Dalam al Quran ada banyak tercatat kisah Nabi Ibrahim a.s.
Kisah-kisah Nabi Ibrahim itu dipaparkan Allah sebagai pedoman untuk iktibar manusia sepanjang zaman.
Di dalam Sahih Muslim ada riwayat menyatakan bahawa pada suatu hari, Rasulullah SAW membacakan sepotong firman Allah yang menceritakan seruan dakwah Nabi Ibrahim a.s.
رَبِّ إِنَّہُنَّ أَضۡلَلۡنَ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلنَّاسِۖ فَمَن تَبِعَنِى فَإِنَّهُ ۥ مِنِّىۖ وَمَنۡ عَصَانِى فَإِنَّكَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).” (Ayat 36: Surah Ibrahim).
Ya, memang benar. Sehingga ke hari ini masih banyak lagi manusia yang sesat menyembah berhala. Siapa lagi di sebalik berhala-berhala itu kalau bukan syaitan yang tidak pernah rehat daripada menyesatkan menusia dan memesongkan mereka dari beriman dan menyembah Allah kepada sujud dan bergantung harap kepada berhala-berhala yang kaku tidak bernyawa??
Sungguh batu-batu berhala itu telah menyesatkan ramai manusia termasuklah mereka yang tergolong dalam lingkungan cerdik pandai dan berpendidikan tinggi. Namun, kecerdikan dan ketinggian ilmu mereka tidak berupaya menyelamatkan mereka daripada terpalit ‘kebodohan melampau’ kerana tunduk dan sujud kepada batu yang tidak bernyawa!
Seterusnya baginda SAW membaca pula ayat 118 daripada surah Al Ma-idah.
Ayat berkenaan Nabi Isa a.s.
إِن تُعَذِّبۡہُمۡ فَإِنَّہُمۡ عِبَادُكَۖ وَإِن تَغۡفِرۡ لَهُمۡ فَإِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ
Maksudnya: “Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”
Setelah membacakan dua ayat tersebut Rasulullah menangis teresak-esak. Tangisan baginda tampak semakin berat.
Melihat kesedihan Rasulullah SAW itu, malaikat Jibril a.s. pun segera turun melawat baginda.
“Wahai Muhammad .S.A.W, Tuhanmu bertanya (sedangkan Allah Yang Maha Mengetahui), “Gerangan apakah yang membuatkan engkau menangis,” tanya Jibril a.s.
“Jibril…, saya menangis kerana memikirkankan bagaimanakah keadaan (nasib & masalah) umatku,” jawab Rasulullah SAW.
Allahumma Solli ‘ala Muhammad Wa ‘ala A-li Muhammad!
Lihatlah, Nabi SAW menangis untuk kita sebagai umatnya. Bagaimana dengan kita? Apakah kita juga turut menangis apabila menghayati dan mengenangkan jerih perih, pahit maung serta mehnah yang di lalui baginda SAW di dalam menyebarkan agama Allah.
Mendengan jawapan Rasulullah SAW, Jibril tanpa lengah naik semula mengadap Allah SWT kemudian turun semula menemui Nabi Muhammad SAW.
Jibril a.s. berkata: “Muhammad! Tuhanmu (Allah) ‘Azza Wa Jalla berkata: “Khabarkan kepada Muhammad bahawa sesungguhnya Kami akan meredhainya walaupun (ia) di tengah-tengah umatnya dan Kami tidak akan menyakitinya sampai bila pun.”
Sumber : sahabatamal.com
Friday, January 28, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Belajar al-Quran
1Hari 1Ayat
Tidakkah mereka mengetahui Bahawa sesiapa Yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam serta ia kekal di dalamnya? balasan Yang demikian adalah kehinaan Yang besar.
No comments:
Post a Comment