sahaja berita yang cuba dikawal tetapi akhbar-akhbar yang menentang kerajaan akan disekat," tegasnya.

Beliau berharap Najib dapat menggembalikan sistem demokrasi yang adil dengan mengikhtiraf kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan wakil rakyatnya.

Tambah beliau,mereka harus diletakkan sesuai dengan kedudukan mereka sebagai Ahli Majlis, ada peruntukan kewangan dan sebagainya.

"Kita mengharapkan beliau harus berubah. Selagi beliau tidak berubah, kita tidak akan percaya kepada Najib," tegasnya

No comments: