Monday, April 2, 2007

GRADUAN AL AZHAR: MENTAJDID KESEDARAN KE ARAH MEMPERKASAKAN DAKWAH

Timbul beberapa persoalan secara spontan apabila membaca tajuk artikel ini antaranya;
1. Mengapa graduan al Azhar?
2. Untuk apakah ditajdidkan kesedaran?
3. Bagaimanakah Azhari boleh memperkasakan dakwah?

Justeru artikel ini cuba menghuraikan jawapan-jawapan yang munasabah kepada persoalan-persoalan tersebut. Ternyata biarpun tampak soalan-soalan ini ringkas dan mudah, namun dalam huraian jawapannya tersirat koreksi dan harapan khusus buat Azhariyyun yang merupakan subjek utama dalam tulisan ini.

Mengapa graduan al-Azhar?


Al-Azhar dianggap sebagai mercu kesarjanaan dan keunggulan tradisi intelektualisme Islam. Bahkan al-Azhar dianggap sebagai kilang yang melahirkan tokoh-tokoh mithali dalam sektor-sektor utama pembangunan ummah. Biarpun mengalami pelbagai perubahan sejak didirikan pada zaman daulah Fathimiyyah, namun kesarjanaan al-Azhar tetap dekat di hati umat Islam. Tidak keterlaluan, al-Azhar mempunyai nilai tradisi intelektualisme yang setanding dengan institusi seperti Oxford, Sorbounne, Cambridge, Yale dan sebagainya, kalaupun tidak lebih tinggi daripada institusi-institusi tersebut. Salah satu kayu ukur kecemerlangan al-Azhar adalah melihat kepada kualiti graduan yang dilahirkan dan sumbangan yang diberikan terhadap masyarakat. Justeru disebabkan al-Azhar antara menara utama dalam bidang pengajian Islam selain disiplin ilmu yang lain, adalah munasabah membincangkan positioning graduannya dalam konteks pemerkasaan dakwah di Malaysia.

Graduan al-Azhar telah melakarkan tinta emas dalam sejarah kebangkitan umat Islam khususnya dalam abad terakhir alaf yang lepas di tanah air kita. Justeru, generasi ilmuan yang dilahirkan dari rahim al-Azhar sememangnya dilihat berperanan dalam pemerkasaan setiap aspek pembinaan tamadun ummah. Bermula daripada generasi Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Salim al-Khalali dan Haji Abbas Mohd Taha sehinggalah generasi tokoh masyarakat mutakhir ini seperti Allahyarham Us Fadzil Mohd Noor, Dato’ Seri Abd Hadi Awang, Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, Dato’ Nakhaie Ahmad, Us Ahmad Awang dan Us Abd Ghani Shamsuddin (sekadar beberapa nama). Mereka telah menempatkan diri sebagai khazanah berharga dalam pembangunan dakwah di watan yang tercinta ini. Justeru al-Azhari sentiasa menjadi maudhu’ yang penting apabila membincangkan perihal kebangkitan gerakan dakwah di negara kita.

Mengapa kesedaran perlu ditajdidkan ?

Proses tazkirah (peringat-memperingati) adalah suatu yang dituntut malahan menjadi tanggungjawab ke atas setiap muslim bukan sahaja terhadap orang lain tetapi ke atas diri sendiri. Melalui proses ini kita dapat mentajdid (renew) kesedaran dan rasa tanggungjawab kita sebagai khalifah dan hamba Allah di atas muka bumi ini.

Sama ada kita mahu ataupun tidak; sedar ataupun tidak, suara-suara yang mempertikaikan kualiti al-Azhar pada hari ini kedengaran seiring dengan kritikan terhadap ulama’ khususnya daripada sudut keilmuan, sikap dan daya kepimpinan. Sebahagian pengkritik tidak dinafikan sememangnya agak obsess terhadap ulama' dan institusi-institusi agama tetapi tidak sedikit juga kritikan ini dilontarkan oleh pihak yang jujur dan ingin melihat sesuatu penambahbaikan dibuat segera bagi memartabatkan golongan ulama' dan institusi keulama’an. Dalam pada itu, al-Azhar pada hari ini pula seringkali dikaitkan dengan beberapa masalah antaranya masalah sikap ( keras, malas, skeptik terhadap realiti masyarakat ) serta penguasaan ilmu dan bahasa. Masalah-masalah ini bukanlah masalah yang dihadapi oleh golongan Azhari semata-mata, tetapi mendapat perhatian daripada masyarakat kerana graduan-graduan ini lahir daripada tradisi al-Azhar yang cemerlang. Justeru itu kesedaran perlu sentiasa dipugar agar thiqah masyarakat terhadap menara ilmu umat ini tidak terus pudar.

Proses tajdid ini menjadi semakin penting apabila melihat dan menganalisa penyakit dan virus yang berkembang biak dalam masyarakat pada hari ini. Hasil penelitian yang dibuat terhadap dapatan kajian semasa yang mempunyai kaitan langsung dengan perkembangan personaliti masyarakat Melayu, kita akan mendapati beberapa perkara yang amat menggemparkan telah berkembang;

(i) Kebanyakan masyarakat Melayu moden telah dikesan mengidap penyakit psikologi yang agak kronik, penyakit gelisah dan hilang pertimbangan akal yang kemudiannya telah menyebabkan berlaku pelbagai tindakan buruk seperti bunuh diri, menagih dadah dan arak, murtad, bohsia dan mengamalkan free-sex. Kajian ini mendapati punca utama penyakit gelisah ini berlaku adalah akibat dari tindakan tidak menuruti kehendak agama seperti meninggalkan kewajiban sembahyang lima waktu.
(ii) Golongan remaja Melayu yang menjadi pengguna terbesar internet (cyber café) telah dijangkiti ketagihan internet yang agak teruk. Golongan ini didapati menggunakan saluran internet bukannya untuk tujuan pendidikan, tetapi sebagai sumber untuk mendapatkan hiburan yang lebih bebas tanpa kongkongan keluarga yang berupa permainan video games, pornografi, berkenalan (cit-cat) dan mengisi masa lapang dengan kegiatan yang tidak berfaedah.
(iii) Kajian yang mendapati bahawa ikatan dan fungsi keluarga Melayu moden sebagai penjaga dan pendidik emosi anak-anak telah mula terhakis yang kemudiannya menyebabkan pelbagai masalah sosial remaja yang cukup kronik. Berikutan dengan faktor asas ini, golongan remaja Melayu lebih terpengaruh dengan budaya di luar keluarga seperti media massa dan rakan sebaya. Akibat daripada pengaruh media massa, mereka lebih mudah terjerumus dengan hiburan yang mementingkan keseronokan yang melampaui batas, sensasi, glamour dan sindrom kurang tahan iman. Manakala pengaruh rakan sebaya pula menyebabkan mereka terlibat dengan budaya melepak dan pelbagai masalah sosial lain seperti ketagihan dadah, arak, berjudi, menonton video lucah, free-sex, dijangkiti penyakit AIDS dan banyak lagi masalah lain.
(iv) Kelas professional Melayu baru yang dilahirkan melalui dasar pemodenan dan DEB ini tidak menunjukkan paradigma pemikiran yang bersifat rasionalisme, objektifisme dan saintisme seperti yang diharapkan oleh Mahathirisme. Hal ini boleh dirujuk kepada sikap dan trend golongan ini yang dilaporkan telah terjebak dalam krisis mempercayai bomoh, ajaran sesat, kepercayaan occult dan sebagainya, yang biasanya dilakukan oleh masyarakat Melayu tradisional.
(v) Kelas profesional Melayu baru yang kononnya dilahirkan dengan dasar Penswastaan Malaysia telah terlibat dalam jumlah yang besar di dalam krisis pecah amanah, rasuah dan pelbagai kesalahan jenayah perdagangan.

Bagaimanakah sumbangan untuk memperkasakan dakwah?

Golongan Azhari dapat memberikan sumbangan secara berkesan ke arah pemantapan dan pengupayaan gerakan dakwah di tanah air daripada beberapa saluran yang dianggap strategik dan munasabah:

1. Melibatkan diri dalam pertubuhan dan badan dalam masyarakat

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah salah satu wadah yang berupaya untuk mendekati masyarakat khususnya bangsa Melayu yang umumnya terpecah kepada dua blok fahaman politik yang dominan iaitu turut mempengaruhi sektor-sektor lain dalam kehidupan masyarakat. UMNO seringkali dikonotasikan sebagai parti nasionalis-sekular dan PAS sebagai Islamis-konservatif. Stigma ini telah menyebabkan penolakan automatik sebagai sebarang usaha yang melibatkan satu pihak kepada pihak yang lain. Justeru, pemerkasaan NGO dakwah sememangnya dituntut bagi meratakan penyebaran agenda dakwah terhadap seluruh bangsa Melayu.

Kewujudan NGO dakwah yang berwibawa juga sangat penting untuk melihat keberkesanan dakwah terhadap non-muslim. Biarpun sebelum ini sudah wujud agensi dakwah non-muslim seperti PERKIM dan Jabatan Agama negeri-negeri namun secara jelas agensi-agensi ini kelihatan lembap dan tidak bermaya untuk menyampaikan mesej Islam secara efisien dan efektif. Dakwah non-muslim di negara kita sememangnya jauh ketinggalan berbanding dakwah terhadap non-muslim di Singapura dek masalah birokrasi dan political willingness yang tampak mandul.

Menurut Mustafa Kamil Ayub peranan Badan Bukan Kerajaan (BBK) semakin menyerlah peranannya terutamanya dalam fasa pasca reformasi dan perkembangan ini juga mempunyai kaitan dengan perkembangannya di rantau ASEAN dan global. Justeru, keterlibatan dalam NGO seperti PIBG, persatuan belia, persatuan pengguna sehinggalah kolaborasi yang lebih besar dan agresif seperti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sememangnya memberikan ruang dakwah yang luas yang tidak dapat disampaikan oleh media dakwah tradisional seperti ceramah dan kuliah.

NGO-NGO Islam harus membuktikan kemampuan mereka bukan hanya sekadar di peringkat keberadaan sahaja tetapi sememangnya boleh menghadirkan kesan yang bermakna terhadap masyarakat. Menurut Dr Chandra Muzaffar, NGO boleh memperkukuhkan usaha mewujudkan masyarakat madani melalui tiga cara iaitu kematangannya berhadapan dengan pemerintah, kepekaan kepada sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan kemampuan mengetengahkan program-program yang konkrit.

2. Mempelbagaikan media dakwah

Dalam usaha memantapkan lagi keberkesanan dakwah di negara kita, usaha menambah dan mempelbagaikan media dakwah menjadi satu keperluan. Perlu diakui media dakwah di negara kita masih terhad yang menyebabkan kelompok sasaran tidak mencapah. Mungkin kita boleh belajar sesuatu yang bernilai daripada pengalaman dakwah di Indonesia. Dakwah bukan sahaja disampaikan melalui corong-corong microphone di masjid ataupun di surau sebaliknya melalui web-site, seniman jalanan, novel, puisi, majalah, filem budget murah sehinggalah ke filem box office.

Sememangnya prospek terhadap dakwah di Malaysia masih cerah terutamanya di kalangan anak-anak muda andainya elemen massaging dan packaging diberi nafas baru. Novelis seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar dan Azizi Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama) sememangnya mempunyai khalayak yang besar di kalangan orang muda. Begitu juga majalah kompak Islami seperti Dara dan Nur mempunyai peminat tetap yang besar di kalangan remaja perempuan dan lelaki. Industri nasyid juga tetap mendapat sambutan hangat biarpun genre-genre muzik yang lain mengalami pasang-surut.

Justeru keberanian, kreativiti dan kesungguhan adalah dituntut di kalangan tenaga du’at muda untuk membuka medan-medan dakwah yang baru bagi melebarkan sayap dakwah kepada kelompok yang tidak berasa ‘dipanggil’ sebelum ini.

3. Memantapkankan media dakwah yang sedia ada

Selain mewujudkan dan mempelbagaikan media dakwah, pengisian dan pemantapan media dakwah sedia ada tidak boleh dipandang enteng. Media-media seperti ceramah, kuliah samada di masjid dan surau atupun melalui televisyen, radio dan internet, tulisan/ penerbitan sama ada melalui majalah, surat khabar, jurnal ataupun buku tetap menjadi media dakwah yang berpengaruh dalam masyarakat. Menurut Dr Danial Zainal Abidin, aspek penyelidikan dan pembangunan perlu dirancakkan supaya dakwah Islam sentiasa cukup dengan bahan dan maklumat terkini. Kita terpaksa mengakui, umat Islam amat ketinggalan dalam aspek ini kerana sikap mudah berpuas hati dengan apa yang ada.

Sememangnya aspek penyelidikan menjadi asas kepada peningkatan kualiti ilmiah dalam penyampaian mesej dakwah melalui media masyarakat ini. Justeru graduan al-Azhar yang kebanyakannya daripada bidang pengajian Islam haruslah bijak mengharmonikan kekuatan dalam bidang penyelidikan hukum (usul al fiqh) dengan metodologi penyelidikan sains sosial. Sekiranya kedua-dua metodologi ini dapat dikombinasikan, masyarakat pasti dapat merasai sentuhan ilmiah yang lebih bernilai daripada ceramah, kuliah ataupun tulisan-tulisan dakwah di media massa dan bukan hanya disogokkan dengan lawak jenaka dan tidak kurang hamburan hadis-hadis yang tidak punya autoriti ilmu dan hujah seperti di sesetengah tempat pada hari ini.

4. Keterlibatan dalam gerakan politik Islam secara konstuktif

Sememangnya di dalam Islam tiada pemisahan antara Islam dan politik. Malah, siyasatud-dakwah yang dipraktiskan oleh gerakan Islam di Malaysia telah memberikan impak yang menyeluruh dalam pembangunan masyarakat. Penglibatan Azhari secara aktif dalam wadah gerakan Islam akan menambahkan kekuatan wadah-wadah tersebut yang secara langsung akan menyumbang ke arah pembangunan ummah melalui usaha dakwah yang terancang dan berkesan.

Walaubagaimanapun terjunnya Azhari ke arena politik bukanlah semata-mata atas nawaitu untuk meraih populariti dan diangkat sebagai pimpinan, sebaliknya atas rasa tanggungjawab untuk memperjuangkan Islam dan merealisasikan syariat dalam konteks masyarakat yang plural. Di sinilah akan teruji keilmuan dan kepimpinan Azhari untuk menterjemahkan idealisme perjuangan Islam dalam pendekatan yang berhikmah sesuai dengan realiti Malaysia. Setiap warga gerakan Islam di Malaysia pada hari ini harus berfikir dan bertindak secara berkesan bagi memperlihatkan bahawa Gerakan Islam adalah gerakan massa yang terlibat dalam mainstream masyarakat dan bukannya sebagai sebuah gerakan ataupun parti untuk kelompok ataupun sebahagian tertentu rakyat di negara kita. Faktor inilah sebenarnya yang akan menyerlahkan dinamisme dakwah dalam kancah politik.

Penutup

Azhari sememangnya tidak mempunyai pilihan selain daripada melengkapkan diri menjadi seorang global daie dalam mendepani hambatan-hambatan dakwah dalam dunia pasca globalisasi. Banyak persediaan yang perlu dilakukan sama ada daripada aspek keilmuan, soft skills, daya kepimpinan dan penguasaan terhadap isu-isu semasa bagi merealisasikan cita-cita sebagai pendakwah global. Para Azhari sememangnya boleh melihat kecapaian generasi leluhur yang dilahirkan daripada menara al-Azhar, tetapi sekadar romantis terhadap tradisi generasi terdahulu semata-mata tidak banyak mengubah pandangan masyarakat terhadap Azhari yang semakin lama semakin malap.

Graduan al-Azhar tidak perlu paranoid dengan gertakan-gertakan sosial seperti krisis pengangguran dan sebagainya, sebaliknya memusatkan tumpuan untuk merebut seberapa banyak peluang semasa di perlembahan Nil untuk membina kualiti sebagai pengurus diri dan sistem yang dihormati dan diyakini. Kualiti inilah yang akan memberikan nilai yang tingi terhadap graduan al-Azhar dan boleh memasarkan nilai keintelektualan dan keulamaan yang sememangnya menjadi competitive advantage bagi Azhari berbanding graduan-graduan lain ke dalam setiap sudut dalam pembangunan ummah.


*Artikel ini dipetik daripada Majalah Suara Kampus Edisi Shoubra.

No comments: