Monday, March 26, 2007

Huffaz Alaf Baru

"DIALAH yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang Mukmin supaya keimanan mereka bertambah disamping keimanan mereka yang telah ada, dan kepunyaan Allahlah tentera langit dan bumi, dan adalah Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana”
- Surah Al-Fath : 4 -

Sejarah telah mencatat bahawa AhlulLah, generasi al-Quran yang dipimpin oleh baginda Rasullullah S.A.W telah menerima janji ALLAH dalam penuh keamanan dan ketenangan bagi menukar tampuk pemerintahan kota Mekah. Ia merupakan janji ALLAH setelah mana hambanya menunaikan segala syarat-syarat kemenangan itu. Peristiwa di dalam ayat ini berlaku setelah mana mereka berjaya membuktikan kemampuan ahlul-Quran memerintah Madinah, yang juga sebagai medan praktikal mewujudkan daulah Islamiah. Penyerahan Kota Mekah, keluarnya manusia beramai-ramai, serta turunnya sakinah di hati mereka lantaran mereka bersedia untuk membai'ah ketua dan barisan kepimpinan daripada kalangan ahlul-Quran yang diketuai oleh Baginda S.A.W. Lalu ALLAH menguatkan keimanan mereka yang sedia ada dan mengiktiraf mereka sebagai sebahagian jundullah di muka bumiNya ini.

Cahaya ini telah hilang buat sekian lamanya, akibat terpinggirnya Ahlul-Quran {Generasi yang hidupnya berasaskan Al-Quran}. Itulah agaknya kenapa Baginda S.A.W pernah menyatakan bahawa panji-panjinya akan tumbang, keturunannya akan dipinggir dan dihina, serta manusia lari dari berpandukan kepada Al-Quran dalam mentadbir negara hinggalah bangkit satu generasi dari timur yang akhirnya mereka berjaya mengubah hala tuju pemerintahan dunia yang batil kepada pemerintahan yang berasaskan Al-Quran. Merekalah Jundullah yang bukan sekadar membaca dan menghafaznya, malah berupaya menterjemahkannya dalam kehidupan seharian seterusnya mencorakkan negara dengan apa yang digariskan oleh al-Quran. Tentunya natijah sebegini tercetus hasil penghayatan jitu mengenai keseluruhan makna dan tuntutan al-Quran lantaran kepakaran yang meliputi kesemua wajah bacaan al-Quran yang mutawatir.

Hari–hari berlalu, Islam yang sekian lama dipinggirkan kini semakin hari semakin didekati. Tiada siapa mampu menghalang bilamana manusia kembali membaca dan mentadabbur Al-Quran kerana ia merupakan perlembagaan dan panduan hidup yang tiada bandingan. Di dalamnya mengandungi ketenangan dan menjadi perisai kejayaan kepada sesiapa yang berpandukannya.

Alaf yang begitu mencabar ini menyaksikan penguasaan barat ke atas dunia dalam pelbagai aspek menyebabkan umat Islam semakin terhimpit justeru ketandusan ilmu dan kelemahan jiwa dalam diri mereka. Fatamorgana kesesatan dunia terus menipu umat Islam yang semakin alpa dan tenggelam dalam keseronokan hiburan syaitani sehingga tidak terkesan di lubuk hati mereka melihat umat Islam terus diperangi di merata dunia.

Gerakan ulama’ Islam disekat malah ramai yang dibunuh bagi memastikan tiada kesedaran tercetus di kalangan mereka. Tidak dapat dipastikan berapa ramai ahlul-Quran yang disembelih di Tanjung Periuk, yang dikurung di bawah tanah seterusnya dipenjara dan diseksa yang merupakan rancangan jahat barat bagi menyekat kebangkitan Islam.
Kini umat Islam mula sedar, apa yang mereka kejar hanyalah fatamorgana. Air yang mampu menghilangkan kehausan berada di tangan mereka. Kesempitan, kezaliman dan penindasan banyak mengajar mereka. Kini impian mereka adalah keadilan mutlak yang lahir dari pencipta mereka.

Abad ini banyak menyaksikan perubahan. Umat Islam mula membaca Al- Quran, menghafaz dan mentadabbur maknanya. Yang tua tanpa malu sanggup belajar daripada yang muda. Kelas-kelas tahfiz dan belajar Al-Quran tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Bukan sahaja pelajar yang tidak berpeluang mengenal Al-Quran dihantar ke kuliah Al-Quran bahkan banyak keluarga yang mengadakan program pengajian di rumah mereka.

Umat Islam telah mula mengikis tanggapan bahawa lepasan tahfiz hanya layak menjadi imam. Kini mereka menyedari di dada huffaz terdapat himpunan kalimah-kalimah suci yang menjadi asbab kemuliaan di dunia dan akhirat. Golongan agama yang dahulunya beranggapan bahawa kelompok ini tidak begitu penting semakin menghampiri dan menunjukkan minat dengan ilmu yang agak gharib di kalangan mereka. Mereka menyedari betapa goyahnya mengeluarkan hukum pada masa yang sama tidak mampu menguasai pembacaan Al-Quran. Bagaimana mungkin terhasilnya tadabbur mengenai ma’ani al-Qur’an bilamana tidak pernah merasai dzauq ketika menuturkan kalimah-kalimah Allah dengan sahih..Mereka mula menyedari bahawa golongan ini dimuliakan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.

Imamul-muqri’in Ibnu Jazari r.a., pernah berkata “Manusia tidak akan dimuliakan (Allah)melainkan setelah mereka menghafaz
Al-Quran)dan memahami”.

Walaupun tidak menyeluruh sebahagian besar umat Islam keluar memilih kepemimpinan sebagaimana keluarnya penduduk Mekah untuk membaiah ahlul-Quran. Justeru lahirlah cetusan kata-kata harum daripada seorang amir al-mursyidil-faqih “Kita mahu suatu hari nanti kesemua pemimpin dan exco negeri ini terdiri daripada mereka yang hafiz Al-Quran.

Jasa agung al-‘Allamah al–Mufti Tuan Guru Dato’ Hj Mohd Nor bin Hj Ibrahim al-Kalantani yang berperanan dalam mentarbiah sebahagian ahlul-Qur’an di Malaysia, seperti Dato’ Abu Hassan Din dan yang seangkatan dengannya patut diberikan penghargaan yang sewajarnya. Semoga Allah memberkati mereka yang telah merintis kebangkitan generasi Al-Quran dan mereka yang membantunya. Daripada tangan merekalah cahaya kebenaran itu muncul. Mereka ibarat bulan purnama yang datang menerangi Madinah, cahayanya bukanlah sekadar menerangi kota kecil itu bahkan ianya meluas dari satu tempat ke tempat yang lain.

Cahaya itu adalah cahaya Al-Quran. Cahaya yang dibawa oleh ahlulLAH (ahlul-Quran) yang sedang menuju ke alaf baru. Semoga cahaya itu terus menyinari kita. Pastinya penduduk negeri itu telah diturunkan ketenangan di dada mereka serta ditambah keimanan. Patutlah Rasulullah mengatakan sebaik-baik di kalangan umat Islam adalah mereka yang belajar dan mengajar Al-Quran.

Inilah generasi yang bangun memimpin umat Islam, menghadapi segala mehnah dan cabaran zaman menuju alaf baru. Mereka sedar akan tanggungjawab mereka dan mula menguasai ilmu-ilmu baru di zaman ini kerana di bahu mereka ada amanah yang besar. Moga-moga kita menyedari tanggungjawab kita dan berdoa agar kita dimasukkan ke dalam generasi tersebut. Yakinlah! Pertolongan daripada Allah, kemenangan yang hampir dan berita gembira buat orang-orang beriman.

No comments: