DATO’
SERI NAJIB RAZAK SEWAJARNYA MENUMPUKAN USAHA MEMASTIKAN KEDAULATAN
WILAYAH NEGARA, KESELAMATAN RAKYAT SABAH DAN ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN
Setiap
pimpinan mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab mempertahan
kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan anggota pasukan
keselamatan.
Kegagalan
mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat merupakan satu
pengkhianatan serta menodai amanah rakyat. Justeru Pakatan Rakyat
berhasrat mengingatkan pimpinan negara agar tegas mempertahankan
kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa memastikan keselamatan setiap
rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah ekoran dari insiden pencerobohan
sekumpulan bersenjata warga asing di sekitar Lahad Datu serta Semporna.
Setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan.
Pencerobohan
di Lahad Datu telah mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala
insiden terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara.
Kita merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah
serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat.
Pakatan
Rakyat juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh
mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera.
Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan
negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh.
Pakatan
Rakyat sedar keadaan mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan
kebimbangan, akan tetapi kita menyeru agar orang ramai tetap bertenang
dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita
fitnah yang boleh menimbulkan keresahan. Pakatan Rakyat ingin
menyatakan dengan jelas keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan
anggota pasukan keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas
dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang
campurtangan politik.
Sehingga
kini, kita merasa kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang
tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam menyelesaikan masalah
ini. Pimpinan negara juga gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan
telus serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum
sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas.
Pakatan
Rakyat menggesa supaya isu ini tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan
sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan
negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka.
Sewajarnya mereka menyedari, keutamaan adalah demi mempertahankan
kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan perwira negara yang bertungkus
lumus di perbatasan.
Pakatan
Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi
membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran
sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan
satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan
pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung
isu ini.
YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum KEADILAN
YB DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG
Setiausaha Agung PAS
YB LIM KIT SIANG
Penasihat DAP
4 MAC 2013
No comments:
Post a Comment