Sunday, March 9, 2008

Rai Kemenangan Ikut Cara Al-Quran


Ketika mana Rasulullah saw bersama deligasi para sahabat berjaya menawan semula Kota Mekah dari cengkaman kuffar. Baginda bersama masyarakat Mukmin tidak jemu melafazkan Tasbih (Subahanallah), Tahmid (Alhamdulillah) serta memohon keampunan kepada Allah swt.

Kisah ini boleh kita baca dalam banyak siri karangan ulama'-ulama' tafsir
terdahulu.
Firman Allah swt dalam Surah An-Nashr (ayat 1-3) yang bermaksud :

1. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah), -


2. Dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai, -

3. Maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.


Surah pendek yang diturunkan di Mekah ini membawa berita gembira kepada Rasulullah SAW iaitu berita ketibaan pertolongan daripada Allah dan kemenangan menakluk negeri Makkah dan sambutan manusia yang berduyun-duyun memeluk agama Allah, di samping memberi arahan kepada Rasulullah SAW supaya bertawajjuh kepada Allah dengan tasbih, tahmid dan istighfar ketika terlaksana berita-berita yang menggembirakan itu. Di samping itu surah ini juga sekaligus mendedahkan tabi'at dan hakikat agama Islam dan sejauh mana cita-cita perjuangannya mahu membawa manusia kepada ketinggian, kemuliaan, keikhlasan, kebebasan dan kemerdekaan iaitu kemuncak matlamat yang tidak dapat dicapai manusia melainkan di bawah naungan Islam.


Jangan Jadikan Sepenggal Sebagai Tempoh Percubaan

Bagi pendukung dan penyokong PAS - KeADILan, kemenangan adalah satu anugerah dan amanah yang sebenarnya bukan sahaja dipikulkan oleh rakyat bahkan sebenarnya oleh Allah swt bagi memastikan Islam ditegakkan di muka bumi Allah.

Namun, perlu kita sedari bahawa tugas dan amanah ini bukanlah mampu dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Sebagaimana Rasulullah saw menyampaikan dakwah melalui tempoh panjang yang amat menggetirkan sehinggalah tibanya pertolongan dan kemenangan ke atas umat Islam.


UMNO – Barisan Nasional telah menjatuhkan maruah Islam dalam tempoh 50 tahun pemerintahannya. Suatu tempoh yang amat panjang. Parut luka yang dihadapi selama tempoh 50 tahun ini mustahil untuk diubati dalam tempoh yang singkat. Untuk merawat sakit jiwa masyarakat yang selama 50 tahun dihidangkan dengan hiburan melalaikan, bahan-bahan berunsur porno dan lain-lain perlukan suatu tempoh yang amat panjang.


Justeru, apakah kita merasa tempoh sepenggal (4-5 tahun) sudah cukup bagi kita untuk melihat segala janji-janji calon sebelum ini terlaksana? Berilah kesempatan dan komitmen untuk PAS dan KeADILan melaksanakan janji-janji mereka. Bukan hanya sepenggal. Tetapi untuk suatu tempoh yang ditentukan. Sebagaimana Rasulullah saw berjuang, berdakwah sehinggalah Allah memberikan kesempurnaan ke atas agama Islam. Dan di situlah kebenaran dan kemenangan akan tiba!


"Allahumma Thabbit Qulubana 'Ala Dinika Wa 'Ala To'atik

No comments: