Friday, January 14, 2011

Al-Quran bukan sekadar bahan bacaan

Membaca al-Quran dengan tartil, memelihara hukum-hukum tajwid dan berlagu adalah sangat dianjurkan oleh Islam. Ini kerana bacaan yang sedemikian akan membantu menimbulkan kesedaran di dalam hati, menimbulkan kekhusyukan dan kehibaan serta boleh menarik minat orang ramai untuk mendengar dan menghayati ajaran yang terkandung di dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Hiasilah bacaan al-Quran dengan suara-suara kamu”.

Kemerduan suara membaca al-Quran hendaklah bersesuaian dengan kebesaran dan kemuliaan al-Quran itu sendiri, bersesuaian dengan kandungan ayat yang dibaca dan rentak bahasa yang digunakan oleh al-Quran. Contohnya, kalimat yang digunakan untuk menyoal, takkan pula disamakan alunan suaranya dengan bahasa yang digunakan untuk menerangkan suatu peristiwa?.

Allah mengurniakan kitab al-Quran kepada umat Islam, tanpa mengira bangsa dan budaya. Al-Quran hendaklah dibaca dengan erti kata yang sebenar-benarnya. Maksud membaca al-Quran dengan sebenar-benarnya di sini ialah:

  1. Memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya.
  2. Membaca al-Quran bererti mengucapkan ayat-ayat al-Quran dengan kuat berlagu yakni mengaji al-Quran.
  3. Membaca al-Quran dengan betul tajwidnya.
  4. Membaca al-Quran serta beramal dengan ajarannya
  5. Membaca al-Quran serta mengajarkannya kepada orang lain.
  6. Membaca al-Quran serta berusaha menghafaznya.
  7. Membaca al-Quran serta berusaha memasyarakatkan dan mendaulatkan al-Quran dalam sistem hidup sebuah negara.

Kesimpulannya, membaca adalah suatu proses mengenal, mengecam, mengucap perkataan yang tertulis atau yang tercetak, memahami apa yang dibaca, beramal dengan ajarannya, berusaha menghafaznya dan mengajarkannya kepada orang lain. Ianya juga memerlukan pemikiran yang aktif di kalangan pembaca.

Makna al-Quran

Terdapat berbagai pandangan ulama mengenai pengertian al-Quran menurut istilah. Pendapat yang disepakati ialah al-Quran merupakan kalam Allah yang bernilai mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. yang termaktub di dalam mushaf, dipindahkan secara mutawatir, membacanya dianggap ibadah, dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.

Al-Quran yang ada pada kita sekarang menepati pengertian di atas tetapi tidak pada zaman Rasulullah s.a.w. kerana al-Quran pada zaman baginda tidak tertulis dalam mushaf dan tidak dipindahkan secara mutawatir.

Tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca. Ini dikuatkan lagi dengan penurunan ayat pertama dari surah al-‘Alaq ayat 1–5 yang menekankan persoalan membaca. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ilmu dapat diperolehi melalui pembacaan dan kemahiran membaca itu hanyalah boleh diperolehi dengan mempelajari kaedah-kaedahnya.

Baca di sini mempunyai pengertian yang luas. Ia tidak hanya membaca perkataan demi perkataan bahkan ia meliputi memahami dan mengambil pengajaran daripada makna-maknanya secara keseluruhan.

Kesimpulannya, al-Quran merupakan kalam Allah sama ada dari sudut lafaz ataupun maknanya yang termaktub dalam mushaf, diturunkan di dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad s.a.w., dipindahkan secara mutawatir dan membacanya adalah ibadah.

Kelebihan Membaca al-Quran

Kitab suci al-Quran mempunyai kelebihan dalam mempelajari dan membacanya. Allah SWT memberi ganjaran pahala berlipat ganda daripada setiap huruf yang dibaca sekalipun tidak memahami maknanya, sedangkan kitab suci lain tidak demikian.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya berkaitan dengan kelebihan orang yang belajar dan mengajar al-Quran. Hadis ini diriwayatkan daripada Uthman bin ‘Affan, katanya Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan engajarkannya” (al-Bukhari)

Oleh itu amatlah rugi orang yang tidak mahu belajar atau tidak tahu membaca ataupun boleh membaca tetapi enggan membacanya. Di samping itu orang yang banyak menyebut ayat-ayat Allah akan menjadikan hati dan lidahnya bertambah lembut untuk menyebut kalimah-kalimah Allah. Keimanan mereka juga akan bertambah dan akan sentiasa berserah diri kepada Allah SWT.

Walaupun begitu, ada yang membaca al-Quran tetapi tidak berusaha untuk memahami dan mengetahui isinya, tidak mengambil pelajaran yang sangat berguna yang tersimpan di dalam al-Quran. Itulah sebabnya didapati ramai orang Islam yang tidak berubah budi pekertinya, tidak takut berbuat dosa, hilang rasa malu dan segan serta lenyap kemuliaan akhlaknya. Mereka menggunakan al-Quran itu hanya sekadar untuk mengambil berkat dan sebagai upacara, sedangkan isinya dikesampingkan. Hal ini sangat dikesalkan.

Perintah supaya membaca, menghafaz dan beramal dengan al-Quran merupakan satu usaha Islam untuk mengikat manusia kepada Allah, baik melalui bacaan dalam sembahyang atau di luar sembahyang. Kita mesti membaca, mengkaji dan menghayati al-Quran, sehingga ia menjadi seperti makan minum dan kain pakai kita. Firman Allah SWT maksudnya: “Orang-orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepada al-Quran. Dan sesiapa yang mengingkarinya itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah : 121)

Dipetik dari laman : Muslimah.com

No comments: