Friday, March 9, 2012

Cuepacs: Batal SBPA tiada kaitan PRU tapi 'perlu'

Najib Razak bercakap dengan sebahagian pemimpin Cuepacs selepas mengumumkan pembatalan SBPA di Putra
SHAH ALAM - Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, tidak melihat keputusan kerajaan membatalkan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebagai "tindakan politik" menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sebaliknya menurut Timbalan Presidennya, Azih Muda, pihaknya menganggap keputusan pembatalan SBPA yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai tindakan yang perlu diambil demi masa depan kakitangan awam negara ini.

SBPA yang diumumkan pelaksanaan pada Oktober lalu, sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu tetapi ditangguhkan awal tahun ini ekoran protes kakitangan awam.

Pembatalannya diumumkan pagi semalam.

"Saya tidak mahu cakap mengenai pilihan raya atau politik, tetapi keputusan ini menunjukkan kerajaan mendengar kehendak rakyat, kerajaan harus meningkatkan pendapatan rakyat.
"Yang penting keputusan yang diambil ini adalah keputusan demi masa depan kakitangan awam, ini soal survival, bagaimana kita perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan beban kos hidup dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas petang ini untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan pagi semalam mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembatalan SBPA menunjukkan keputusan telah dibuat melalui proses yang tidak teliti terhadap semua kemungkinan dan implikasi yang bakal dihadapi.
"Dan, kerajaan yang ada tidak punya integriti dan ketelusan untuk uruskelola pentadbiran yang baik," kata beliau.
Jelas Azmi, apabila JPA mengumumkan setiap penjawat awam perlu menandatangani berhelai-helai dokumen, begitu banyak dokumen yang dicetak khas untuk ditandatangani oleh penjawat awam yang melebihi sejuta orang.
"Setiap penjawat dan kerani di pejabat mengambil masa berhari-hari mengejar kakitangan supaya melengkapkan dokumen sebelum tarikh yang ditetapkan.
"Ketika mana keputusan  menguatkuasakan cadangan SBPA diumumkan, maklum balas negatif dari pelbagai pihak nampaknya terlalu lambat untuk diambil kira dengan serius," kata beliau dalam satu kenyataan.
Azmi menambah, teguran dan bantahan dilihat dari kaca mata politik pembangkang.
"Sehingga JPA dan pejabat Perdana Menteri menerima lebih 1,000 memorandum bantahan yang bertalu-talu barulah akhirnya keputusan dimansuhkan diumum," kata beliau.
Sehubungan itu kata beliau, Teras mempersoalkan kebijaksaaan dalam proses membuat keputusan di pihak kerajaan sejak awal lagi.
"Apakah ketika sesuatu perubahan hendak dilancarkan, suatu kajian yang cukup mendalam tidak dilakukan terlebih dahulu sebelum pengumuman hendak dilakukan?
"Kini ramai penjawat awam yang telah menandatangani dokumen yang berkaitan. Setelah diumumkan pemansuhan SBPA, ramai yang  hilang kepercayaan kepada pentadbiran kerajaan kerana kelihatan seolah keputusan dibuat tidak dengan teliti," katanya lagi.
Menurut Azmi, kini kerajaan terpaksa menanggung implikasi persepsi negatif penjawat awam terhadap kepimpinan pemerintah.
"Apakah kerajaan di bawah Najib kembali mempamerkan kerajaan 'flip-flop'.
"Apakah kerajaan perlu mendapat tentangan yang meluas dari rakyat baru kerajaan cuba merasionalkan keputusan untuk merubah?" katanya lagi sambil menambah, perkembangan terbaru ini menunjukkan kelemahan dalam uruskelola yang sangat buruk.
Kata Azmi, jika polisi boleh ditukar-tukar dalam masa yang singkat, tetapi sumber peruntukan wang dibelanjakan dengan sebegitu besar, ia jelas menunjukkan kelemahan dan kepincangan.
"Teras juga memanjangkan penelitiannya terhadap banyak lagi projek gajah putih yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.
"Betapa pembaziran yang bernilai ratusan juta diseluruh Negara berlaku di hadapan mata rakyat menimbulkan pertanyaaan  kerajaan tidak memperdulikan lagi wang rakyat yang dibelanjakan," katanya lagi.

Sumber : sinarharian.com.my

No comments: