Sunday, February 12, 2012

Cakap Islam Tapi Tak Amal Islam

Ramai di kalangan kita boleh sembang pasal Islam tapi tak berupaya (lemah) dalam mengamalkan Islam hatta pada diri sendiri dan keluarga sekali pun.

Sembang pasal Islam berdegar-degar namun banyak larangan Allah masih dilakukan. Banyak juga perintah Allah diabaikan.

Banyak juga yang boleh memperkatakan keindahan Islam namun tak berjaya melahirkan keindahan Islam dalam amalan dan praktik seharian.

Ramai yang boleh huraikan Islam itu ‘Way of Life’ atau ‘Islam itu Cara Hidup’ namun mereka tidak ada kekuatan untuk hidup secara Islam atau secara yang dikehendaki Islam.

Akhlak Islam pada diri dan keluarga masih terabai. Ibadat pula bak kata pepatah ‘jauh pangggang dari api .’

Kenapa jadi demikian? Puncanya ialah kerana iman.

Ramai orang tahu pasal Islam kerana faktor tahu itu tadi berpunca daripada ilmu. Ilmu mencetuskan kekuatan ‘tahu’. Namun, harus diingat bahawa ilmu semata-mata belum mendorong kekauatan ‘mahu’.

Kekuatan mahu datang dari mana?

Guru saya, Ustaz Pahrol Muhammad Joui berkata: ”Yang mendorong dan mencetus kan rasa mahu beramal, berjihad, bermuhasabah, bermujahadah, berjuang dan berkorban itu adalah faktor iman”.

Apakah defenisi iman?

Iman ialah: Percaya & membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lidah dan beramal dengan anggota.”

Ya..Ilmu sekadar pencetus ‘tahu’ dan ‘percaya’ sementara iman menjadi faktor penentu. Iman menjadi faktor pendorong yang ampuh dan kukuh di dalam jiwa.

Kerana imanlah, praktik Islam terserlah pada anggota dan rutin harian kita. Sebab itulah dikatakan, hanya orang yang beriman mampu menghayati Islam dalam segenap aspek kehidupan sehariannya.

Benar…, Tanpa iman, kita tak berdaya melangkah solat berjamaah di masjid sekalipun masjid betul-betul terletak di sebelah rumah.

Tanpa iman, kita tak terpanggil untuk pergi menuntut ilmu sekalipun kelas pengajian meriah di masjid dan surau berdekatan.

Tanpa iman, kita lebih banyak bersembang daripada banyak berbuat, bertindak dan beramal.

Yang paling kita bimbang ialah apa yang diungkapkan oleh sahabat mulia berikut. Moga Allah melindungi.

Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah Al Yamani r.a. ditanya mengenai apa itu nifaq (kemunafikan)? Beliau menjawab, “Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”. (Masnad ar-Rabi’).

Imam Al Bukhari rahimahullah berkata : “Aku telah bertemu hampir 1000 orang guru dalam pencarian ilmuku dan aku dapati sekelian mereka mengatakan bahawa Islam itu adalah kata-kata dan amalan.”

Atau kata-kata yang diterjemahkan dengan amalan.

Benar sekali.

Semoga kita menjadi muslim dan mukmin yang sebenar yang berusaha mengamal dan menghayati Islam dalam kehidupan kita.

Sumber : sahabatamal.com

No comments: