Monday, March 26, 2012

Al-Quran Sebagai Modul Pendidikan Anak

29/3, Muhammad bakal mencecah 1 tahun. Alhamdulillah, kala ini Muhammad sudah mampu berdiri dan menapak 5-7 tapak. Seronok tak terhingga. Ye lah, ibu mana yang tidak gembira melihat anaknya berkembang dan menguasai satu-satu kemahiran.

Saya sendirian pernah terfikir. Apa yang berlaku apabila anak-anak saya sudah dewasa kelak? Bagaimana sikapnya, bagaimana pemikirannya, bagaimana imannya, bagaimana kehidupannya…?


Sesekali, terasa agak bimbang. Zaman sekarang pun dah punya banyak pengaruh negatif, apatah lagi zaman-zaman mendatang. Masa ini pun telah banyak kes-kes jenayah, apa lagi masa depan. Waktu ini pun dah ramai remaja yang menyimpang, apa lagi waktu akan datang.

Namun, kerisauan saya mula pulih apabila saya sedar bahawa kehidupan masa depannya di tangan Allah. Maka, apa yang perlu saya lakukan juga adalah kembali kepada Allah. Bagaimana?

Cuba kita fikirkan, dalam sehari, adakah kita membaca al-Quran? Berapa kali anak kita mendengar ayat-ayat Allah? Siapakah yang anak kita kagumi? Cerita apakah yang selalu anak kita tonton? Sikap apakah yang sering kita tunjukkan kepada anak?



Muhasabah…

Baiklah, cuba kita lihat satu per satu. Mengapakah al-Quran itu penting?

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi mereka yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”
(Yusuf: 111)

“Orang yang bijak, adalah orang yang selalu ingat perkara yang mematikan angan-angan (kematian)” kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib.

Al-Quran sudah menjelaskan mengenai kisah nabi-nabi terdahulu, kisah para
sahabat dan para rasul, seterusnya kisah-kisah umat terdahulu. Suatu hari saya bertanya kepada Abdullah (ketika itu usianya 3 tahun).
“Abdullah nak dengar cerita tak?”

“Nak!”

“Abdullah nak dengar cerita apa?”

“Cerita kerbau dengan Sang Kancil dengan buaya”

“Abdullah nak dengar kisah Nabi Yunus tak?”

“Alaaa, tak best, Abdullah suka yang binatang-binatang”

Kemudian abinya terus menyampuk perbualan tersebut.

“Abdullah nak abi cerita tentang ikan paus yang telan manusia tak?”

“Nak! Abdullah suka ikan paus”

Dua perkara yang saya dapat simpulkan tentang perbualan di atas. Pertama, anak akan suka mendengar kisah-kisah yang berkisar tentang apa yang selalu kita ceritakan kepadanya. Kedua, anak kecil masih mudah dibentuk!

Membentuk anak menggunakan acuan Al-Quran bukanlah suatu yang mustahil. Cuma, ibu bapa zaman sekarang sudah banyak mendengar teori demi teori (banyaknya dari Barat). Tipsnya mudah. Jika anda fahami Al-Quran, anak anda juga akan faham. Jika anda mendalami Al-Quran, anak anda juga akan mendalaminya. Jika anda mengamalkan Al-Quran, anak anda juga akan mengamalkannya. Cuba dahulu…
Yang kedua, siapakah yang anak anda kagumi? Spiderman? Superman? Ultraman? Atau spongebob yang bendul itu?

Jadikan diri anda adalah manusia yang paling dikagumi anak selepas Allah dan Rasul. Kerana anak-anak mudah belajar dan menilai daripada pemerhatiannya sendiri. Siapa yang paling sering dilihatnya? Sudah tentu ibu bapanya. Sekiranya akhlak ibu bapanya mencerminkan Al-Quran, maka mudah membentuk anak dengan acuan Al-Quran. Jika ibu bapa cintakan Al-Quran, maka anak-anak yang cintakan ibu bapanya juga akan cintakan Al-Quran.

Bagaimana jika ibu bapa cintakan hiburan? Bagaimana jika ibu bapa cintakan drama dan komedi? Bagaimana jika ibu bapa cintakan wang? Bagaimana jika ibu bapa cintakan perhiasan?

Fikir-fikirkan…

Saya menulis di sini bukan bermaksud menghalang segala bentuk usaha mencari kewangan, berhibur atau berhias, namun saya beranggapan anda faham apa yang dimaksudkan dengan Cinta itu.

Jadi, dengan keadaan ini, saya berasa yakin untuk terus melangkah dan membimbing anak saya. Dan kerisauan itu akan meluntur dari semasa ke semasa. Semua ini kerana saya akan berusaha cintakan Al-Quran secara berterusan, bukan bermusim. insyaAllah…

Sumber : Anakkusayang

No comments: